Sunday, April 29, 2018

Tangan ‘Popeye’ akhirnya terpaksa dipotong


BATANGAS, Filipina – Seorang pelajar perempuan membenarkan sekumpulan doktor di sebuah hospital di sini untuk memotong lengan kirinya.
Joy Arcilla, 21, mengakui tidak mampu menanggung penderitaan ketika menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi sejak lima tahun lalu susulan ketumbuhan tumor pada lengannya.
Lengan Arcilla membengkak hingga menyebabkan otot bisep kiri kelihatan seperti watak kartun kelasi, Popeye.
Ketulan itu yang disahkan sebagai sarkoma Ewing iaitu sejenis kanser tulang atau tisu otot didapati mula tumbuh pada bulan Oktober 2012.
Sepanjang tempoh tersebut, tumor itu kembali tumbuh sebanyak empat kali biarpun gadis itu sudah menjalani beberapa siri pembedahan dan 17 kali rawatan kimoterapi.
Arcilla menghentikan rawatan kimoterapi sekali gus menyebabkan tumor semakin besar. Pada Disember lalu, dia membenarkan lengannya dipotong. 
– Agensi/Metro

Thursday, April 26, 2018

Saintis temui nyamuk gergasi


SINCHUAN, CHINA – Sekumpulan saintis menemui seekor nyamuk gergasi dengan ukuran sayap mencecah 11 sentimeter (cm) ketika membuat kajian di Gunung Qingcheng di sini pada Ogos tahun lalu.
Nyamuk tersebut berasal daripada spesies Holorusia mikado yang kebiasaannya memiliki sayap kira-kira 8cm panjang, namun serangga yang ditemui itu sangat besar dan menakutkan.
Penduduk Britain menyebut serangga tersebut sebagai ‘kren terbang’ dan spesiesnya itu dipercayai banyak membiak di China.
Orang ramai kini boleh melihat serangga tersebut yang dipamerkan di Muzium Serangga di barat China, Chengdu di sini.
Nyamuk itu turut dikenali sebagai lalat panjang di barat Sichuan yang kebanyakan ditemui di kawasan pergunungan pada ketinggian 2,200 meter. 
– Agensi/Kosmo

Wednesday, April 25, 2018

Baguslah...

PERTANDINGAN ratu cantik remaja dan kanak-kanak diharamkan di ibu kota Bolivia, La Paz, selepas ia dilihat cuba memaparkan imej seksual golongan itu.
Penyokong tindakan itu berkata, undang-undang turut mengharamkan iklan yang memaparkan kanak-kanak beraksi ghairah, bagi menangani masalah keganasan seksual terhadap mereka.
“Kami tidak mahu gadis muda berterusan menjadi mangsa seksual atau digunakan sebagai objek menjual produk fesyen tertentu,” kata jurucakap perbandaran, Pedro Susz semalam.
Undang-undang itu, yang cuma berkuat kuasa di La Paz, bertujuan menghalang kanak-kanak ‘digunakan bagi menyerupai orang dewasa’ dan dipaksa terbabit dalam aktiviti yang tidak selari dengan usia mereka, kata Susz.
Katanya, mereka yang melanggar undang-undang ini akan dikenakan hukuman menghadiri bengkel latihan berkenaan isu seksual terlampau dikalangan kanak-kanak serta keganasan terhadap wanita.
Menurut perangkaan rasmi, purata 16 kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa beberapa jenis keganasan seksual setiap hari di Bolivia, manakala pada 2017, 87 pembunuhan kanak-kanak direkodkan.

 – AFP/METRO

Tuesday, April 24, 2018

Tetak bini sampai mati di mahkamah



New Delhi: Seorang lelaki menyerang dan membunuh isterinya dengan pedang selain mencederakan ibu mentua serta anak saudara perempuannya ketika mereka menemani mangsa mengikuti sesi kaunseling di mahkamah keluarga di Sambalpur, kelmarin.
Hindustan Times melaporkan, Ramesh Kumbhar menyerang isterinya, Sanjita Chowdhury, 18, dengan pedang sebelum membunuhnya di pekarangan mahkamah keluarga.
Ibu mentuanya, Lalita Chowdhury dan anak saudara mangsa, Shivani yang berusia dua tahun setengah dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Menurut NDTV, bapa mangsa yang turut bersama ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat melarikan diri.
The Hindu melaporkan, Sanjita hadir ke mahkamah itu ditemani ibu bapa serta anak saudaranya untuk berdamai dengan lelaki terbabit.
Pasangan itu kahwin lari tahun lalu dan tinggal bersama untuk seketika sebelum Sanjita kembali ke pangkuan keluarganya kerana tidak tahan didera Ramesh, lapor Odishatv.

