Monday, March 10, 2014

Pengantin unik kaum Pomak


Kecantikan seseorang wanita biasanya lebih terserlah pada hari perkahwinan dan untuk menyambut hari bersejarah itu, ramai yang sanggup berhabis menjalani rawatan kecantikan bagi menaikkan seri wajah mereka. Kebahagiaan yang dirasakan turut menaikkan kemanisan wajah mempelai dalam menyambut tetamu yang datang meraikan mereka.

Namun keadaan amat berbeza bagi pengantin perempuan daripada komuniti Pomak di perkampungan Ribnovo, Bulgaria. Hiasan, dandanan dan solekan wajah menutup kejelitaan pengantin perempuan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan, sekali pandang tidak ubah seperti topeng yang menakutkan.

Majlis perkahwinan kaum Pomak biasanya diadakan selama tiga hari merangkumi acara kenduri, menari dan pameran barang hantaran. Pada hari ketiga, wajah pengantin perempuan akan disolek tebal. Muka dan leher mereka akan disapukan krim muka berwarna putih yang kemudiannya dilekatkan labuci beraneka warna.

Labuci ini akan dilekatkan di pipi, dahi, dagu, kening, hidung dan kelopak mata dengan bentuk tertentu. Apa yang lebih menarik ialah ia turut dilekatkan di atas bibir dan kelihatan seperti misai!

Kemudian deretan bunga disusun di garisan anak rambut sebelum ia ditutup dengan layah merah. Sebagai pelengkap dandanan, hiasan kepala berjurai yang berkilat diletakkan bagi menutup wajah pengantin perempuan.

Sambil memejamkan mata dan menggenggam cermin muka, pengantin perempuan ini akan dipimpin keluar daripada rumah keluarganya untuk diserahkan kepada pengantin lelaki.

Ada banyak teori yang dikemukakan bagi menerangkan tradisi pelik kaum beragama Islam di Bulgaria itu. Ada yang percaya cermin muka itu bertujuan melindungi pengantin perempuan daripada pandangan jahat, ada pula berkata ia untuk menghubungkan pengantin dengan nenek moyangnya yang sudah meninggal dunia.

Berkenaan solekan warna putih pada wajah pengantin perempuan, penduduk Ribnovo ada cerita tersendiri. Pada zaman dulu, anak-anak lelaki mengikut ayah mereka menternak kambing biri-biri di kawasan pergunungan dan hanya balik ke kampung apabila cukup umur untuk berkahwin.

Oleh kerana mereka menjalani kehidupan yang lasak dan tiada pengalaman bergaul dengan perempuan, lelaki Pomak perlu belajar melayani isteri dengan lemah lembut. Jadi tugasan pertama (melayan isteri) sejurus selepas perkahwinan - yang masih diamalkan hingga sekarang - ialah mencuci wajah isteri dengan susu.

Budaya ini memang unik dan sangat berharga. Tidak hairanlah jika kaum Pomak sedaya upaya mempertahankan warisan nenek moyang mereka ini walaupun pemerintah komunis sejak dulu lagi berusaha untuk menghapuskannya.

Pada setiap musim sejuk penduduk Ribnovo yang beragama Islam dan bekerja di Jerman, Britain atau Israel dalam sektor perladangan dan pembinaan akan balik ke kampung untuk berkahwin mengikut adat resam mereka. Ribnovo adalah kampung terpencil dan miskin yang terletak di jajaran Pergunungan Rhodope.

Bagi pasangan muda, Letve Osmanova dan Refat Avdikov, kedua-duanya berusia 21 tahun, hari bersejarah mereka yang disambut selama dua hari dimulakan dengan pameran barang hantaran daripada stokin, mesin basuh sehinggalah katil pengantin yang disusun di sepanjang jalan supaya ia boleh disaksikan penduduk kampung.

Acara kemuncak adalah pada hari kedua di mana wajah Letve disolek tebal oleh dua ibu saudaranya. Kemudian mereka melekatkan labuci beraneka warna yang disusun menjadi bentuk bunga pada wajahnya.

Untuk meleng-kapkan dandanannya, ibu saudara Letve menyematkan layah dan hiasan berjurai berkilauan bagi melindungi wajah pengantin perempuan. Solekan dan dandanan ini membuatkan Letve kelihatan seperti anak patung.

