Sunday, July 31, 2016

60,000 penagih, pengedar dadah serah diri kepada polis

BERIBU-RIBU pengedar dan penagih dadah menyerah diri kepada pihak  
 
MANILA 31 Julai - Hampir 60,000 penagih termasuk pengedar dadah menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina sejak Presiden Rodgrigo Duterte melancarkan kempen memerangi ancaman dadah dengan memberi lampu hijau kepada rakyat untuk membunuh golongan ‘sampah masyarakat’ itu.

Menurut Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden, Martin Andanar, setakat pertengahan bulan ini, lebih 110 pengedar dadah ditembak mati polis manakala sekurang-kurangnya 43,000 pe­ngedar dadah ditahan atau me-nyerah diri kepada pihak berkuasa kerana bimbang dibunuh.
“Sejak Presiden (Duterte) me-lancarkan kempen berkenaan pada Mei lalu, kira-kira 300 kilogram dadah jenis syabu dirampas,” katanya.
Berdasarkan kempen itu, Duterte yang digelar sebagai The Punisher berjanji untuk menghapuskan ancaman dadah yang memberi kesan buruk kepada masyarakat Filipina.
Dalam ucapannya pada Mei lalu seperti dilaporkan portal Mail Online, beliau menyifatkan golongan itu menghancurkan masa depan generasi muda Filipina.
“Kita memberi amaran agar jangan terlibat dalam gejala dadah kerana kita akan membunuh mereka, tidak kira sesiapa terma­suk polis,” tegasnya.
Malah, Duterte memberi jaminan untuk melindungi pihak polis yang terlibat dalam memerangi dadah secara agresif dari segi perundangan.
Sementara itu, walaupun kempen Durtete itu menerima kri­tikan kumpulan hak asasi manusia, Peguam Cara Negara, Jose Calida menyokong penuh usaha Presiden yang mula membuahkan hasil demi menyelamatkan masa depan Filipina.
“Bagi saya, jumlah pengedar dadah yang ditembak mati pihak polis masih belum mencu­kupi. Berapa ramai pengedar dan penagih dadah berada di Filipina. Di kampung saya sahaja, hampir kesemua penduduk terlibat de­ngan najis dadah,” katanya.

-Utusan

Thursday, July 28, 2016

Pokemon ditemui di atas Kaabah



Makkah: Demam Pokemon Go sedang melanda seluruh dunia, malah bandar suci ini dan kawasan sekitarnya turut tidak terlepas daripada permainan berkenaan.

Permainan itu dilaporkan menetapkan lokasi pertempuran antara karakter Pokemon di Kaabah dan hadiah juga boleh ditemui di pintu masuk Masjidilharam.

Beberapa pihak berpendapat Pokemon Go mencemarkan kesucian Masjidilharam dan masjid lain kerana ada karakter diletakkan di dalam rumah ibadah dan permainan itu juga boleh mengintip pemainnya.
Ahli Majlis Ulama Arab Saudi, Sheikh Abdullah Al-Munea berkata, Pokemon Go bahaya kepada keselamatan negara kerana ia bertujuan membongkar lokasi rahsia yang dianggap satu penderhakaan di negara itu.

Ketika pasukan laman web majlis itu melawat Makkah, mereka menemui antara lokasi pertempuran Pokemon berlaku di atas Kaabah.

-Metro

Wednesday, July 27, 2016

Ratu cantik jadi keldai dadah

BEIJING 27 Julai - Gara-gara terdesak memerlukan wang untuk menyertai pertan­dingan ratu cantik, seorang model Colombia sanggup menjadi keldai dadah dengan membawa sebuah kompu­ter riba yang tanpa penge­tahuannya mengandungi bahan terla­rang itu sebelum akhirnya diberkas polis China tahun lalu.

