Addis Ababa, Ethiopia: Sekurang-kurangnya 46 terbunuh manakala puluhan lagi masih hilang apabila timbunan sampah runtuh menghempap mereka, semalam, sama ada yang mencari bahan kitar semula atau yang tinggal di kawasan itu.
Setakat ini, pihak berkuasa sudah menemui 46 mayat, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.
Tidak dapat dipastikan punca timbunan sampah di Pusat Pengumpulan Sampah Koshe, pinggir bandar raya ini, runtuh menimpa rumah sementara dan bangunan batu. Pusat pengumpulan sampah itu beroperasi sejak 50 tahun lalu.
Laporan awal menyatakan kira-kira 150 orang berada di kawasan itu ketika kejadian dan menurut Datuk Bandar Addis Ababa, 37 mangsa berjaya diselamatkan dengan dua cedera parah.
Pusat pengumpulan sampah itu menjadi tumpuan ratusan pencari bahan kitar semula setiap hari, namun ada juga yang tinggal di kawasan itu dalam rumah yang dibina daripada dahan kayu dan lumpur.
Difahamkan aktiviti membuang sampah di kawasan itu disambung semula baru-baru ini, selepas dihentikan beberapa tahun lalu, selepas laluan ke pusat pengumpulan sampah yang baru, dihalang petani dan penduduk kerana membantah pembukaan pusat yang baru itu.
-Metro
No comments:
Post a Comment