-Metro

Monday, April 23, 2018

Jangan lelong seluar dalam ku...



PENYANYI terkenal, Madonna semalam gagal dalam usahanya menghalang lelongan barangan peribadi miliknya termasuk surat putus cinta daripada legenda Rap, Tupac Shakur dan seluar dalam yang dipos kepada kekasihnya.
Mahkamah memutuskan penyanyi yang popular dengan lagu Material Girl itu tidak mempunyai asas kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Darlene Lutz, seorang penjual seni dan bekas rakan yang membantu Madonna membina satu koleksi peribadi sebelum mereka bergaduh.
Lutz menjadi sumber utama terhadap 22 barangan termasuk surat cinta, kaset dan berus rambut yang mahu dilelong oleh syarikat lelongan Gotta Have Rock and Roll sebelum mahkamah mengeluarkan satu injuksi pada Julai tahun lalu.
Madonna mahu lelongan itu dibatalkan dengan alasan ia mencabuli hak peribadinya.
Bagaimanapun, Hakim Gerald Lebovits dalam penghakimannya bersetuju dengan peguam Lutz bahawa pertikaian kedua-dua mereka sudah diselesaikan dalam satu perjanjian undang-undang pada 2004.
Lebovits juga mempersoalkan mengapa Madonna mensasarkan Lutz dan bukannya pembantunya yang didakwa penyanyi itu menyerahkan barangan berkenaan kepada penjual seni itu.
Antara barangan yang bakal dilelongkan termasuklah satu surat daripada Tupac pada 1995 sebelum penyanyi rap berkenaan mati ditembak setahun selepas itu.
Madonna hanya baru-baru ini mendedahkan hubungan rahsianya dengan Tupac itu.
Dalam suratnya kepada Madonna, Tupac berkata, imejnya akan terjejas sekiranya dia menjalinkan hubungan dengan wanita kulit putih.
Peguam Lutz turut memberitahu, lelongan itu turut termasuk sehelai seluar dalam yang diposkan Madonna kepada seorang kekasihnya. 

- AFP/Metro

Jeritan sayu wanita lembam...



SUARA jeritan dari dapur di sebuah rumah di Pengkalan Chepa di Kota Bharu membawa penemuan seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya.
Lebih menyayat hati, mangsa berusia 44, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam ditemui dalam keadaan lemah dan kotor.
Malah, kawasan lantai di mana wanita itu ditemui, dipenuhi dengan najis mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, jeritan mangsa didengari seorang jiran kira-kira jam 9.15 malam tadi.
Beliau berkata, dia yang curiga kemudian bertindak mengintai dari cermin tingkap sebelum menghubungi pihak polis.
"Anggota kami segera ke lokasi di Taman Pinggiran Industri dan apabila tiba, keadaan rumah berkunci sebelum anggota bertindak memecahkan pintu dapur.
"Sebaik pintu dipecahkan, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berbau hamis serta busuk. Ia disebabkan keadaannya yang tidak terurus dan najis turut ditemui di lantai.
"Kita percaya mangsa berkeadaan begitu (tidak terurus) sudah lama melihat kepada keadaannya yang lemah dan susuk badan yang kurus," katanya ketika dihubungi NSTP.
Mangsa tinggal bersama adik perempuannya yang berusia 40 tahun yang sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur sebelum mereka berpindah ke Pengkalan Chepa, sejak enam bulan lalu.
Adik perempuan mangsa bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Kota Bharu.
Bagaimanapun, ketika serbuan, adik perempuan mangsa tidak berada di rumah.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
Ismail berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada mangsa diabaikan penjaga atau kes itu mempunyai sebarang unsur lain.
Ketika ditemui di hospital, mangsa yang sedang dirawat mengadu sejuk dan lapar.
Susulan kejadian, adik perempuan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk soal siasat.