Juliana Lopez
 
Model itu, Juliana Lopez dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan diperintahkan membayar denda sebanyak 20,000 yuan (RM12,197) oleh sebuah mahkamah di China, kelmarin selepas me­ngaku bersalah atas kesalahan menyeludup dadah.
Lopez, 23, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou selepas polis menemukan serbuk di dalam sebuah beg plastik yang tersembunyi di dalam ko­mputer riba miliknya dalam kejadian pada 18 Julai ta­hun lalu.
Media China melaporkan, dia membawa sebanyak 610 gram serbuk putih yang kemu­diannya diuji mengandu­ngi 49 peratus dadah.
Semasa ditahan, Lopez dilapor bakal berdepan hukuman mati.
Bagaimanapun Mahkamah Rakyat Pertengahan Guangzhou memutuskan, Lopez di­be­rikan hukuman paling­ ringan selepas mengaku ber­salah dan ber­kelakuan baik.
Berdasarkan laporan Peo­ple’s Daily Online, Lopez mengaku bahawa dia­ ­diminta oleh seo­rang lelaki yang dikenali sebagai Sergio untuk memba­wa sebuah kom­­puter riba ber­samanya ke China.
“Saya mahu menyertai per­tandingan Ratu Cantik dan memerlukan wang. Saya bersetuju selepas lelaki itu memberi saya sebanyak 21,872 yuan (RM13,375) sebagai balasan ke­rana membawa komputer ri­ba itu ke China,” Lopez dipe­tik sebagai berkata kepada mah­kamah.
Menurut undang-undang jenayah China, individu bersalah menyeludup dadah boleh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atau penjara seu­mur hidup atau hukuman mati.
Sejurus menjalani hukuman itu, Lopez diperintahkan keluar dari China.

-Utusan

Lelaki HIV ditahan kerana dibayar untuk adakan seks bersama 100 remaja

ERIC Aniva
ERIC Aniva
 
BLANTYRE, Malawi 26 Julai - Polis Malawi menahan seorang lelaki yang dijangkiti virus HIV kerana dibayar untuk mengadakan hubungan seks dengan lebih daripada 100 orang gadis remaja kononnya sebagai ‘ritual’ sebelum mereka menjadi dewasa sepenuhnya.

Eric Aniva, dari selatan daerah Nsanje ditahan selepas membuat pengakuan telah meniduri gadis-gadis itu dengan menerima bayaran antara AS$4 hingga AS$7 (RM16.27 hingga RM28.47) daripada setiap keluarga gadis tersebut.
Malawi merupakan salah sebuah negara yang mencatatkan bilangan kes jangkitan HIV tertinggi di dunia selain kadar jenayah seks dengan pasangan di bawah umur 16 tahun yang tinggi dan jika sabit kesalahan, Aniva berkemungkinan akan dipenjara seumur hidup.

-AFP/Utusan

Monday, July 25, 2016

Polis saman diri sendiri

Polis saman
KAD pengenalan polis di Norway. Foto: NORWAY TODAY
 
OSLO 25 Julai - Tiada sesiapa yang dapat mengatasi undang-undang di Norway apabila seorang anggota polis mendenda dirinya sendiri kerana gagal memakai jaket keselamatan.

Tindakan pegawai polis tersebut, Arne Stavnes dirakam dalam satu ruangan di dalam surat khabar Verdens Gang ketika dia melakukan rondaan di pulau Utoya, 38 kilometer dari Oslo.

Foto itu mendapat komen yang melucukan daripada pembaca yang mendapati Arne telah melanggar undang-undang kerana kerajaan Norway mewajibkan semua orang memakai jaket keselamatan ketika berada di dalam kapal tidak lebih daripada lapan meter panjang.

Malahan, Arne turut menunjukkan dirinya sedang bergambar sambil memegang wang denda berjumlah AS$58 (RM 236.64) di dalam surat khabar itu.

