Wednesday, February 28, 2018

Penganut Kristian pilih sebat



Banda Aceh: Dua penganut Kristian di Aceh memilih menjalani hukuman sebat di khalayak ramai mengikut undang-undang syariah wilayah itu bagi mengelak dibicarakan di mahkamah dan berkemungkinan dihukum penjara.
Dahlan Silitonga, 61, dan seorang wanita, Tjia Nyuk Hwa, 45, yang didapati bersalah bermain permainan video berunsur judi di kafe siber, masing-masing menjalani hukuman sebat enam dan tujuh kali, semalam.
Penduduk bukan Islam di Aceh yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang kerajaan dan syariah boleh memilih dihukum mengikut satu daripada sistem terbabit.
Dahlan dan Tjia antara lima pesalah, termasuk satu pasangan yang berkhalwat menjalani hukuman sebat, semalam.
“Hukuman di khalayak ramai ini bagi mengelak orang ramai mengulangi kesalahan,” kata Datuk Bandar Banda Aceh, Aminullah Usman.
Hukuman sebat itu dilakukan di atas pentas luar sebuah masjid dan disaksikan kira-kira 300 orang.
Namun, ia turut mengundang ejekan penonton sementara Tjia Nyuk Hwa cuba menyembunyikan wajahnya dengan kain.
Januari lalu, seorang penganut Kristian disebat kerana menjual arak di wilayah dihuni lima juta orang dengan 98 peratus beragama Islam.

-Metro

Tuesday, February 27, 2018

'Cincin dan gunting 'melekat' pada anu'

TINDAKAN lelaki memakai cincin pada kemaluannya mengundang padah apabila terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk memotongnya selepas gagal ditanggalkan, hari ini.
Bukan itu saja, malah kemaluan lelaki, 45, turut tersangkut sebilah gunting yang dipercayai digunakan mangsa untuk memotong sendiri cincin berkenaan.
Selepas usahanya gagal, lelaki itu pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang pada 11.30 pagi untuk mendapatkan bantuan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mangsa mendapatkan bantuan bomba dalam keadaan cincin dan gunting masih melekat pada kemaluannya.
Menurutnya, anggota bomba terpaksa membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana kedudukan cincin yang tidak kelihatan selain bimbang risiko kecederaan lebih serius dialami mangsa.
“Mangsa dibawa ke HUS menggunakan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) untuk tindakan lanjut dan bantuan daripada pasukan perubatan.
“Anggota bomba dibantu kakitangan hospital kemudian menggunakan peralatan khas iaitu gerudi angin dan tabung udara bagi mengeluarkan cincin yang tersangkut,” katanya.
Menurutnya, operasi dijalankan berhati-hati kerana mahu mengurangkan risiko kecederaan kepada mangsa.
Katanya, operasi mengeluarkan cincin dan gunting selesai sepenuhnya 25 minit kemudian dan mangsa dilaporkan stabil sebelum diserahkan untuk pemantauan pasukan perubatan HUS.

-Metro

Surat terbuka Mufti WP buat Neelofa

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menulis surat terbuka menerusi laman Web rasminya berhubung majlis pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahiran pengacara dan pelakon Neelofa di pusat hiburan di Kuala Lumpur, semalam.
“Assalamualaikum WBT. Kami menerima berita hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur.
“Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan itu. “Justeru kami terpangil untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini.
“Tudung lambang kehormatan wanita. Tudung simbol kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga satu bentuk kesempurnaan dalam beragama.
“Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.
“‎Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu.
“Mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.
“‎Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit.
“Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai reda Ilahi. Jika bukan reda-Nya yang kita impi, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?
“‎Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan.
“Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.
“Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung.
“Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.
“Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah yang dapat dikutip. “Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita.
“InsyaAllah itulah yang terbaik. Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim. Semoga amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.
“Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai ‘wanita besi’ dan ‘gergasi’ dalam perniagaan dan kerjaya. Tetapi anda sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam.
Akhir kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya. Kami noktahnya di sini tiga perkara:
(i) Tanyalah ulama sebelum bertindak
(ii) Sentiasa memelihara imej wanita bertudung
(iii) Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.
“Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan kerjaya serta sentiasa memperoleh taufiq, hidayah dan rahmat-Nya.
Akhukum fillah,”
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan

-Metro

Monday, February 26, 2018

Lindsay Lohan bertudung di Minggu Fesyen London


Lindsay Lohan

PELAKON kontroversi, Lindsay Lohan mengejutkan banyak pihak apabila tampil dengan imej bertudung di acara Minggu Fesyen London Modest  baru-baru ini.

