Monday, March 30, 2015

‘Hukuman akhirat pasti’


Alor Setar: “Mama, jangan lupakan along, angah dan adik buat selamanya,” kata Rusdi Rani, 40, ketika menceritakan mimpi dialami isterinya Siti Aishah Ariffin, 42, selepas dua tahun pemergian tiga anak perempuannya. Menurut Rusdi, dalam mimpi yang dialami kira-kira pertengahan bulan lalu itu, ketiga-tiga anak mangsa pulang ke rumah dan makan bersama sambil berpesan kepada isterinya supaya tidak melupakan mereka buat selamanya.

Rusdi yang kini menetap di Kampung Tok Dor, Setiu, Terengganu berkata, dia sekeluarga tidak akan pernah melupakan ketiga-tiga anak yang pernah menjadi harapan dan masa depannya bersama isteri suatu masa dulu, malah sentiasa melakukan kenduri doa selamat dan tahlil mendoakan kesejahteraan arwah di alam baru.

Katanya, dia dan isteri juga tidak akan sesekali memaafkan individu yang membunuh ketiga-tiga anaknya Noor Syafika Nadia Rusdi, 14, Nur Izzati Husna,12, dan Puteri Nur Akma, 3.“Jika mahu diikutkan hukuman yang setimpal dan layak diberikan kepada dia (tertuduh) adalah hukuman mati, namun saya faham negara kita mempunyai undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa (mahkamah) untuk menentukannya.

“Kami sekeluarga memang tidak berpuas hati kerana saya dan isteri kehilangan ketiga-tiga anak yang menjadi harapan dan masa depan secara serentak. Apabila mereka sudah tiada, masa depan kami sudah musnah.“Hingga kini isteri asyik termenung dan bersedih setiap kali terkenangkan ketiga-tiga arwah dan jika dibayar wang pampasan sekalipun itu tidak boleh mengembalikan nyawa anak,” katanya, semalam.

Rusdi yang kini bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT, namun mengharapkan kematian ketiga-tiga anaknya itu terbela.“Tiada apa lagi yang boleh dikatakan selain menyerahkan kepada hakim menentukan keputusannya kerana walaupun penjenayah itu terlepas hukuman dunia, namun hukuman akhirat itu pasti.“Hanya Allah saja yang tahu cara sebenar penjenayah itu membunuh ketiga-tiga anak yang kita semua tidak dapat membayangkannya,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada dia dan isteri berhasrat berjumpa dengan penjenayah terbabit, katanya, mereka pernah menghadiri perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi, di sini, bulan lalu, bagi menyaksikan sendiri wajah penjenayah terbabit, namun tidak berkesempatan.“Saya ke sana (mahkamah) pada 8 dan Februari lalu, namun tidak berkesempatan untuk berjumpa dan atas hari ini (semalam) kami tidak dapat hadir ke mahkamah berikutan mengalami masalah kewangan,” katanya.

Muka depan Harian Metro pada 2 Disember 2013 melaporkan mayat tiga beradik, Noor Syafikah Nadia dan dua adiknya, Nur Izzati Husna serta Puteri Nurul Akma ditemui di dua lokasi berasingan di Kampung Alor Senibong dan tali air Kampung Padang Petani, di sini.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39597#sthash.HIdtsN6Z.dpuf

No comments:

Post a Comment