Wednesday, February 15, 2017

Jemaah wanita diculik kini ada dua suami

Istanbul: Selepas hampir 27 tahun hilang disangka meninggal dunia dalam tragedi rempuhan jemaah haji yang mengorbankan kira-kira 1,400 orang ketika melontar pada 1990, seorang wanita Turki didapati diculik dan dipaksa menjadi isteri seorang pekerja perbandaran Makkah.
Menurut portal berita Turki ILKHA, Fahire Kara dari Yontukyaz di daerah Beşiri, dekat sini, yang mempunyai 12 anak, menunaikan haji bersama suaminya, Abdurrahman Kara, ketika berusia 47 tahun.
Anak perempuannya, Oner, 42, berkata ibu dan bapanya cedera dalam tragedi rempuhan itu dan bapanya dibawa ke hospital tanpa mengetahui nasib ibunya.
Menurut Euro News, ketika tragedi rempuhan itu, pihak berkuasa Arab Saudi memanggil semua pekerja perbandaran untuk membantu kerja menyelamat dan seorang pemungut sampah dari Yaman dipercayai membawa Fahire pulang ke rumahnya selepas mendakwa dia mahu membawanya ke hospital.
Sebaliknya, Fahire dibawa ke sebuah rumah di Madinah dan dikurung sepanjang masa. Dia hanya dibenar keluar dari rumah ketika melahirkan tiga anak dengan ‘suami’ barunya itu.
Selepas keluar dari hospital, bapanya berusaha mencari ibunya selama beberapa hari namun gagal dengan pihak berkuasa Makkah menyatakan kemungkinan wanita itu terbunuh. Abdurrahman pulang ke Turki dan selepas sekian lama tiada berita mengenai isterinya, dia berkahwin lain.
Menurut Oner, selepas 26 tahun, kenalan keluarga itu yang menunaikan umrah mendakwa berjumpa dengan ibunya yang memberitahu dia mahu pulang ke Turki namun tidak boleh kerana ketiadaan pasport dan dokumen perjalanan lain.
“Kenalan kami memberitahu ibu menyatakan dia diculik pekerja perbandaran di Makkah.
“Ibu diseksa dan dikurung dalam rumah selama 10 tahun. Dia dipaksa berkahwin dengan lelaki itu, mungkin sebagai isteri kedua atau ketiga hingga melahirkan tiga anak,” katanya.
Menurut Oner, kenalan itu memberitahu terserempak dengan ibunya tiga atau empat bulan lalu, yang berniaga barangan cendera mata di sekitar Makkah dan Madinah dengan harapan dapat berjumpa sesiapa dari Turki yang mengenalinya.
“Kami merayu kepada Presiden (Recep Tayyip Erdogan) dan Perdana Menteri (Binali Yildrim) supaya membantu mencari ibu. Tolonglah bantu kami,” katanya.
Menurutnya, ibunya memberitahu sudah beberapa kali memohon kepada konsulat untuk pulang ke Turki namun gagal kerana kisahnya yang dianggap mengelirukan.
Kini, wanita itu terperangkap dengan undang-udang Arab Saudi kerana jika dia mahu meninggalkan Arab Saudi Fahire akan menghadapi dua situasi iaitu memfailkan dakwaan terhadap ‘suami’ barunya yang bermakna bapa kepada tiga anaknya itu akan dihukum bunuh manakala dia sendiri akan dihukum rejam dengan batu kerana berzina.
Menurut Euro News, usaha sedang dilakukan oleh pegawai kerajaan Turki untuk mencari penyelesaian yang membolehkan wanita itu pulang ke Turki tanpa memusnahkan keluarga barunya di Arab Saudi atau menjalani hukuman.

-Metro

No comments:

Post a Comment