Monday, April 16, 2018

Guru buta huruf


New York: Seorang lelaki yang buta huruf mendedahkan dia menggunakan pelbagai helah untuk menjadi pelajar cemerlang di sekolah dan kolej malah bekerja sebagai guru selama 17 tahun walaupun tidak boleh menulis namanya sendiri.
John Corcoran yang kini berusia 77 tahun mempunyai masalah pembelajaran ketika kecil dan hanya boleh membaca ketika berusia 48 tahun.
Walaupun tidak boleh membaca, Corcoran berjaya menamatkan pelajaran di sekolah tinggi dan memperoleh ijazah di sebuah kolej sebelum diterima bertugas sebagai guru di sebuah sekolah tinggi pada 1960-an.
Selama berpuluh-puluh tahun, Corcoran merahsiakan perkara itu tetapi akhirnya mendedahkan rahsia berkenaan kepada isterinya selepas dia gagal membaca buku cerita kepada anaknya.
Dalam wawancara dengan BBC, Corcoran memberitahu, walaupun buta huruf, dia pintar dan mempunyai kemahiran komunikasi serta pergaulan.
“Saya pelajar yang terkenal di sekolah dan berkawan dengan pelajar kolej yang pintar. Saya mempunyai ramai kawan terutama perempuan yang membuat kerja sekolah untuk saya,” katanya.
Corcoran juga menipu ketika peperiksaan di sekolah dengan menyalin atau meminta rakan sekelasnya menjawab kertas soalan.
Dia kemudian diterima masuk ke kolej dengan biasiswa sukan dan Corcoran terpaksa menggunakan cara lebih ekstrem untuk mengelak rahsianya terbongkar.
Corcoran pernah menceroboh pejabat pensyarah pada waktu malam untuk mengambil peti keselamatan dan meminta tukang kunci membukanya sebelum mencuri kertas soalan peperiksaan dan memulangkan semula pada waktu pagi.
“Apabila mengenang kembali apa yang saya lakukan, ia sesuatu yang gila. Saya lulus sekolah tinggi dan kolej serta menjadi seorang guru. Tiada siapa mengesyaki ada guru yang buta huruf,” jelasnya.

-Metro

No comments:

Post a Comment