Wednesday, March 29, 2017

Sudah bersedia

Mexico City: Lelaki paling berat di dunia yang menghabiskan masa enam tahun terlantar di atas katil akhirnya akan menjalani pembedahan pintasan gastrik.
Juan Pedro Franco yang pernah mencatatkan berat badan 595 kilogram menjalani diet selama tiga bulan sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan pada 9 Mei depan.
Lelaki berusia 32 tahun itu yang berasal dari Aguascalientes, Mexico perlu mengurangkan beratnya sebanyak 175 kilogram di klinik khas bagi membolehkan dia sesuai menjadi calon untuk menjalani pembedahan itu.
“Dia sudah berjaya mengurangkan hampir 30 peratus berat asalnya. Dengan itu, dia sudah bersedia untuk menjalani pembedahan,” kata Dr Jose Antonio Castaneda Cruz.
Franco mula menjadi tajuk akhbar November lalu selepas dimasukkan ke klinik berkenaan dengan menaiki sebuah van yang diubah suai ke bandar Guadalajara.
Dengan menggunakan kelengkapan dan ambulans khas, dia dipindahkan dari rumahnya ke klinik berkenaan.
Ketika itu, Castaneda berkata, kegemukan dan penyakit yang ada kaitan dengannya, termasuk kencing manis, menjadikan pembedahan itu tidak mungkin dapat dilakukan.
Meskipun berat badannya berkurangan, ia tidak menjamin Franco akan bebas daripada masalah.
Pembedahan pintasan gastrik itu bertujuan mengurangkan berat badannya sebanyak 50 peratus sebelum dia menjalani pembedahan kedua.
Berat Franco hampir sama dengan seorang lagi lelaki obes Mexico sebelum ini, Manuel Uribe.
Uribe pernah dianggap lelaki paling berat di dunia sebelum dia meninggal dunia pada 2014 ketika berusia 48 tahun.

-Metro

No comments:

Post a Comment