-Metro

Thursday, April 19, 2018

Ibu lacur anak lebih 1,000 kali



Auckland: Seorang ibu dipenjara enam tahun 11 bulan kerana menjual anak perempuannya sebagai hamba seks lebih 1,000 kali dalam tempoh 18 bulan sejak hari jadi ke-15 remaja itu pada 2014.
Kasmeer Lata, 36, didapati bersalah berurusan dengan hamba dan meraih untung daripada perkhidmatan seks komersial daripada orang bawah umur kerana memaksa anaknya itu menjual badan kepada beberapa lelaki.
Dia datang ke New Zealand dari Fiji bersama anak-anaknya pada 2014 dan terus tinggal di negara itu selepas visa mereka tamat tempoh menyebabkan remaja terbabit tidak dapat bersekolah selain keluarga tiada pendapatan kerana Kasmeer tidak dapat bekerja.
Kasmeer pernah menjadi pelacur mula mencari duit dengan cara itu sebelum memaksa anaknya turut berbuat demikian apabila menjual remaja berkenaan kepada lelaki berusia 50-an pada hari jadinya ke-15.
Mangsa dikurung di dalam rumah selama setahun setengah malah pernah terpaksa menggugurkan kandungan sebelum diarahkan terus bekerja.
Pelanggan dikenakan bayaran kira-kira NZ$200 (RM570) dengan mencari pelanggan melalui iklan di Craigslist serta akhbar The NZ Herald.
Dia dianggar meraih untung kira-kira NZ$100,000 (RM285,000) hasil menjual anaknya dengan wang berkenaan digunakan untuk membayar sewa serta bil.
Remaja itu akhirnya berjaya melarikan diri pada November 2016.

-Metro

Dijel 320 tahun tawar 'seks pencuci mulut'



Bangkok: Seorang bekas polis dipenjara 320 tahun manakala dua wanita dipercayai ibu ayam turut dijel ratusan tahun berhubung skandal pemerdagangan manusia.
Mereka dilaporkan menawarkan remaja sebagai ‘pencuci mulut’ untuk pegawai kanan di Thailand termasuk ada mangsa dipaksa bertatu gambar burung hantu sebagai ‘tanda’ menganggotai rangkaian berkenaan.
Mahkamah Jenayah Bangkok, semalam, mengarahkan bekas polis berpangkat Sarjan Mejar, Yutthachai Thongchart, dipenjara 320 tahun.
Dua lagi, Piyawan Sukma, 27, dan Piyathas Thiensuwan, 31, masing-masing dipenjara 167 tahun dan 176 tahun.
Menurut Bangkok Post, mengikut peruntukan undang-undang, mereka cuma akan menjalani hukuman penjara 50 tahun.
Lima lain turut dihukum iaitu Mongkol Kiatpakdeepong, 31, dipenjara 19 tahun, Patthamaporn Inkaew, 32, (12), Kanokwan Rattanpakdee, 23, (lapan), Kwanhathai Rerkudom, 40 (tujuh) dan Kallaya Wutthikul, 41, (36).
Semuanya juga diarahkan membayar pampasan kepada mangsa.
Gabenor Mae Hong Son, Suebsak Iamwichan pada mulanya dikaitkan dengan skandal itu malah dipindahkan ke jawatan lain sebelum kembali menjadi gabenor selepas siasatan mendapati dia tidak bersalah.
ABC News melaporkan, seorang pegawai tempatan mengakui menganjurkan makan malam mewah untuk tetamu kehormat datang melawat sebelum menawarkan gadis remaja disifatkan ‘pencuci mulut’ untuk seks.
Menurut The Nation, kes itu terbongkar tahun lalu selepas ibu seorang remaja berusia 17 tahun mendakwa anaknya dipaksa menyertai rangkaian seks dan akhirnya mendedahkannya kepada media selepas polis gagal menyiasat.

