Sunday, March 19, 2017

Bukan anak patung


London: Kanak-kanak berusia lapan bulan ini dilahirkan dengan rambutnya begitu lebat sehingga menyebabkan dia sering disangka memakai rambut palsu.
Ibunya, Philippa Rabbitts berkata, anaknya, Bella, sering membuat orang yang melihatnya terkejut.
Ibu berusia 27 tahun itu berkata, dia berulang kali ditahan oleh orang yang terserempak dengannya ketika keluar bersama Bella.
“Mereka mulanya menyangka Bella anak patung. Tetapi, apabila mereka melihatnya kali kedua, mereka akan terkejut. Ada yang bertanya sama ada saya memakaikan Bella rambut palsu. Apabila saya katakan tidak, mereka lebih terkejut,” kata Philippa.
Bella menarik perhatian sejak mula dia dilahirkan apabila jururawat berbaris untuk melihat sendiri ‘bayi rambut paling lebat’ pernah mereka temui.
Philippa, pereka online berkata, badan anaknya yang kecil membuatkan dia lebih kelihatan seperti anak patung.
Lebih menguntungkan Philippa dan suaminya, Matthew, 33, kerana Bella suka rambutnya dibasuh dan disikat.
Bagaimanapun, menurut Philippa, dia menghabiskan masa agak lama untuk membasuh, menyikat dan mengikat rambut anaknya kerana Bella sukar duduk diam.

-Metro

No comments:

Post a Comment