KAUM Muslimah perlulah mengutamakan syariat berbanding mengejar trend yang akhirnya merugikan. - Gambar hiasan
SOALAN
ALHAMDULILLAH, akhir-akhir ini, kita dapati telah ramai wanita Islam kita yang mengenakan tudung, walaupun pemakaian itu bertujuan tertentu dan bukan kerana tuntuan syariat sangat. Yang menjadi persoalan saya ialah, apa yang dimaksudkan dengan sebuah hadis yang menyebut tentang bertudung tetapi tinggi umpama bonggol unta itu adalah haram.
Jawapan
Usaha menutup aurat daripada lelaki dan wanita adalah usaha yang baik. Lelaki mempunyai hukum aurat yang berbeza daripada wanita. Antaranya ialah tentang pemakaian tudung bagi menutup rambut dan kepala wanita. Maka adalah wajib hukumnya bagi wanita menutup kepala sama ada dengan tudung, kain batik, selimut, langsir dan sebagainya. Yang penting bukan tudung tetapi menutup aurat kepala.
Wujud fahaman bahawa wanita tidak diwajibkan menutup kepala. Fahaman ini adalah fahaman yang salah dan bertentangan dengan nas al-Quran dan riwayat hadis. Oleh itu, fahaman sebegini wajib ditolak. Hadis mestilah menjadi pegangan bagi setiap Muslim.
Adapun isu bonjolan seperti bonggol unta, perkara ini disebut dalam satu riwayat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. (Kitab al-Libas, no hadis 2128). Hadis tersebut menerangkan tentang kumpulan yang berpakaian tetapi telanjang. Antara maksudnya ialah insan yang berpakaian tetapi masih tidak menutup aurat dengan sempurna.
Berapa ramai yang dapat kita saksikan di mana pakaian mereka seksi menampakkan aurat. Bahkan, pakaian mereka masih menampakkan betis, paha dan perut mereka. Maka apa yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam riwayat hadis ini sebenarnya telah berlaku. Ingatlah bahawa balasan bagi insan yang berperangai sebegini adalah neraka tanpa mengira pangkat dan harta.
Kemudian disebut bahawa di atas kepala mereka seperti bonggol unta. Bonggol unta ini adalah rambut wanita yang disanggul naik ke atas kepala.
Menurut Imam Nawawi dalam menghuraikan hadis ini, ia bermaksud bahawa mereka meletakkan sesuatu di rambut atau kepala mereka bagi membesarkan bahagian belakang kepala mereka. Ini bermaksud bahawa wujud penambahan hiasan hingga ia terkeluar daripada kebiasaan.
Cara perhiasan ini pula digayakan di luar rumah. Maka rambut yang disanggul ke atas dan ditambah dengan alat sanggul hingga bentuknya seperti bonggol unta, maka ia wajib dielakkan.
Hadis ini juga tidak terhad kepada insan yang tidak menutup aurat kepala. Tidak menutup aurat kepala adalah dosa. Namun hadis ini juga meliputi golongan yang menutup kepala namun perhiasan rambutnya adalah melampau had yang sewajarnya.
Adapun rambut yang disanggul di belakang kepala maka ia tidak termasuk dalam hadis ini. Oleh itu, adalah harus rambut disanggul. Sanggul kecil bagi mengemaskan ikatan rambut juga tidak mengapa. Ini adalah satu perkara yang diperlukan dalam perhiasan wanita.
-Utusan
No comments:
Post a Comment