Bintang Mean Girls itu bukan hanya memakai tudung, tetapi juga mengenakan pakaian yang kemas dan menutup aurat sehingga mencuri perhatian ramai sepanjang acara itu berlangsung.

Sementara itu, beberapa selebriti tanah air yang berada di acara itu juga sempat berkongsi gambar mereka bersama Lindsay yang begitu sporting melayan tetamu dan  peminat yang mendekatinya.

Antara selebriti yang sempat berselfie bersama Lindsay ialah Datin Norjuma, dan Raja Nadia Sabrina yang turut terlibat dalam acara tersebut.
Sebelum ke acara itu, Lindsay juga turut  membuat video live di Instagram peribadinya yang menunjukkan dia sedang belajar memakai tudung dengan betul.

Malah dalam video tersebut, Lindsay meluahkan hasratnya yang ingin memakai tudung secara tradisional.

Lindsay sebelum ini pernah mencetuskan tanda tanya ramai apabila beberapa kali pernah tampil bertudung dan memegang Al-Quran.

Meski ramai ada spekulasi yang mengatakan dia kini telah memeluk agama Islam, namun sehingga kini tiada siapa yang dapat mengesahkan status sebenar agamanya.

-Sinar

Thursday, February 22, 2018

Wanita selamba keringkan 'seluar kecik' dalam pesawat

Wanita selamba keringkan 'seluar kecik' dalam pesawat
Seorang wanita tidak dikenali dirakam mengeringkan seluar dalam ketika dalam penerbangan.

YEKATERINBURG - RUSIA . Seorang wanita dirakam mengeringkan seluar dalam menggunakan lubang penyaman udara ketika dalam penerbangan Ural Airlines menuju ke Moscow.

Video wanita tersebut memegang seluar dalam berwarna putih sambil mengeringkannya ketika duduk menjadi tular di media sosial.
Tanpa rasa malu atau bersalah, wanita tersebut meneruskan ‘aktivitinya’ untuk lebih kurang 20 minit, lapor Daily Mail.

Penumpang lain yang tergamam melihat aksi wanita tersebut hanya mampu memandang tanpa berbuat apa-apa.
“Semua orang berasa hairan dan keliru, namun hanya berdiam diri,” beritahu saksi kepada  Daily Mail.
Ada yang berkata mungkin seluar dalam itu milik anaknya, tidak dapat dipastikan jika terdapat kanak-kanak bersamanya.
Awal bulan ini, penerbangan Transavia Airlines dari Dubai ke Amsterdam terpaksa melakukan pendaratan cemas apabila seorang penumpang enggan berhenti membuang angin.
Pergaduhan tercetus gara-gara perbuatannya dan insiden itu menjadi tular di media sosial.
Dua lelaki Belanda dan dua beradik dari Maghribi diminta turun dari pesawat.- Asia News Network.

-Sinar

Wednesday, February 21, 2018

Bahaya senapang paip PVC !



POLIS menahan lima individu termasuk seorang wanita dan merampas tiga laras senjata api tiruan buatan sendiri dalam serbuan di sebuah rumah kongsi terletak tujuh kilometer dari bandar Tuaran, Sabah.
Dalam serbuan jam 9.10 malam kelmarin, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran turut merampas 122 biji guli digunakan sebagai peluru senjata dirampas.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata semua suspek adalah warga Filipina berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua negatif dan tiada rekod kesalahan lampau.
"Kesemua suspek bersama barang rampasan iaitu tiga laras senjata api buatan sendiri dan 122 biji guli dibawa ke IPD Tuaran untuk siasatan lanjut," katanya.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, Dzulbaharin meminta orang ramai supaya sentiasa bekerjasama dan menyalurkan maklumat sebarang kejadian jenayah dan tidak terbabit dalam memiliki, menyimpan atau menggunakan senjata api buatan sendiri.

