Thursday, April 19, 2018

Dijel 320 tahun tawar 'seks pencuci mulut'



Bangkok: Seorang bekas polis dipenjara 320 tahun manakala dua wanita dipercayai ibu ayam turut dijel ratusan tahun berhubung skandal pemerdagangan manusia.
Mereka dilaporkan menawarkan remaja sebagai ‘pencuci mulut’ untuk pegawai kanan di Thailand termasuk ada mangsa dipaksa bertatu gambar burung hantu sebagai ‘tanda’ menganggotai rangkaian berkenaan.
Mahkamah Jenayah Bangkok, semalam, mengarahkan bekas polis berpangkat Sarjan Mejar, Yutthachai Thongchart, dipenjara 320 tahun.
Dua lagi, Piyawan Sukma, 27, dan Piyathas Thiensuwan, 31, masing-masing dipenjara 167 tahun dan 176 tahun.
Menurut Bangkok Post, mengikut peruntukan undang-undang, mereka cuma akan menjalani hukuman penjara 50 tahun.
Lima lain turut dihukum iaitu Mongkol Kiatpakdeepong, 31, dipenjara 19 tahun, Patthamaporn Inkaew, 32, (12), Kanokwan Rattanpakdee, 23, (lapan), Kwanhathai Rerkudom, 40 (tujuh) dan Kallaya Wutthikul, 41, (36).
Semuanya juga diarahkan membayar pampasan kepada mangsa.
Gabenor Mae Hong Son, Suebsak Iamwichan pada mulanya dikaitkan dengan skandal itu malah dipindahkan ke jawatan lain sebelum kembali menjadi gabenor selepas siasatan mendapati dia tidak bersalah.
ABC News melaporkan, seorang pegawai tempatan mengakui menganjurkan makan malam mewah untuk tetamu kehormat datang melawat sebelum menawarkan gadis remaja disifatkan ‘pencuci mulut’ untuk seks.
Menurut The Nation, kes itu terbongkar tahun lalu selepas ibu seorang remaja berusia 17 tahun mendakwa anaknya dipaksa menyertai rangkaian seks dan akhirnya mendedahkannya kepada media selepas polis gagal menyiasat.

-Metro

No comments:

Post a Comment