-Metro

Monday, April 16, 2018

Ayam, kucing habis dimandi

Kuala Terengganu: “Tidak kisah pandangan orang, paling penting aktiviti memandikan haiwan ini memberi kepuasan dan kegembiraan,” kata Mohd Ridzuan Mohammad, 27, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Baruh di sini, semalam.
Mohd Ridzuan berkata, dia menjadikan aktiviti memandikan haiwan ternakan sebagai terapi diri sejak dua tahun lalu.
“Saya sangat sayangkan haiwan justeru semua haiwan peliharaan termasuk ayam dan kucing akan dimandikan pada setiap hari.
“Tidak kisah apa anggapan orang sekeliling terhadap aktiviti ini, paling penting ia memberi kepuasan kepada diri.
“Saya berasa tenang apabila dapat menggosok dan memandikan haiwan peliharaan itu. Biasanya saya akan memandikan haiwan menggunakan syampu,” katanya.
Tambahnya, orang sekeliling memang berasa pelik dengan aktiviti yang dijalankan itu namun ia sudah sebati dengan hidupnya.
“Bagi saya, tidak cukup sekadar kita memberi makan dan menyediakan reban atau sangkar untuk haiwan peliharaan kesayangan itu.
“Aspek lain seperti kesihatan haiwan juga perlu dititikberatkan. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, haiwan yang dimandikan akan lebih segar dan sihat berbanding haiwan lain,” katanya.
Dia berkata, memandangkan ayam peliharaannya berharga RM1,000 dan ke atas, maka dia berasa wajar memberikan tumpuan istimewa terhadap haiwan peliharaannya itu.

-Metro

Guru buta huruf


New York: Seorang lelaki yang buta huruf mendedahkan dia menggunakan pelbagai helah untuk menjadi pelajar cemerlang di sekolah dan kolej malah bekerja sebagai guru selama 17 tahun walaupun tidak boleh menulis namanya sendiri.
John Corcoran yang kini berusia 77 tahun mempunyai masalah pembelajaran ketika kecil dan hanya boleh membaca ketika berusia 48 tahun.
Walaupun tidak boleh membaca, Corcoran berjaya menamatkan pelajaran di sekolah tinggi dan memperoleh ijazah di sebuah kolej sebelum diterima bertugas sebagai guru di sebuah sekolah tinggi pada 1960-an.
Selama berpuluh-puluh tahun, Corcoran merahsiakan perkara itu tetapi akhirnya mendedahkan rahsia berkenaan kepada isterinya selepas dia gagal membaca buku cerita kepada anaknya.
Dalam wawancara dengan BBC, Corcoran memberitahu, walaupun buta huruf, dia pintar dan mempunyai kemahiran komunikasi serta pergaulan.
“Saya pelajar yang terkenal di sekolah dan berkawan dengan pelajar kolej yang pintar. Saya mempunyai ramai kawan terutama perempuan yang membuat kerja sekolah untuk saya,” katanya.
Corcoran juga menipu ketika peperiksaan di sekolah dengan menyalin atau meminta rakan sekelasnya menjawab kertas soalan.
Dia kemudian diterima masuk ke kolej dengan biasiswa sukan dan Corcoran terpaksa menggunakan cara lebih ekstrem untuk mengelak rahsianya terbongkar.
Corcoran pernah menceroboh pejabat pensyarah pada waktu malam untuk mengambil peti keselamatan dan meminta tukang kunci membukanya sebelum mencuri kertas soalan peperiksaan dan memulangkan semula pada waktu pagi.
“Apabila mengenang kembali apa yang saya lakukan, ia sesuatu yang gila. Saya lulus sekolah tinggi dan kolej serta menjadi seorang guru. Tiada siapa mengesyaki ada guru yang buta huruf,” jelasnya.