- AFP/Utusan

Kerap mimpi lihat pintu syurga

Kerap mimpi lihat pintu syurga

KOTA BHARU - Mimpi melihat pintu syurga membawa saudara baru, Danial Ikram Soon Abdullah, 32 kepada Islam walaupun mengakui mendapat tentangan hebat daripada keluarga ketika itu.
Namun, yakin dengan mimpi yang dialami beberapa kali itu, Danial Ikram berkata, dia nekad meninggalkan agama asalnya (Buddha) dan memeluk Islam kira-kira empat tahun lalu.
“Saya tak pernah belajar tentang Islam sebelum ini, bagaimanapun kerap kali bermimpi berada di pintu syurga menyebabkan saya memeluk Islam,” katanya kepada media ketika menghadiri majlis mesra Aidilfitri bersama saudara Muslim di sini, semalam.
Menurutnya, disebabkan mengalami mimpi yang sama berulang kali, dia mula mengkaji tentang perkara itu dengan bantuan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kuantan selain buku-buku bacaan berkaitan sebelum memilih memeluk Islam.
Danial Ikram yang bertemu jodoh dengan gadis Melayu, Nur Anirah Syafira Mohd Noor kini menetap di Kubang Kerian bersama keluarga mertuanya.
Dia kini meneruskan usaha mendalami Islam di Perkim dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) berkata, tidak mudah baginya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru selepas memeluk Islam berikutan pelbagai cabaran perlu dihadapi.
“Sudah tiga bulan saya berada di Kelantan, namun sehingga kini gagal mendapatkan pekerjaan, lebih membimbangkan isteri sedang sarat mengandung dan tentunya saya memerlukan perbelanjaan mencukupi sebagai persediaan menyambut kelahiran bayi kami nanti,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi saudara baru, Nur Amalina Abdullah, 29, berkata, dia tertarik dengan Islam selepas mendengar kebaikan dan keunikan agama ini daripada rakan-rakannya.
Dia yang memeluk Islam lebih setahun lalu berasal dari Laos dan kini menetap di Kelantan (mengikut suami yang berniaga di sini) selepas bertemu jodoh dengan lelaki Melayu berasal dari Johor.
Dalam pada itu, Pengarah Program Majlis Mesra Aidilfitri, Solarhuddin Abdullah berkata, program julung kali itu bertujuan merai serta menjalin silaturahim dan merapatkan hubungan pelajar program jarak jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan saudara baru.

-Sinar

Sunday, July 24, 2016

Wanita misteri tinggal di loteng rumah lelaki

NEW YORK 23 Julai – Seorang lelaki terkejut apabila menemukan seorang wanita misteri tinggal di loteng rumahnya di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, sebelum individu itu melarikan diri selepas polis dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

Lebih memeranjatkan Davis Wahlman, wanita itu turut mendakwa rumah yang terletak di Green Lake, Washington tersebut adalah miliknya.

Mail Online melaporkan, kejadian pelik dialami lelaki itu berlaku Isnin lalu selepas dia terde­ngar bunyi bising di tingkat atas rumah yang turut menempatkan pejabatnya.

Untuk mendapatkan jawapan, Wahlman mengetuk pintu loteng yang berkunci beberapa kali sebelum seorang wanita berambut perang yang tidak dikenalinya muncul membuka pintu.

“Siapa awak? Kenapa awak berada di rumah saya?,” tanya Wahlman.

Wanita misteri itu menegaskan, rumah berkenaan miliknya dan dia telah berada di situ selama tiga hari.

“Ini rumah saya, Jimmy kata saya boleh tinggal di sini,” kata wanita misteri itu yang membuatkan Wahlman kebingungan tanpa memberitahu siapa Jimmy.

Wanita itu bagaimanapun me­larikan diri ketika Wahlman me­nunggu polis sampai.

Lelaki tersebut yang kemudian menukar semua kunci rumahnya sejak kejadian itu memberitahu, dia masih tidak jelas bagaimana wanita tersebut dapat memasuki rumahnya dan bersyukur tiada barang yang hilang.

-Utusan

Thursday, July 21, 2016

100 wanita berbogel protes Trump

100 wanita berbogel protes Trump

CLEVELAND - AMERIKA SYARIKAT . Sekumpulan wanita berbogel bagi membantah calon presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump.

Seramai 100 wanita berbogel bagi melahirkan bantahan mereka terhadap sikap Trump terhadap wanita sebelum bermulanya Konvensyen Kebangsaan Republikan di sini.

Bantahan 'Everthing She Says Means Everything' yang dikendalikan seniman Spencer Tunick disertai 100 wanita berbogel sambil memengang cermin besar.

