Monday, July 25, 2016

Kerap mimpi lihat pintu syurga

Kerap mimpi lihat pintu syurga

KOTA BHARU - Mimpi melihat pintu syurga membawa saudara baru, Danial Ikram Soon Abdullah, 32 kepada Islam walaupun mengakui mendapat tentangan hebat daripada keluarga ketika itu.
Namun, yakin dengan mimpi yang dialami beberapa kali itu, Danial Ikram berkata, dia nekad meninggalkan agama asalnya (Buddha) dan memeluk Islam kira-kira empat tahun lalu.
“Saya tak pernah belajar tentang Islam sebelum ini, bagaimanapun kerap kali bermimpi berada di pintu syurga menyebabkan saya memeluk Islam,” katanya kepada media ketika menghadiri majlis mesra Aidilfitri bersama saudara Muslim di sini, semalam.
Menurutnya, disebabkan mengalami mimpi yang sama berulang kali, dia mula mengkaji tentang perkara itu dengan bantuan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kuantan selain buku-buku bacaan berkaitan sebelum memilih memeluk Islam.
Danial Ikram yang bertemu jodoh dengan gadis Melayu, Nur Anirah Syafira Mohd Noor kini menetap di Kubang Kerian bersama keluarga mertuanya.
Dia kini meneruskan usaha mendalami Islam di Perkim dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) berkata, tidak mudah baginya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru selepas memeluk Islam berikutan pelbagai cabaran perlu dihadapi.
“Sudah tiga bulan saya berada di Kelantan, namun sehingga kini gagal mendapatkan pekerjaan, lebih membimbangkan isteri sedang sarat mengandung dan tentunya saya memerlukan perbelanjaan mencukupi sebagai persediaan menyambut kelahiran bayi kami nanti,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi saudara baru, Nur Amalina Abdullah, 29, berkata, dia tertarik dengan Islam selepas mendengar kebaikan dan keunikan agama ini daripada rakan-rakannya.
Dia yang memeluk Islam lebih setahun lalu berasal dari Laos dan kini menetap di Kelantan (mengikut suami yang berniaga di sini) selepas bertemu jodoh dengan lelaki Melayu berasal dari Johor.
Dalam pada itu, Pengarah Program Majlis Mesra Aidilfitri, Solarhuddin Abdullah berkata, program julung kali itu bertujuan merai serta menjalin silaturahim dan merapatkan hubungan pelajar program jarak jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan saudara baru.

-Sinar

No comments:

Post a Comment