Tuesday, February 18, 2014

Rumah Terbalik, idea perniagaan dianggap gila


BENARLAH kata orang, jika seseorang itu betul-betul menjiwai sesuatu usaha yang sedang dibuatnya, benda yang dikatakan mustahil pun boleh terjadi. Itu yang berlaku kepada syarikat Trekkers Lodge Sdn Bhd yang mencipta dan mengendalikan tarikan pelancongan Rumah Terbalik di Tamparuli, Sabah. Ya, rumah itu memang terbalik. Matlamat di sebalik idea unik itu mudah, iaitu bagi menaikkan sektor pelancongan di Sabah. Berbekalkan kos pembinaan RM1 juta, rumah itu yang mengambil masa enam bulan untuk dibina akhirnya siap pada Januari 2012, sebelum dibuka kepada pelancong pada 9 Mac 2012. Penolong Pengurus Tamu Rumah Terbalik Ayub Janien berkata, sejak ianya dibuka sehingga pertengahan tahun lalu, jumlah pengunjung ke rumah itu mencecah satu juta orang. “Pada minggu pertama dan kedua selepas pelancaran, jumlah orang yang datang sudah melebihi 20,000,” katanya semasa ditemui di Rumah Terbalik yang menggaji 58 pekerja. Kini, Rumah Terbalik menjadi antara tarikan yang dipromosikan di laman web rasmi Lembaga Pelancongan Sabah. Idea dianggap gila dan mustahil Sama seperti idea unik yang lain dalam perniagaan, cadangan untuk membina Rumah Terbalik dianggap idea gila oleh banyak pihak lain. “Apabila kita kata hendak buat rumah yang dibina terbalik, orang cakap kita gila. “Ramai orang tidak percaya Rumah Terbalik ini boleh dibina. Hendak minta lesen untuk bina rumah ini pun memang susah,” katanya. Menurut beliau, rumah itu dibina menggunakan khidmat kontraktor tempatan tetapi mereka terpaksa beberapa kali menukar kontraktor sebelum ia dapat disiapkan. “Ramai kontraktor tidak sanggup hendak bina rumah ini. Bahagian paling susah untuk dibina adalah bahagian atap. “Kalau di luar negara, mereka bina sebuah rumah biasa, kemudian mereka terbalikkan. Tetapi kita bina terus bermula dengan atap di atas tanah,” katanya. Beliau berkata, rancangan awal adalah untuk membina rumah itu di atas bukit, namun keadaan tanah yang tidak sesuai menyebabkan lokasinya ditukar. Rumah terbalik pertama di Asia Tenggara Ayub berkata, Rumah Terbalik itu memecah rekod sebagai yang pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara. Selain di Sabah, rumah terbalik turut dibina sebagai tarikan pelancong di luar negara, antaranya di Rusia, Jerman dan Kanada. Menurut Ayub, walaupun pada awalnya rumah itu dibina untuk tarikan pelancong asing, kebanyakan pengunjung yang datang adalah dari sekitar Sabah sendiri. “Kami juga sebenarnya agak terperanjat dengan sambutan orang tempatan terhadap rumah ini. “Musim cuti umum dan cuti sekolah di Malaysia adalah waktu paling sibuk untuk kami,” katanya yang menambah mereka menerima sehingga 3,000 pengunjung setiap hari untuk lawatan kira-kira 20 minit memasuki rumah itu. Apa yang menarik perhatian begitu ramai pengunjung? Pastinya hiasan dalaman rumah itu, yang semuanya dipasang secara terbalik, jadi apabila pengunjung memasuki rumah tersebut, mereka akan melihat sofa dan set televisyen di atas kepala manakala kipas dan lampu di lantai. “Kipas di lantai itu sebenarnya boleh berfungsi seperti biasa, cuma kami tidak hidupkan atas faktor keselamatan. “Dalam banyak-banyak barang ini, tong gas paling susah untuk dipasang,” katanya sambil menjelaskan kesemua hiasan dalaman dan keperluan harian di dalam rumah itu dilekatkan menggunakan gam khas dan dibiarkan sehingga sehari untuk memastikan ianya benar-benar kukuh. Menurut Ayub, sebahagian daripada hiasan rumah itu diimport khas dari Semenanjung Malaysia untuk memastikan reka bentuk dan kualitinya terjamin. “Namun, Rumah Terbalik ini dibina mengikut reka bentuk rumah di Sabah, tidak sama dengan di Semenanjung Malaysia. Rumah ini juga menggambarkan corak hidup orang Sabah, terutama kepercayaan zaman dahulu,” katanya. Selain hiasan dalaman rumah, bahagian luar rumah itu juga dilengkapi barangbarang biasa yang ada di rumah di Malaysia, tetapi bezanya barangan itu, seperti penyapu, basikal dan kereta, juga terbalik. Rancang bina sebuah lagi rumah terbalik Ayub berkata, syarikat itu dalam perancangan untuk membina sebuah lagi Rumah Terbalik di Sepilok, Sabah. “Buat masa ini, kami akan memberi perhatian kepada Rumah Terbalik di Kota Kinabalu ini dahulu. “Kami ada membuat tambahan baru, iaitu taman terbalik di bahagian luar. Kami juga bina tandas terbalik di bahagian luar rumah untuk tujuan mengambil gambar kerana di dalam rumah itu, kami tidak benarkan pengunjung mengambil gambar,” jelasnya. Menurut Ayub, Trekkers Lodge juga akan membeli sebuah bas untuk menyediakan pengangkutan percuma dari lokasi tertentu di Kota Kinabalu ke Rumah Terbalik. Selain Rumah Terbalik sebagai tarikan utama, syarikat itu turut giat mempromosi Restoran Mango Garden dan kafeteria yang terletak dalam kawasan rumah itu. “Jika pengunjung sudah pernah datang dan masuk ke dalam Rumah Terbalik, mereka boleh datang semula untuk menikmati makanan di restoran ini pula,” katanya mengenai Restoran Mango Garden yang pernah memasuki sebuah rancangan makanan terkenal. Menurut beliau, pembinaan Rumah Terbalik di kawasan pinggir bandar itu turut memberi kesan baik kepada penduduk di pekan Tamparuli. “Sudah mula ada kemajuan di pekan ini kerana ramai pelancong sama ada tempatan atau luar yang datang ke sini,” katanya. Ayub berkata, di sebalik sambutan menggalakkan, syarikat itu tidak merancang menaikkan harga tiket yang ditetapkan pada RM10 bagi pemegang MyKad dewasa, RM5 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun (dan percuma bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun) dan RM18 bagi pelancong luar. FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN-Sinar

No comments:

Post a Comment