Florida: Seorang lelaki berasal dari Tampa berdepan tuduhan membunuh rakannya selepas mereka bergaduh kerana berebut kaki ayam.
James Jugo, 52, didakwa menyerang Benjamin Calderon, 56, selepas rakannya itu mengambil kaki ayam yang dimasaknya di kuali.
Bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat Benjamin menunjukkan ada tanda pendarahan dalaman selepas dia dipukul berkali-kali di muka, leher dan beberapa tempat lain.
Seorang saksi memberitahu polis dia melihat James memukul Benjamin dengan papan.
Adik Calderon, Bolivar memberitahu media tempatan abangnya menetap di rumah James selepas keluar dari rumah perlindungan.
Bolivar berkata, abangnya berusaha mengumpul duit untuk mengambil lesen supaya dapat bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Tiada siapa yang patut mati semata-mata kerana berebut kaki ayam,” katanya.
Pihak berkuasa Tampa berkata James ditahan atas tuduhan membunuh selepas memukul rakannya sehingga mati baru-baru ini.
Jugo ditahan di penjara selepas gagal membayar ikat jamin. Rekod menunjukkan dia masih belum mengambil peguam untuk membelanya di mahkamah.
Dia pernah ditahan sebanyak 19 kali sebelum ini. - AFP/Metro
No comments:
Post a Comment