Dalam temubual dengan majalah Elle, wanita berkenan berkata, mereka mahu berbogel dan menentang kebencian yang sering diperkatakan Trump semasa kempen.

Cathy Scott berkata, dia menyertai bantahan itu adalah untuk memberi mesej secara langsung kepada calon parti itu.

"Donald Trump telah memperkatakan banyak perkara yang keterlaluan, kebencian dan perkara yang menimbulkan kemarahan dan memandang rendah terhadap wanita," katanya.

Dalam pada itu, pelajar kejururawatan, Monico Giorgio, ini adalah bantahan ekoran pandangan negatif calon itu terhadap wanita.

"Saya rasa ini adalah cara terbaik bagi menentangnya," ujarnya.

-Sinar

Wednesday, July 20, 2016

Berhenti polis, jadi pelacur

Berhenti polis, jadi pelacur

SYDNEY - AUSTRALIA. Akibat tidak tahan dengan layanan tidak adil dalam jabatannya, pegawai polis wanita ini akhirnya tekad untuk melepaskan jawatan. Dan karier yang dipilih memang mengejutkan ramai, iaitu menjadi seorang pelacur!
Pegawai polis wanita ini dikenali sebagai Heidi, seorang ibu tunggal yang mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan polis.
Bagaimana pun, disebabkan kerap menerima arahan yang tidak masuk akal daripada pihak atasan, Heidi akhirnya tidak sanggup lagi meneruskan tugasan sebagai seorang pegawai keselamatan.
"Sebagai pegawai polis wanita, saya perlu bekerja keras bagi mencapai impian saya berbanding dengan pegawai polis lelaki yang cepat naik pangkat walaupun tidak banyak tugas yang perlu dilakukan mereka," luah Heidi yang berjanji tidak akan kembali memakai pakai seragam polis buat selama-lamanya.
Selepas berhenti menjadi polis dengan pangkat terakhir sebagai Senior Konstabel, Heidi kemudian memilih pelacur sebagai karier baharunya.
"Menjadi pelacur jauh lebih selesa berbanding menjadi pegawai polis. Dari sudut karier, menjadi polis sudah semestinya bagus dan mempunyai masa depan yang cerah.
"Namun jiwa saya tidak tenteram ketika dalam jabatan polis. Sebab itu saya tidak rasa kesal sedikit pun selepas mengambil keputusan meninggalkan bidang kepolisan," kata Heidi.
Menurut Heidi, dia akan menjadi pelacur sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini sebelum mencari kerja lain.

-Sinar

Monday, July 4, 2016

Azan dilaungkan buat pertama kali selepas 81 tahun


Azan dilaungkan buat pertama kali selepas 81 tahun

ISTANBUL - TURKI. Buat pertama kalinya dalam 81 tahun, seorang muazzin melaungkan azan dari dalam Hagia Sophia, antara monumen paling ikonik di Istanbul.

Azan dilaungkan dari dalam muzium itu kelmarin menurut laporan RT.

Sejak empat tahun lepas, azan berkumandang dari menara-menara muzium itu, namun muazzin hanya melaungkannya dari sebuah bilik solat, bukan dari dalam Hagia Sophia sendiri.

Bulan lalu, Turki membenarkan al-Quran dibacakan di dalam Hagia Sophia sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Melalui laporan AFP, setiap hari, saluran televisyen Turki, Diyanet TV akan menyiarkan ulama-ulama Turki membaca al-Quran di dalam muzium itu pada waktu sahur.

Langkah itu bagaimanapun dibantah parti pembangkang di negara itu yang menyifatkannya sebagai provokatif dan tidak munasabah.

Hagia Sophia, yang bermaksud 'Hikmah Suci' dalam bahasa Greek, dibina sebagai sebuah gereja Byzantine pada abad ke-6 sebelum ditukar menjadi masjid pada 1453 apabila tentera Ottoman menakluki Istanbul, yang ketika itu dikenali sebagai Constantinople.

Selepas kejatuhan Empayar Ottoman dan setelah Turki dibangunkan sebagai negara moden sekular, masjid tersebut ditukar menjadi sebuah muzium pada 1935.