-Metro

Nak kahwin kerana takut tidur seorang

'Malam pertama tertangguh lagi'
Reaksi kecewa pasangan muda apabila pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung semalam, dibatalkan.
BANTAENG - SULAWESI. Rancangan untuk menikahkan pasangan remaja berusia 14 dan 15 tahun di daerah Bantaeng, Sulawesi Selatan, semalam telah dibatalkan.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, permohonan perkahwinan pasangan itu pada mulanya ditolak kerana usia mereka terlalu muda tetapi selepas membuat rayuan di Mahkamah Agama Bantaeng, permohonan mereka diluluskan.
Ketika ditanya alasan mahu berkahwin, remaja perempuan itu berkata, dia bukan dipaksa kerana berbadan dua, tetapi keinginan mereka sendiri.
Selain itu dia turut memberitahu takut tidur seorang kerana sering ditinggalkan sendirian di rumah selepas ibunya meninggal dunia dan bapanya kerap ke luar daerah untuk urusan perniagaan.
Menurut undang-undang di Indonesia, usia minimum untuk berkahwin bagi perempuan adalah 16 tahun, sementara lelaki 19 tahun.
“Pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung hari ini (semalam) terpaksa dibatalkan.
“Tapi jangan risau mereka tetap boleh berkahwin.
"Mengikut peraturan, 10 hari selepas membuat permohonan kepada pejabat agama barulah mereka boleh bernikah.
“Ini baru masuk hari kelima. Diminta bakal suami bersabar ya,” kata jurucakap Jabatan Agama Bantaeng, Mahdi Bakri semalam. 

DetikNews/Sinar

Sunday, April 15, 2018

FB Live enam das tembakan maut


Louisiana: Wanita maut selepas ditembak enam das oleh bekas teman lelakinya pada kali terakhir membuat siaran video menerusi Facebook Live, pagi kelmarin.
Kejadian berlaku di rumah mangsa, Rannita Williams, 27, di Shreveport, Lousiana, Amerika Syarikat (AS) selepas dia bertengkar dengan bekas teman lelaki itu, Johnathan Robinson, 36.
Menerusi siaran video itu, mangsa kelihatan dipaksa lelaki terbabit untuk meminta maaf mengenai sesuatu.
Johnathan yang berdiri di belakangnya berlegar-legar dan mengancam nyawa mangsa.
Tidak lama kemudian, dia melepaskan enam tembakan ke arah mangsa sebelum mangsa jatuh ke lantai.
Menurut polis, Johnathan mengurung Rannita di rumah itu sebelum mencapai raifel dan menembaknya.
Mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat cedera parah.
Johnathan didakwa atas tuduhan membunuh dan memiliki senjata api.

-Metro

Berang diejek



Volgograd: Berang diejek memiliki alat kelamin kecil oleh pasangan seksnya, seorang lelaki berusia 25 tahun membunuh wanita 29 tahun sebelum menanam mayat mangsa dalam hutan di sebuah pekan di wilayah Volgograd, Russia.
Sebelum kejadian, lelaki dan wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu, Marina Kovalenko, berkenalan di sebuah kafe di Yerzovka, sebelum lelaki itu menemaninya pulang.
Namun, mereka kemudian ke tempat tinggal lelaki berkenaan dan melakukan hubungan seks.
Menurut Daily Mail yang memetik laporan media Russia, lelaki itu memberitahu polis, Marina mentertawakan alat kelaminnya yang menurut wanita itu, kecil.
Menurut lelaki itu, dia menjadi terlalu marah hingga ‘naik gila’ dengan penghinaan itu.
“Dia mencekik wanita itu hingga mati dan membawa mayat mangsa ke hutan sebelum menanamnya,” kata jurucakap polis.
Apabila menerima laporan kehilangan wanita itu, siasatan polis membawa kepada lelaki yang ditemuinya di pekan berkenaan.
Lelaki itu memberitahu, mereka berjalan sehingga sampai ke persimpangan menuju ke rumah wanita itu dan dia mendakwa Marina pulang bersendirian.
Namun, rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua mereka memasuki kediaman lelaki itu dan Marina tidak dilihat meninggalkannya.
“Ketika soal siasat, lelaki itu mengaku membunuh Marina dan menunjukkan lokasi mayat mangsa ditanam.
“Dia menanam wanita itu dalam hutan di pinggir pekan,” kata jurucakap Jawatankuasa Siasatan Russia yang menyiasat jenayah berat.
Lelaki bujang itu yang tiada rekod jenayah, menghadapi tuduhan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