-Metro

Parah disuntik asid dalam mata



New Delhi: Seorang pemandu traktor cedera parah, termasuk buta akibat diserang sekumpulan lelaki yang menyuntik asid ke dalam matanya kerana didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri majikannya.
Menurut doktor, Gautam Kumar Choudhary, 30, kehilangan 90 peratus penglihatannya selepas diserang di daerah Begusarai, negeri Bihar, India, minggu ini.
Choudhary yang berasal dari daerah Samastipur di Bihar berkata, penyerang terbabit menghukumnya kerana dia menjalin hubungan sulit dengan isteri majikannya dikenali sebagai Archana.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik Gulf News, mangsa dan wanita berkenaan melarikan diri bersama awal bulan ini, namun kembali selepas 10 hari.
Choudhary mendakwa dia diserang selepas adik majikannya, Pankaj Singh, menghubunginya dengan menyamar sebagai anggota polis memintanya datang ke balai polis untuk menjemput wanita itu.
“Saya menyewa kenderaan dan pergi ke Begusarai. Bagaimanapun saya diculik kira-kira satu kilometer dari balai polis,” katanya.
Menurutnya, sekumpulan lelaki termasuk Pankaj Singh membawanya ke sebuah motel sebelum menyuntik asid ke dalam matanya.
Penyerang itu kemudian membuangnya ke dalam parit di tepi jalan untuk dibiarkan mati, namun dia ditemui seorang pemandu yang membawanya ke hospital.

-Metro

Tuesday, February 20, 2018

Boleh 'try' di Malaysia kot?



PEMANDU yang mempunyai tabiat meletak kenderaan dengan sesuka hati di China diberi ‘pengajaran’ paling berguna agar tidak mengulangi kesalahan sama apabila kereta mereka diangkat ke atas bumbung.
Salah seorang pemandu di Wilayah Hubei, Beijing antara ‘mangsa’ yang berdepan dengan tindakan itu selepas dia didapati meletak kereta di tempat tidak sepatutnya, iaitu di dalam sebuah garaj bas.
Pekerja di garaj itu kemudian mengambil langkah paling drastik dengan mengangkat kenderaannya menggunakan kren dan meletakkannya di atas bumbung garaj berkenaan.
Kes terbaru itu bukan kali pertama berlaku, malah beberapa insiden seumpama pernah dilaporkan sebelum ini.
Satu rakaman video yang tersebar turut menunjukkan kejadian terbaru yang berlaku garaj bas Huantong di daerah Xishui.
Difahamkan, kereta warna perak itu ditinggalkan di dalam garaj bas terbabit tanpa kebenaran.
Pada Ogos lalu, seorang wanita dikatakan meletak kenderaannya tanpa kebenaran di sebuah blok perumahan di bandar Benxi selama 38 jam dan enggan membayar denda dikenakan terhadapnya.
Akibat kedegilannya, pengurus perumahan itu menyewa sebuah kren dan meletakkan kereta wanita terbabit di atas bumbung.

-Metro

Nak bercerai kerana kebab



SELEPAS 40 hari bergelar isteri, seorang wanita nekad mahu menamatkan perkahwinannya selepas suaminya enggan membelikannya kebab (shawarma), lapor portal berita Mesir, Masrawy.
Arab News, semalam melaporkan wanita bernama Sameeha itu berang apabila suaminya enggan membeli kebab berkenaan ketika mereka keluar berdua.
Dia sebaliknya cuma membelikan minuman jus.
“Perkahwinan kami memang tradisional. Saya cuma mengenalinya dua bulan sebelum majlis diadakan dan tidak pernah menyangka betapa kedekutnya dia.
“Ketika minggu pertama perkahwinan kami, dia mengaku tidak suka keluar ke mana-mana kerana dianggap membazir,” katanya kepada Masrawy.
Menurutnya, suaminya itu menuduhnya ‘mengeksploitasi kekayaannya’ apabila mendesak mahukan kebab selepas dibelikan jus.
Kes itu baru difailkan di mahkamah Mesir dan belum diputuskan.