Pada Mei lalu, ribuan jemaah berhimpun di Hagia Sophia untuk menuntut hak mereka untuk menunaikan solat di sana.

-Sinar

Bawa mayat anak naik motosikal

SUJANA membawa motosikal sementara isterinya membonceng di belakang sambil menggendong mayat anak mereka.
 
 
Bali: Sepasang suami isteri miskin terpaksa membawa mayat anaknya pulang dengan motosikal kerana tidak mampu membayar kos ambulans.

Wayan Sujana, 45, dan isteri, Wayan Sari, 40, sebelum itu kehilangan anak ketiga mereka yang meninggal dunia di Hospital Sanglah di Denpasar Barat, Denpasar, Bali.

Bayi itu meninggal dunia selepas menjalani beberapa pembedahan lubang dubur.

“Sebaik anak saya meninggal dunia, saya diberikan bil oleh pihak hospital. Kos mengubati anak saya selama 45 hari, sejak dia dilahirkan, mencecah Rp10.934 juta (RM3,300).

“Saya bayar Rp3 juta (RM915). Wang itu hasil pinjaman daripada beberapa jiran. Memang saya tidak mampu menjelaskan bakinya dan tidak tahu bagaimana untuk membayarnya.

“Saya diberitahu saya perlu membayar lebih Rp1 juta (RM305) lagi sekiranya mahu menggunakan khidmat ambulans untuk membawa pulang anak saya ke rumah kami,” kata Sujana.

Perjalanan itu mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum tiba di rumah pasangan itu di Banjar Yeh Kori, Karengasem.

- Agensi/Metro

Sunday, July 3, 2016

Dua lawan satu



Crimea: DUA suri rumah dirakam membelasah seorang wanita yang didakwa menjalinkan hubungan intim dengan suami mereka di jalan raya sebuah kampung di Semenanjung Crimea.
Rakaman yang viral di media sosial itu menunjukkan dua wanita berkenaan menanggalkan pakaian mangsa sebelum memukul dan mengheretnya di jalan raya.
Semenanjung Crimea dikuasai Russia selepas Moscow merampasnya daripada Ukraine dua tahun lalu.
Dalam video berkenaan, seorang suri rumah berpakaian hitam dapat dilihat berulang kali memukul wanita yang didakwa menjadi kekasih gelap suaminya.
Dia menendang dan meludah muka mangsa dan pada masa sama, memaki hamunnya.
Orang ramai, termasuk penduduk lelaki yang melihat kejadian itu hanya memerhatikan mangsa dibelasah kedua-dua wanita berkenaan.
Media tempatan melaporkan, seorang daripada suri rumah itu hamil.
Tidak seorang pun dilihat cuba membantu wanita berkenaan.

-Metro

Penipuan pengemis kudung terbongkar

SEORANG lelaki berusaha menanggalkan seluar pengemis berkenaan.

Beijing: Penipuan seorang lelaki menyamar pengemis kudung untuk membolehkan dia memperoleh wang dengan mudah terbongkar apabila diserang seorang penduduk yang sekian lama mengesyaki dia menipu mengenai kecacatannya.
Dalam video yang dirakam di China, seorang lelaki dilihat berjalan menuju ke pengemis itu yang kelihatan kudung kedua-dua kaki.
Lelaki berkenaan kemudian dilihat menyentap seluar pengemis itu untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa dia tidak kudung. Pengemis itu bergelut untuk melepaskan diri dan cuba meninggalkan tempat kejadian, tetapi gagal.
Rakaman yang dimuat naik ke Youtube itu kemudian menunjukkan pengemis terbabit memang mempunyai kaki, tetapi diikat untuk menyebunyikannya.
Pengemis terbabit dengan kedua-dua kakinya masih terikat kemudian cuba melarikan diri dengan papan beroda yang biasa digunakan oleh pengemis kudung di China.
Lelaki yang menyerangnya kedengaran menjerit dalam bahasa Mandarin dengan menggelarnya penipu, tanpa berusaha untuk mengejar pengemis itu lagi.

-Metro