New York: Seorang anggota polis wanita beragama Islam memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Manhattan mendakwa menjadi mangsa diskriminasi agama, dibuli dan dihina oleh rakan sekerja termasuk digelar ‘pelacur Muslim’ malah ada yang cuba merentap tudung dipakainya.
Menurut NBC News, dalam samannya yang difailkan 2 Februari lalu, Danielle Alamrani, 38, yang menyertai Jabatan Polis New York (NYPD) pada 2006, dan memeluk Islam setahun kemudian, berkata sebaik dia mula memakai tudung, polis lain enggan bekerja dengannya.
Mahkamah diberitahu, pada 2010, seorang sarjan berkata dia berharap Alamrani ‘tidak meletup ketika meronda’ disambut dengan ketawa oleh anggota polis lain.
Pada Krismas 2012, dua anggota polis menyerang Alamrani di balai polis dan cuba merentap tudung dipakainya.
“Mereka menjerit ‘pelacur Muslim’ kepadanya dan ‘saya akan tumbuk muka awak’.
AP melaporkan, Alamrani dalam samannya berkata, hampir setiap hari dia diejek bahawa dia tidak sepatutnya menjadi polis, tidak boleh pakai tudung, tiada siapa mahu bekerja dengannya, memalukan NYPD dan tiada siapa sukakannya. Dia juga digelar pengganas dan Taliban
Wanita itu juga mendakwa dihukum dengan ditugaskan pada shif yang tidak siapa mahu, dikurangkan kerja lebih masa, malah dia serta anak-anak pernah ditahan rakan sendiri selama beberapa jam akibat jiran membuat aduan bising dari rumahnya.
NYPD yang mempunyai kira-kira 900 anggota uniform beragama Islam daripada 35,000 keseluruhan anggota, sebelum ini mengumumkan untuk mengambil ramai lagi rekrut beragama Islam. Ia juga melonggarkan syarat membenarkan anggota polis menyimpan jambang kerana agama dan Alamrani ialah seorang daripada dua anggota polis yang memakai tudung.
Dia memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Persamaan Hak Pekerja pada Disember 2015 dan diberi kebenaran untuk memfailkan saman itu tiga minggu lalu.
“Dia masih bekerja dan cuba melaksanakan tugasnya sebagai anggota polis,” kata peguamnya Jesse Rose.-Metro
No comments:
Post a Comment