Wednesday, February 22, 2017

Terdesak nak kahwin

Melaka: Seorang remaja lelaki memberi alasan terdesak mahu berkahwin bulan depan, selepas ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis kerana meragut seorang wanita warga Indonesia di Jalan Pantai Peringgit berhampiran Pasar Melaka Sentral, pagi semalam.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 9 pagi, seorang wanita berjalan kaki di persimpangan jalan berhampiran Melaka Sentral dan Pasar Besar Melaka Sentral.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, warga Indonesia berusia 27 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pangsapuri Peringgit selepas habis bekerja di sebuah kilang berdekatan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, muncul motosikal ditunggang seorang lelaki dari belakang mangsa dan suspek menarik serta menyentap beg tangan mangsa.
“Suspek melarikan beg tangan itu sebelum motosikalnya gagal dikawal lalu terjatuh dan ditahan orang awam yang berada di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, orang awam menghubungi polis dan unit kereta ronda tiba untuk membuat tangkapan.
Shaikh Abdul Adzis berkata, suspek menunggang motosikal Modenas Dinamik dan ketika ditahan, beg tangan mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit dan pasport berjaya diperoleh.
“Suspek yang berusia 18 tahun berasal dari Bachang, di sini, dan siasatan awal mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah merusuh,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak manakala motosikalnya juga ditahan untuk siasatan lanjut.

-Metro

No comments:

Post a Comment