BEIJING 27 Julai - Gara-gara terdesak memerlukan wang
untuk menyertai pertandingan ratu cantik, seorang model Colombia sanggup
menjadi keldai dadah dengan membawa sebuah komputer riba yang tanpa
pengetahuannya mengandungi bahan terlarang itu sebelum akhirnya diberkas polis
China tahun lalu.
Lopez, 23, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou selepas polis menemukan serbuk di dalam sebuah beg plastik yang tersembunyi di dalam komputer riba miliknya dalam kejadian pada 18 Julai tahun lalu.
Media China melaporkan, dia membawa sebanyak 610 gram serbuk putih yang kemudiannya diuji mengandungi 49 peratus dadah.
Semasa ditahan, Lopez dilapor bakal berdepan hukuman mati.
Bagaimanapun Mahkamah Rakyat Pertengahan Guangzhou memutuskan, Lopez diberikan hukuman paling ringan selepas mengaku bersalah dan berkelakuan baik.
Berdasarkan laporan People’s Daily Online, Lopez mengaku bahawa dia diminta oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Sergio untuk membawa sebuah komputer riba bersamanya ke China.
“Saya mahu menyertai pertandingan Ratu Cantik dan memerlukan wang. Saya bersetuju selepas lelaki itu memberi saya sebanyak 21,872 yuan (RM13,375) sebagai balasan kerana membawa komputer riba itu ke China,” Lopez dipetik sebagai berkata kepada mahkamah.
Menurut undang-undang jenayah China, individu bersalah menyeludup dadah boleh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atau penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Sejurus menjalani hukuman itu, Lopez diperintahkan keluar dari China.
-Utusan
No comments:
Post a Comment