-Metro

Sunday, February 18, 2018

Lelaki pakai seluar dalam ketika memburu



Moscow: Seorang lelaki sanggup keluar ke hutan ketika suhu di bawah paras beku dengan hanya memakai seluar dalam selepas isterinya menyembunyikan semua pakaiannya untuk menghalangnya keluar memburu.
Lelaki itu tidak mengendahkan cuaca -20 Celsius sebaliknya terus melompat atas kereta saljinya untuk memburu serigala di pergunungan Ural, Russia.
Malah dia tidak sempat mencari stoking sebaliknya cuma memakai sandal.
Satu rakaman video yang dirakam penduduk menunjukkan lelaki itu yang hanya memakai seluar dalam dan membawa senapang menaiki kereta salji.
“Sebenarnya saya sudah bergerak 15 kilometer. Isteri menyembunyikan baju untuk menghalang saya keluar memburu.
“Ada rakan memberitahu saya mengenai sekumpulan serigala jadi saya mengambil senapang dan terus ke sana,” katanya.
Penduduk yang merakam video itu juga menawarkan kot kepada lelaki itu tetapi ditolak.
Selepas lelaki itu pergi, penduduk berkenaan turut merakam beberapa rakannya yang ‘berbungkus’ dengan pakaian tebal kerana kesejukan.
“Bila kamu mahu keluar memburu, tiada apa akan dapat menghalangnya,” kata penduduk itu. 

- Agensi/Metro

Guru ditemui separuh bogel bersama pelajar

Elizabeth Heaton Taylor
Elizabeth Heaton Taylor

SOUTH CAROLINA - AMERIKA SYARIKAT. SEorang wanita yang sudah berkahwin ditemui dalam keadaan memalukan bersama seorang pelajar lelakinya di dalam sebuah kereta.

Dailymail melaporkan Elizabeth Heaton Taylor, 27 yang merupakan seorang jurulatih olahraga dan guru biologi di sekolah tinggi Greer telah melakukan hubungan intim dengan pelajarnya sekurang-kurangnya dua kali.

Beliau ditahan selepas polis memeriksa sebuah kenderaan jenis SUV yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah jalan, Khamis lepas.

Taylor kini berhadapan dakwaan serangan seksual terhadap pelajar bawah umur.

Dia juga berhadapan dakwaan memberikan maklumat palsu kepada polis kerana memberikan nama palsu ketika ditahan.

-Sinar

Wednesday, February 14, 2018

Wanita amal ilmu hitam nafi bunuh kekasih



Moscow: Seorang wanita di di bandar Oryol, barat Russia, yang memotong mayat kekasihnya selepas lelaki itu mati, menafikan melakukan perbuatan itu kerana mengamalkan ilmu hitam.
Anastasia Onegina, 21, dituduh membunuh kekasihnya, bekas polis dan juga tentera Dmitry Sinkevich, 24, yang bekerja sebagai pelayan bar, minggu ini.
Wanita itu bagaimanapun, menafikan membunuh lelaki berkenaan sebaliknya mendakwa mendapati kekasihnya itu sudah mati ketika ditemuinya.
Menurutnya, dia memotong mayat mangsa bagi menghapuskan mayat berkenaan kerana bimbang dituduh pembunuh.
Menurut Daily Mail yang memetik laporan media Russia, polis tidak menolak teori kemungkinan mangsa mati akibat aktiviti seks ganas.
Jiran mereka mendakwa pasangan itu meminati ilmu hitam dan kegiatan alternatif seksual.
Malah, media sosial mangsa dipenuhi imej memuja syaitan.
Selain itu mereka juga mengadu pasangan itu membuat bising kerana sering menganjurkan parti liar.
Mayat Sinkevich yang dipotong-potong, ditemui kakak Anastasia yang datang ke rumah mereka, lalu menghubungi polis.
Ujian forensik dilakukan bagi mengetahui bagaimana lelaki yang bekerja sebagai pelayan bar itu mati.
Menurut pegawai penyiasat, detektif Nikolay Panasyuk, selepas ditahan, Anastasia memberi bukti menegaskan dia tidak membunuh lelaki itu.

-Metro

Tuesday, February 13, 2018

TPM Australia pertahan hubungan sulit


CAMPION
SYDNEY – Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce berkata semalam bahawa beliau tidak melanggar sebarang peraturan Parlimen semasa menjalin hubungan sulit dengan seorang bekas kakitangannya.
Timbalan Perdana Menteri berkenaan berdepan gesaan untuk meletakkan jawatan susulan skandal seks itu.
Joyce yang telah berkahwin selama 24 tahun, kini menantikan kelahiran bayi hasil hubungan sulit dengan bekas setiausaha akhbarnya, Vikki Campion.
Beliau menerima tekanan hebat kerana gagal mengisytiharkan hubungan dengan bebas stafnya itu semasa diberikan dua jawatan tinggi dalam kerajaan.
Kod tata laku menteri-menteri Australia mewajibkan menterinya mengisytiharkan hubungan cinta dengan mana-mana kakitangan menteri Kabinet.
Namun, Joyce berkata, beliau tidak melanggar peraturan kerana Campion bukan ‘pasangannya’ pada masa itu.
Skandal itu boleh menjejaskan kerajaan Australia. Sekiranya Joyce meletak jawatan, Perdana Menteri Malcolm Turnbull akan hilang majoriti tipis satu kerusi di Parlimen.