Letve kemudiannya dipimpin dan diarak keliling kampung dengan alunan muzik tradisional sebelum digandingkan dengan bakal suaminya. Namun penampilan pengantin lelaki sangat berbeza dengan pengantin perempuan yang berwarna warni. Pengantin lelaki hanya mengenakan sut hitam dan kemeja kuning air mirip gaya lelaki Eropah.

Dalam majlis gilang-gemilang ini, mereka tidak menghidangkan arak, sesuai dengan tuntutan Islam. Mengikut sejarah, nenek moyang kaum Pomak beragama Kristian dan memeluk Islam ketika Bulgaria berada di bawah pemerintahan Uthmaniah daripada abad ke-14 hingga ke-19. Justeru itu, golongan muda dilarang mengadakan hubungan intim atau bermesra-mesra sebelum mendirikan rumah tangga.

Apa yang lebih menarik ialah, pengantin perempuan dikehendaki menutup mata sepanjang acara pernikahan. Dia hanya dibenarkan mengintai melalui cermin kecil yang dipegangnya sehinggalah majlis pernikahan selesai. Selesai majlis, Refat membawa isterinya balik dan mencuci solekan Letve dengan susu, kata bapa saudara Refat, Mustafa Avdikov.

“Saya bangga dengan keunikan tradisi kami ini,” kata Letve sambil tersenyum sebelum majlis perkahwinannya bermula. Sememangnya majlis perkahwinan boleh diumpamakan seperti perayaan musim sejuk yang amat dibanggakan oleh 3,500 penduduk Ribnovo.

Bagaimanapun pemerintah komunis Bulgaria yang mula mengambil alih kuasa selepas Perang Dunia Kedua sehingga 1989, bertindak kejam ke atas semua agama termasuklah Kristian Ortodoks yang menjadi anutan sebahagian besar penduduknya.

Malah regim Todor Zhirkov memberi tekanan besar kepada umat Islam terutama kaum Pomak, dengan memaksa mereka menghapuskan adat dalam perkahwinan dan berkhatan. Bahkan pengantin perempuan juga dilarang memakai pakaian tradisional yang berwarna-warni itu. Selain itu, mereka turut dipaksa menggunakan nama Eropah Slav (Slavonia).

Mungkin ketabahan kaum Pomak ini ada kaitan dengan makna nama kaum itu sendiri kerana perkataan Pomak bermakna orang yang menderita. Kini ada kira-kira 200,000 keturunan Pomak di seluruh dunia. Daripada sejuta masyarakat Islam di Bulgaria, kaum Pomak dianggap minoriti berbanding jumlah keseluruhan penduduknya yang mencecah 7.4 juta orang. Selain di Bulgaria, kaum Pomak juga boleh ditemui di Turki, Greece, Albania dan beberapa negara lain.

Seorang wanita di Ribnovo, Sevie Beeva, 86, yang dipaksa menukar namanya kepada Sofka, tidak dapat melupakan kepahitan hidup ketika komunis memerintah. “Saya terpaksa berhenti kerja kerana tidak mahu mendengar nama itu (Sofka),” katanya.

Seorang lagi penduduk Ribnovo, Fatme Kuchukova, 82, memberitahu bagaimana penduduk membaling batu pada polis apabila mereka datang untuk menukar nama penduduk pada 1964.

Namun peristiwa yang dianggap memalukan dan menghina umat Islam itu tidak diceritakan pada generasi muda. Bagaimanapun majlis perkahwinan itu menunjukkan identiti kaum Pomak yang pemurah dan sangat mementingkan hubungan kekeluargaan.

Bulgaria yang kini meng-amalkan sistem demokrasi, menjadi anggota Kesatuan Eropah pada 2007 dan ia turut memberi cabaran kepada kaum Pomak untuk mengekalkan identiti mereka kerana ramai golongan muda berhijrah ke bandar besar untuk mencari kerja.

Letve dan Refat adalah antara yang bertuah kerana dapat terus tinggal di kampung halaman mereka.

“Kami akan terus tinggal di Ribnovo. Isteri saya seorang tukang jahit dan saya pula bekerja dengan jabatan perhutanan. Apa yang pasti kami bahagia tinggal di sini, di kawasan pergunungan walaupun terpencil dan jauh dari kesibukan kota,” kata Refat. Tentu saja mereka menjadi penyambung kepada warisan yang berharga ini.

-Norlaila Hamima Jamaluddin-Metro

No comments:

Post a Comment