-Metro

Thursday, April 12, 2018

Aceh henti sebat khalayak awam

GAMBAR fail bertarikh 23 Mei 2017 menunjukkan seorang
GAMBAR fail bertarikh 23 Mei 2017 menunjukkan seorang lelaki disebat di khalayak umum atas kesalahan mengadakan hubungan seksual sejenis di Banda Aceh, Indonesia.
BANDA ACEH, Indonesia – Wilayah Aceh akan menghentikan hukuman sebat terhadap pesalah syariah di tempat awam selepas amalan tersebut dikecam di peringkat antarabangsa, kata pihak berkuasa tempatan semalam.
Rantau konservatif di pulau Suma­tera itu semalam meluluskan undang-undang yang menyaksikan mereka yang didapati bersalah hanya akan menerima hukuman di dalam penjara.
Aceh merupakan satu-satunya kawasan yang mengamalkan undang-undang syariah di negara majoriti umat Islam itu.
Di bawah undang-undang baharu ini, sebatan dengan rotan tidak akan dapat disaksi dan dirakam lagi oleh orang ramai. Hanya wartawan serta orang dewasa dibenarkan menyaksikan hukuman tersebut di dalam penjara.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila undang-undang baharu itu akan mula berkuat kuasa.
Tindakan sebat terbuka di luar masjid di Aceh menjadi hukuman biasa bagi pelbagai kesalahan seperti berjudi dan minum arak hinggalah kepada hubungan seksual sejenis.
Kumpulan hak asasi manusia mengutuk hukuman sebat sebagai kejam dan tahun lalu Presiden Joko Widodo menyeru agar sebat di tempat awam dimansuhkan di Aceh.
“Ini (undang-undang) untuk meredakan protes serta untuk meredakan Islamofobia. Kami tidak mahu isu Islamofobia mengganggu urusan di luar Indonesia,” kata Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf. – AFP/Kosmo

Monday, April 9, 2018

Mati 'diawet hidup-hidup'



Moscow: Seorang wanita mati terseksa selepas ‘diawet hidup-hidup’ apabila doktor tersilap memberi cecair yang mengandungi formaldehid dan bukannya salina ketika pembedahan.
Ekaterina Fedyaeva, 27, yang menjalani pembedahan rutin di Ulyanovsk, diberi formalin formaldehid- cecair yang lazimnya digunakan untuk mengawet mayat.
Kesilapan itu menyebabkannya berada dalam kesakitan dan kejang selama dua hari sebelum koma.
Dia dikejarkan ke hospital di Moscow dan terjaga dari koma tetapi meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ berfungsi.
Ibunya Galina Baryshnikova berkata: “Dia tidak henti menggigil selama dua hari. Saya memakaikan stoking dan beberapa lapisan baju selain menyelimutkannya tetapi dia tidak berhenti menggigil. Dia juga sakit perut dan muntah-muntah.
“Ketika itu kami tidak tahu dia dimasukkan formalin. Kini saya faham, sebenarnya badannya ‘dimakan’ dari dalam dengan formalin. Tetapi ketika itu doktor tidak melakukan apa-apa sedangkan mereka tahu ada sesuatu tidak kena.
“Selama 14 jam selepas pembedahan, anak saya mempunyai racun ini dalam badannya namun mereka tidak berbuat apa-apa.”

-Metro

Sunday, April 8, 2018

Naik bas gunting tusuk kepala



Beijing: Biarpun menderita sakit, seorang wanita masih kelihatan tenang apabila dia selamba menaiki bas ke hospital dalam keadaan kepala yang tercucuk gunting sedalam kira-kira 3.8 sentimeter sehingga ke bahagian otak.
Kejadian malang itu berlaku ketika Shen Xiaoying, 57, memetik daun mahogani di rumahnya di Xiangyang, wilayah Hubei dengan menggunakan gunting terbabit.
Media melaporkan, gunting itu disangkut pada batang buluh sebelum patah dan menusuk kepalanya. Memandangkan ketika itu tiada ahli keluarga di rumah, Shen terpaksa ke hospital bersendirian untuk rawatan.
Menurut Pear Video, gunting itu tertusuk kira-kira 3.8 sentimeter hingga ke bahagian otak menyebabkan dia terpaksa menjalani dua pembedahan kecil untuk mengeluarkannya.
Kecederaan ngeri itu dapat dilihat dengan jelas berdasarkan imbasan x-ray kepala wanita terbabit.
South China Morning Post melaporkan, doktor berjaya mengeluarkan gunting itu dan Shen kini semakin pulih serta dijangka keluar hospital dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Selepas pembedahan itu, dia kini mula sedarkan diri, namun masih berasa kebas dalam tempoh terdekat ini kesan daripada ubat bius yang diberi,” kata doktor. - Agensi/Metro

