LONDON 17 Mac - Berat mata me mandang, berat lagi bahu memikul', itulah penderitaan yang terpaksa ditanggung seorang bapa muda dari Britain yang kehilangan anggota badan dan kulit di bahagian mukanya akibat dimakan kuman pemakan daging.
Alex Lewis, 34, dari Stockbridge, dekat daerah Hampshire kehilangan kedua-dua belah kakinya, sementara lengan kirinya dipotong selepas kaki, hujung jari, lengan, bibir, hidung dan sebahagian telinganya bertukar menjadi kehitam-hitaman.
Akibat penyakit itu, beberapa organ utama bapa kepada seorang anak tersebut tidak berfungsi sehingga menyebabkan dia koma selama seminggu akibat bakteria pembawa maut yang menyerang tubuhnya.
Mail Online melaporkan, mimpi ngeri buat Lewis bermula empat bulan lalu selepas dia menghidap selesema.
Lebih malang, ketika simptom yang melanda Lewis semakin teruk, doktor di Hospital Royal County di Winchester, Hampshire tidak lama selepas itu mengesan darah lelaki tersebut dijangkiti streptokokus Kumpulan A, bakteria yang biasanya tidak berbahaya.
Doktor kemudian mendiagnos Lewis menghidap septisemia, selepas bakteria itu dikesan berada dalam darahnya dan sindrom kejutan toksik dengan doktor memberi amaran bahawa dia hanya mempunyai peluang tiga peratus untuk hidup.
Bagaimanapun, menurut doktor, dia hanya mempunyai satu cara untuk terus hidup iaitu dengan pembedahan membuang anggota badannya pada Januari lalu.
Kini, menurut Lewis, dia berharap akan dapat berjalan semula menggunakan kaki palsu selepas mengharungi kehidupan yang mencabar itu.
- AGENSI/Utusan
No comments:
Post a Comment