Monday, February 5, 2018

Doktor jadi 'MacGyver' selamat pesakit



Florida: Dua pakar bius menjadi ‘MacGyver’ apabila mengubah suai bahan yang ada dalam pesawat menjadi alat penafasan bagi menyelamatkan nyawa penumpang wanita yang diserang sesak nafas.
Kejadian berlaku ketika John Flanagan dan Matthew Stevenson menaiki pesawat JetBlue dari Florida ke Jamaica untuk bercuti bersama isteri masing-masing, bulan lalu.
Menerusi catatan isteri Flanagan, Xenia, di Facebook, situasi menjadi cemas apabila Stevenson menyedari warga emas terbabit tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas kira-kira 20 minit selepas berlepas.
“Dia meminta bantuan suami saya,” tulis Xenia.
Namun, mereka tiada alat yang sesuai untuk membantu dan Stevenson memotong tiub serta beg udara topeng pernafasan kecemasan dan menyambungkannya kepada tangki oksigen sebagai ganti kepada alat bantuan pernafasan.
“Amat mengagumkan namun pada masa sama, menakutkan melihat suami dan rakannya melakukan perkara yang dilakukan mereka setiap hari - menyelamatkan nyawa,” tulis Xenia.
Pesawat terbabit dilencongkan ke Lapangan Terbang Fort Lauderdale untuk pendaratan cemas.
Alat bantuan pernafasan yang ‘dicipta’ mereka berjaya membantu wanita terbabit terus bernafas selama 45 minit sebelum mendapat bantuan sewajarnya sebaik mendarat.
Penumpang pesawat memberi tepukan gemuruh kepada mereka sebelum penerbangan diteruskan ke Jamaica.

-Metro

No comments:

Post a Comment