Walaupun bahasa Arab bukan mudah untuk dikuasai, beberapa selebriti melakar namanya melalui bahasa itu untuk memukau peminat seni, sekali gus mengumpul kekayaan luar biasa.
Berikut ialah senarai 10 penyanyi Arab mendapat bayaran paling mahal:
Najwa Karam (Kekayaan: RM180.3 juta)
Najwa dianggap antara penyanyi wanita paling lawa. Berusia 48 tahun, artis kelahiran Lubnan ini dikenali kerana memiliki suara bertenaga. Lebih 50 juta albumnya terjual di seluruh dunia.
Dia juga dianggap ikon fesyen untuk rantau Arab.
Amr Diab (Kekayaan: RM147.5 juta)
Amir Diab dianggap penyanyi lelaki paling diminati di dunia Arab dengan lagu dan nyanyiannya didengar hampir di setiap negara rantau itu.
Penyanyi berasal dari Mesir itu juga dikenali kerana kemampuannya mencipta lagu.
Kini berusia 52 tahun, Amr pernah mendapat Anugerah Muzik Dunia untuk kategori Album Timur Tengah Terlaris sebanyak tiga kali, iaitu pada 1998, 2002 dan 2007.
Haifa Wehbe (Kekayaan: RM131.1 juta)
Penyanyi Arab paling cantik dan paling banyak mendapat liputan media. Selain popular di negara Arab, Haifa turut diminati di Hollywood dan negara lain.
Dia dilahirkan di Mahrouna, Lubnan, pada 10 Mac 1976.
Bekas finalis Ratu Cantik Lubnan ini juga menyertai bidang lakonan.
Pada 2006, majalah People menyenarai Haifa sebagai seorang daripada 50 wanita tercantik di dunia.
Nancy Ajram (Kekayaan: RM131.1 juta)
Seorang lagi penyanyi kelahiran Lubnan.
Nancy adalah penyanyi Arab paling ramai pengikut di rangkaian laman sosial.
Melalui sokongan padu bapanya, Nancy mula membuat persembahan sebagai penyanyi kanak-kanak dan menghasilkan album pertama menjelang usianya 15 tahun.
Namanya melonjak selepas mengadakan kolaborasi dengan penerbit ternama, Jiji Lamara dan mereka menghasilkan album Akhasmak Ah.
Elissa (Kekayaan: RM124.5 juta)
Lahir di Deir el Ahmar, Lebanon 41 tahun lalu, Elissa seorang lagi artis yang tampil dengan gabungan wajah ayu serta suara merdu.
Elissa menjadi antara penyanyi wanita Arab yang paling banyak mendapat pencalonan dalam pelbagai anugerah di Asia.
Diana Haddad (Kekayaan: RM98.3 juta)
Diana, 37, adalah penyanyi wanita Arab yang memiliki suara paling bertenaga ketika ini dan mencabar kebanyakan penyanyi lain yang lebih popular.
Nama penuhnya ialah Diana Joseph Fouad Haddad dan kini memiliki kewarganegaraan Emiriah Arab Bersatu.
Turut dikenali sebagai personaliti televisyen, Diana adalah seorang daripada penyanyi wanita Arab paling popular dan berjaya sejak akhir 1990-an.
Majida El Roumi (Kekayaan: RM91.8 juta)
Namanya melonjak dan sebutan ramai hanya sejak beberapa tahun lalu. Dia diingati kerana berjaya membawa beberapa lagu Arab popular.
Dilahir dan dibesarkan di Kfarshima, Lubnan, Majida memulakan kerjaya muziknya sejak awal 1970-an apabila menyertai pertandingan pencarian bakat baru Studio El Fan ketika berusia 16 tahun.
Majida, 57, juga pernah terpilih sebagai Duta Khas PBB.
Ragheb Alama (Kekayaan: RM91.8 juta)
Ragheb Subhi Alama, 51, adalah personaliti serba boleh Lubnan. Dia berbakat sebagai penyanyi, pencipta lagu personaliti televisyen dan dermawan.
Dia memulakan kerjaya sebagai artis pada 1980-an melalui penyertaannya dalam pertandingan mencari bakat baru Studio El Fan.
Kemunculannya itu membawa tuah apabila memenangu Anugerah Platinum.
Nicole Saba (Kekayaan: RM81.9 juta)
Nicole dianggap penyanyi bersuara paling merdu dari Lubnan, membolehkannya mendapat gelaran bayaran paling tinggi bagi sesuatu persembahan di Arab ketika ini.
Antara 1998 hingga 2001 Nicole menganggotai kumpulan pop The 4 Cats dan sempat menghasilkan dua album bersama Tic - Tick dan Layl Nhar.
Mereka kian popular apabila menjadi model iklan gel mandian Lux.
Mika (Kekayaan: RM75.4 juta)
Lahir dengan nama asal Michael Holbrook Penniman Jr dan berdarah kacukan Lubnan - British.
Dia menghasilkan album penuh berjudul Life in Cartoon Motion pada 2007 dan sebanyak 5.6 juta unit terjual di seluruh dunia.
Album itu juga membantu Mika memenangi Anugerah Brit serta dicalonkan untuk Anugerah Grammy.
-Metro
No comments:
Post a Comment