 - Reuters/Kosmo

Monday, February 12, 2018

Dipaksa minum air menggelegak

KANAK-KANAK berusia tujuh tahun melecur di bibir dipercayai didera
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Seorang kanak-kanak pe­rempuan berusia tujuh tahun terpaksa menahan ke­sakitan kerana dipaksa minum air panas yang masih mengge­legak mengakibatkan melecur di bahagian bibir dipercayai didera ibu tirinya.
Malah, kanak-kanak tersebut mendakwa pernah beberapa kali dipukul, selain kakaknya berusia lapan tahun turut me­ngalami kecederaan di bawah mata dan terpaksa mendapatkan rawatan ke hospital sekitar Mac tahun lalu.
Ibu kanak-kanak terbabit, Nurul Dahlia Jaafar, 36, berkata, kejadian tersebut dipercayai ber­laku Isnin minggu lalu, sehari selepas dia menghantar mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Katanya, bagaimanapun, dia hanya menyedari kecederaan berkenaan ketika mengambil anaknya dari rumah adik bekas suaminya kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Jumaat lalu.
“Semasa saya hendak menjemputnya bercuti di rumah, saya sangat terkejut terlihat kesan melecur di seluruh bahagian bibir anak saya.
“Apabila ditanya, anak saya memberitahu dia dipaksa mi­num air panas yang sedang menggelegak oleh ibu tirinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Nurul Dahlia, dia kemudian membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada hari sama sebelum membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Jelasnya, sebelum ini anak keduanya yang berusia 13 tahun pernah memberitahu bahawa mereka dipukul ibu tirinya, namun dia tidak mengambil serius dakwaan tersebut kerana tiada kecederaan ditemukan.
“Sejak bekas suami berkahwin dengan isterinya (ibu tiri) setahun lalu, pelbagai kejadian berlaku, malah saya juga tidak dibenarkan menjenguk anak-anak yang di bawah jagaannya. Sehingga kini saya gagal menghubungi bekas suami dan mesej tidak dibalas,” ujarnya.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin mengesahkan menerima laporan kes seorang murid sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu dari IPD Dang Wangi.
Zaldino berkata, pihaknya ki­ni akan meminta laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur yang merawat mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut.


-Utusan

Sunday, February 11, 2018

'Hulk, Conan tak mau lagi'



OBSES untuk memiliki lengan sado menyebabkan dua beradik sanggup mengambil risiko menyuntik bahan kimia berbahaya ke dalam tubuh secara kerap sejak usia remaja.
Tony 'Hulk' Geraldo , 49, dan Alvaro 'Conan' Pereira, 50, kini memiliki saiz bisep berukuran lebih 63 sentimeter kesan daripada suntikan rutin dilakukan dua hingga tiga kali seminggu sejak 27 tahun lalu.
Inspirasi mereka tidak lain adalah pelakon sasa Hollywood, Arnold Schwarzenegger selepas menonton lakonan aktor terbabit dalam filem Conan The Barbarian.
Mereka mengamalkan suntikan itu kerana merasakan susuk fizikal masing-masing terlalu kurus sewaktu zaman remaja.
Pereira menyuntik bahan itu pada usia 15 tahun sebelum adiknya melakukan perkara sama pada usia 18 kerana begitu kagum dengan saiz otot bisep abangnya.
“Dulu memang kami ketagih tetapi sekarang tidak lagi. Saya mula mengawalnya. Orang sekeliling menasihatkan kami tidak keterlaluan terhadap perkara itu.
“Dia sentiasa mahukan saiz bisep lebih besar tetapi kini perlu lebih berhati-hati,” kata Alvaro.
Mereka turut diberi amaran oleh doktor agar menghentikan amalan menyuntik bahan kimia berbahaya itu kerana tindakan dibuat menjejaskan kesihatan.
Sebelum ini, seorang lelaki Russia dilaporkan menyuntik bahan kimia semata-mata mahu memiliki lengan ‘gelembung’ seperti watak kartun Popeye The Sailor.
Kirill Tereshin, berasal dari Pyatigorsk dengan bangga menayangkan lengan sebesar 61 sentimeter di media sosial walaupun dikritik ramai pengguna Internet.