Tuesday, April 3, 2018

Intip telefon pasangan 'satu jenayah'



Riyadh: Pasangan berkahwin di Arab Saudi mungkin berfikir dua kali untuk mengintip telefon bimbit pasangan masing-masing kerana ia kini dianggap sebagai satu perbuatan jenayah.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Penerangan Arab Saudi menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Menurutnya, jika sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda sehingga 500,000 riyal (RM516,000) dan penjara setahun.
Peraturan itu sebahagian daripada undang-undang anti-siber baharu yang berkuat kuasa, minggu lalu.
Kementerian berkata, undang-undang itu diperkenalkan untuk melindungi moral individu dan masyarakat serta maklumat peribadi mereka.
Langkah dibuat ketika berlakunya peningkatan jenayah siber seperti memeras ugut, penyelewengan dan fitnah.

-Metro

Monday, April 2, 2018

Sental batu konon kulit jadi putih



New Delhi: Seorang budak lelaki berusia lima tahun didera ibu angkatnya selama lebih setahun dengan badan disental menggunakan batu hitam kerana dipercayai dapat memutihkan kulitnya.
Dalam kejadian di Uttrakhand itu, kanak-kanak terbabit diselamatkan polis semalam selepas anak saudara wanita terbabit membuat laporan kerana tidak sanggup melihat mangsa terus didera, lapor The Times Of India.
Wanita itu, Sudha Tiwari, yang juga guru dilaporkan tidak berpuas hati kerana kanak-kanak diambil sebagai anak angkat berkulit gelap.
Ketika diselamatkan kanak-kanak itu dipenuhi parut dan lebam terutama di bahu, belakang badan, kaki dan pergelangan tangan akibat disental berulang kali menggunakan batu hitam dipercayai mampu memutihkan kulitnya yang gelap.
Anak saudara wanita itu, Shobna Sharma berkata: “Ada orang mencadangkan dia menyental badan budak itu menggunakan batu namun akibatnya perbuatan berkenaan menyebabkan kecederaan teruk.
“Saya cuba menghalangnya beberapa kali tetapi dia enggan mendengar. Saya akhirnya menghubungi polis kerana tidak tahan melihat kanak-kanak itu didera.”
News World India memetik pengarah yayasan perlindungan kanak-kanak, Child Line, Archana Sahay mengesahkan keseluruhan badan mangsa dipenuhi parut dan kecederaan ketika ditemui.
Kes itu kini disiasat.

-Metro

Sunday, April 1, 2018

13 tahun terkurung dalam bilik kaca



Madrid: Wanita berusia 53 tahun terpaksa dipisahkan dari dunia luar dan hidup terasing dalam bilik kaca selama 13 tahun kerana menghidap penyakit yang jarang ditemui.
Media Sepanyol melaporkan, Juana Munoz, 53, dari Cadiz, terkurung dalam bilik kaca berukuran 25 meter persegi itu kerana mengalami masalah sensitif terhadap bahan kimia, fibromyalgia, sindrom keletihan kronik serta sensitif terhadap gelombang elektromagnetik.
La Espanol melaporkan, dia sudah lama mengalami masalah itu, namun keadaan menjadi semakin buruk selepas terkena habuk ubi kentang yang ditanam suaminya di rumah mereka.
Matanya menjadi gatal sebelum lidah bengkak hingga dia terpaksa menerima rawatan rapi di hospital.
Sejak itu, wanita berkenaan menghabiskan masa dalam kotak kaca dengan dibantu suaminya, Manuel yang memberikan sokongan selain menanam sendiri sayuran organik untuk isterinya.
“Kesakitan yang dialami bukan perkara paling buruk tetapi kesan fizikal dan psikologi kerana tidak dapat keluar dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain lebih buruk,” katanya yang ditemubual menggunakan mikrofon dari bilik kacanya.
Meskipun penyakit itu menghalangnya bersama suami dan anak-anak, namun dia amat berharap dapat menyambut cucu pertama yang akan lahir tidak lama lagi.
Munoz berkata, dia kini menunggu topeng muka organik khas dari sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) yang diharap membolehkannya keluar dari bilik kaca itu.

 - Agensi/Metro