SALAM dari Madinah Al-Munawarrah. Firman Allah SWT: "Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku, akan Ku beri dia. Siapa yang meminta ampun, akan Ku ampuni dia."
Duhai wanita, itulah janji Allah SWT. Maka, berdoalah, nescaya Dia akan perkenankan. Lalu saya terkenang kisah seorang anak yang bertahun-tahun merantau jauh ke luar negara. Tiba-tiba hatinya meronta-ronta mahu kembali ke tanah air.
Ia bukan kerana kehilangan pekerjaan atau bukannya hilang tempat berteduh. Bukan. Ia perasaan aneh menyentap jiwa dan perasaan. Hatinya terkenang ibu yang ditinggalkan. Ia rasa kerinduan membuak-buak.
Putaran kenangan semasa kanak-kanak terutamanya ketika dibelai manja muncul silih berganti. Lantas anak itu menyatakan hasrat kepada ibunya, 'Duhai ibuku, daku mahu kembali ke pangkuanmu.'
Allah ya Allah, tiba-tiba hatinya terkenang keperitan ibu membesarkannya di kala hidupnya cukup mudah di negara orang. Rumah modennya kelihatan tidak seceria sebagaimana gobok usang ibunya. Kerusi kenderaan yang dinaikinya tidak seenak belakang dukungan tubuh kering ibunya.
Aneh, tiba-tiba beliau merasai semakin tinggi jawatan yang disandang, semakin canggih ruang pejabat, namun sofa penggalas duduk tidak seempuk ribaan kasih ibu ketika kecilnya.
Kerinduan
Beliau nyatakan, 'Daku sering terlena dan bermimpi di sofa ini. Mimpi diri ditikam dari depan dan belakang. Ada masanya kaki disentap ke bawah dan tangan diikat ke atas sedangkan mata ditutup rapat dan mulut dikunci.
Beliau berhempas pulas mahu melepaskan diri. Subhanallah! Akhirnya, beliau terlepas dalam kesusahan.
Hari itulah beliau menangis pilu bermuhasabah diri. Diam-diam beliau terkenang ibu tua yang ditinggalkan sendirian nun jauh beribu batu. Itulah harga mengejar kejayaan di negara orang. Kejayaan dunia ciptaan sendiri.
Lagi, beliau terbayang usapan penuh kasih dan sayang, ketekunan mendengar rintihan apabila dirinya diperlakukan oleh rakan-rakan. Tergambar senyuman ikhlas melihat beliau menerima anugerah kejayaan.
Malah, beliau terkenang air mata ibu mengalir perlahan di hari konvokesyen. Hatinya bertambah sayu mengenangkan air mata ibu membasahi pipi sambil tangan melambai-lambai melihat dirinya berangkat pergi berhijrah. Ia bagaikan lambaian terakhir.
Pada saat dan detik itu, hatinya cekal melangkah gagah tanpa belas meninggalkan ibu yang melambai longlai semata-mata mahu mengejar impian.
Daku punya cita-cita. Ia hanya soal pilihan antara berada di negara sendiri atau ke luar negara. Di sana lebih lumayan. Aku fikir kehidupan ini perlu diteruskan.
Aneh, tiba-tiba sahaja jawatan dan gaji besar di luar negara tiada makna. Jiwa beliau mati kelemasan merindui wajah dan mata bundar ibunya. Tiba-tiba juga hatinya berbisik perlahan: "Maafkan daku duhai ibu jika selama ini aku mengabaikan dirimu."
Begitulah, saya juga berasa aneh dengan perubahan yang berlaku kepadanya lalu bertanya kepada ibunya, "Duhai wanita seusia dengan ibuku, apakah rahsiamu sehingga begitu hebat terpanggil pulang anak kebanggaanmu?"
Dengan penuh kesyukuran si ibu membuka bicara. Katanya, "Allah SWT telah memanggilnya pulang. Berdoalah dari hati. Usah putus berdoa siang dan malam. Sewaktu duduk, berjalan, berdiri mahupun berbaring. Bukankah Allah Maha Mendengar segala yang ada di dalam hati dan apa terkandung di dada?"
Duhai wanita yang seusia dengan ibuku, apakah kandungan doamu? Ibu itu berkongsi rahsia doa yang dipanjatkan kepada Tuhannya pada sepertiga malam tersisa: "Ya Allah, sesungguhnya daku hidup miskin tidak berharta. Satu-satunya harta paling berharga adalah anak yang dianugerah-Mu.
"Ya Allah, sesungguhnya susu yang mengenyangkan perutnya adalah seluruh makanan bagi menyabung nyawaku. Aku menyusuinya di kala perutku kosong berpuasa. Ya Allah, hampirkan daku kepadanya sebelum aku beredar pergi. Ya Allah perkenankanlah."
Doa ibu
Benar. Kami semua tahu. Seluruh jiwa raga tertumpu kepada anaknya. Bersengkang mata ketika anaknya kesakitan. Beliau bahagia melihat anaknya tertawa gembira, berdukacita melihat anaknya gundah gulana serta bersabar melihat kenakalannya.
Beliau berbangga melihat anak berjaya melangkah ke menara tinggi. Namun tiada daya upaya menahan lantaran kemahuan anak begitu kuat sekali mahu menetap di luar negeri.
Akur bahawa anak itu tidak akan hidup bersama ibu buat selama-lamanya. Beliau reda melepaskan anaknya pergi. Namun, kerinduan terhadap anaknya semakin hari semakin menebal. Lalu pada satu pertiga malam masih tersisa beliau mengadu kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.
Rintihnya lagi: "Ya Allah Ya Tuhanku, kembalikan anakku di sisi selagi masih ada sisa hayatku. Daku sudah tua dan tidak berdaya. Kudratku, rambutku serta wajahku telah jauh berbeza. Sesungguhnya daku bimbang akan pergi menemui-Mu tanpa dapat menatap wajahnya."
Sungguh, bukankah Allah Maha Mendengar?
-Kosmo
No comments:
Post a Comment