-Metro

Wednesday, February 7, 2018

Cemburu buta: Potong zakar kekasih kerana puji wanita lain

Nurzhanova

ASTANA - KAZAKHSTAN.  Gara-gara memuji kecantikan wanita lain, lelaki di Kazakhstan ini kehilangan zakarnya selepas dikerat kekasihnya.
Zhanna Nurzhanova, 36, yang 'cemburu buta' bertindak demikian selepas mendapati teman lelakinya menghantar komen pada gambar rakan perempuan menerusi telefon bimbitnya.
Mangsa yang identitinya tidak didedahkan memuji penampilan wanita itu yang didakwa sebagai rakan kenalannya.
Wanita yang bekerja di sebuah salun kecantikan itu memberikan pil tidur kepada teman lelakinya dan menunggu sehingga mangsa tidak sedarkan diri ketika kejadian di kediaman mereka di Astana.
Nurzhanova kemudiannya menyuntik kekasihnya dengan ubat bius sebelum mengerat zakarnya.
Wanita itu turut membawa mangsa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan di mana doktor menghubungi polis untuk memberkasnya.
Menurut jurucakap hospital, pakar bedah cuba menyambung semula organ tersebut, namun keadaannya dilaporkan 'rosak teruk'.
Susulan kejadian itu, Nurzhanova telah berdepan tuduhan tidak jelas yang mana jika didapati bersalah dia boleh dihukum penjara sehingga enam tahun. 

- Daily Mail/Sinar

Tuesday, February 6, 2018

Pasangan dakwa boleh bercakap dengan haiwan

MONMOUTHSHIRE, Wales – Sepasang kekasih di sini mendakwa mempunyai kuasa psikik untuk berkomunikasi menerusi kaedah telepati dengan haiwan walaupun binatang berkenaan sudah mati.
Susie Shiner, 50, dan Paul Braithwaite, 43, yang menetap di Chepstow, dekat sini mendakwa, mereka menerima permintaan daripada ratusan pemilik haiwan untuk berkomunikasi dengan haiwan.
Shiner menyatakan dia boleh bercakap dengan pelbagai haiwan termasuk kucing, anjing, kuda dan hamster dengan memandang gambar dan mengenali nama mamalia itu.
Dia mendakwa, ada seekor kuda ‘menghantar imej menerusi ingatan’ tentang kesedihan yang dialami pemiliknya selepas salah seorang anggota keluarganya meninggal dunia.
Industri psikik dianggarkan bernilai £100 juta (RM547 juta) setahun di Britain dan daripada jumlah itu, kira-kira £10 juta (RM54.7 juta) adalah daripada bidang komunikasi bersama haiwan.
Wanita itu dilaporkan menganjurkan kursus latihan dan diploma komunikasi bersama haiwan dengan bayaran serendah £1,900 (RM10,400). 

– Agensi/Kosmo

Monday, February 5, 2018

Doktor jadi 'MacGyver' selamat pesakit



Florida: Dua pakar bius menjadi ‘MacGyver’ apabila mengubah suai bahan yang ada dalam pesawat menjadi alat penafasan bagi menyelamatkan nyawa penumpang wanita yang diserang sesak nafas.
Kejadian berlaku ketika John Flanagan dan Matthew Stevenson menaiki pesawat JetBlue dari Florida ke Jamaica untuk bercuti bersama isteri masing-masing, bulan lalu.
Menerusi catatan isteri Flanagan, Xenia, di Facebook, situasi menjadi cemas apabila Stevenson menyedari warga emas terbabit tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas kira-kira 20 minit selepas berlepas.
“Dia meminta bantuan suami saya,” tulis Xenia.
Namun, mereka tiada alat yang sesuai untuk membantu dan Stevenson memotong tiub serta beg udara topeng pernafasan kecemasan dan menyambungkannya kepada tangki oksigen sebagai ganti kepada alat bantuan pernafasan.
“Amat mengagumkan namun pada masa sama, menakutkan melihat suami dan rakannya melakukan perkara yang dilakukan mereka setiap hari - menyelamatkan nyawa,” tulis Xenia.
Pesawat terbabit dilencongkan ke Lapangan Terbang Fort Lauderdale untuk pendaratan cemas.
Alat bantuan pernafasan yang ‘dicipta’ mereka berjaya membantu wanita terbabit terus bernafas selama 45 minit sebelum mendapat bantuan sewajarnya sebaik mendarat.
Penumpang pesawat memberi tepukan gemuruh kepada mereka sebelum penerbangan diteruskan ke Jamaica.

-Metro

Sunday, February 4, 2018

Ritual kejam


Massachusetts: Dua beradik didakwa membakar muka dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan dengan alasan untuk menghalau roh jahat di dalam tubuh mangsa.
Polis memberitahu, mangsa yang berusia lima tahun itu dibawa ibunya bertemu suspek yang mendakwa sebagai bomoh kerana kanak-kanak itu terlalu nakal.
Rachel Hilaire, 40, dan Peggy LaBossiere, 51, memberitahu ibu mangsa bahawa kanak-kanak itu dirasuk roh jahat dan perlu menjalani satu ritual untuk menghalaunya.

Penyiasat polis, John Grillo dalam laporannya memberitahu, kedua-dua suspek melakukan upacara itu selama beberapa hari dan menggunakan beberapa jenis air serta minyak.
“Mangsa mendakwa Peggy menggunakan objek tajam seperti jarum untuk menghiris tangan dan bahagian badannya sehingga berdarah.
“Peggy juga membakar satu kayu sebelum meniup api itu ke arah muka mangsa dengan ibu dan Rachel memegangnya,” katanya.

PEGGY
Menurunya, abang kanak-kanak itu turut memberitahu polis, suspek menghiris badan mangsa dengan alasan untuk mengeluarkan roh jahat.
Tambahnya, kedua-dua suspek turut mengancam untuk memenggal kepala kanak-kanak itu dengan kapak.
Kanak-kanak itu akhirnya diselamatkan polis di sebuah rumah di Bridgewater pada 26 Januari lalu dan ketika ditemui, mangsa diikat di atas kerusi.
Kanak-kanak itu segera dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk kesan terbakar tahap ketiga.
Kedua-dua suspek ditahan dan berdepan tuduhan melakukan serangan serta memukul kanak-kanak bawah umur dan mengancam untuk membunuh.

-Metro

Thursday, February 1, 2018

Mo pencuri pakaian dalam


SIANG ia menjadi kucing peliharaan biasa di rumah namun, pada sebelah malam, kucing itu bertukar sifat, menjadi ‘ganas’ mencuri pakaian dalam milik jiran berhampiran rumah pemiliknya di Auckland, New Zealand.
Perbuatan kucing itu membawa pulang pakaian dalam, termasuk coli dan meletakkannya dalam bilik pemiliknya, Ed Williams menimbulkan masalah antara lelaki itu dengan teman wanitanya.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik NZ Herald Focus, William tidak dapat memberi jawapan kepada teman wanitanya yang menemui seluar dalam wanita di atas katil dan coli di belakang rumah pada 2016.
Menurutnya, selepas itu semakin banyak pakaian, termasuk pakaian dalam dan kemeja T ditemui dalam biliknya.
“Beberapa minggu selepas itu saya ternampak kucing berkenaan, yang saya namakan Mo menyeberang jalan sambil mengonggong kemeja T.
“Selepas itu senanglah saya memberi jawapan kepada teman wanita,” katanya.
Kucing itu mencuri pelbagai pakaian, termasuk stokin, seluar dalam lelaki dan wanita serta kemeja T yang dijemur di luar rumah.
“Kami sudah memeliharanya sejak dua tahun lalu, dan sepanjang tempoh itu, sudah lima kotak pakaian jiran dicurinya,” katanya.
Walaupun malu, William tiada pilihan terpaksa bertemu jiran-jirannya untuk memulangkan pakaian terbabit. Sebahagian besar jiran menerima kejadian itu dengan tenang namun sebahagian kecil tidak senang dengan perbuatan Mo.
Menurutnya, selepas jiran mengetahui kegiatan kucing itu, mereka yang kehilangan pakaian datang ke rumahnya untuk mengambilnya.

-Metro