Sunday, February 11, 2018

'Hulk, Conan tak mau lagi'



OBSES untuk memiliki lengan sado menyebabkan dua beradik sanggup mengambil risiko menyuntik bahan kimia berbahaya ke dalam tubuh secara kerap sejak usia remaja.
Tony 'Hulk' Geraldo , 49, dan Alvaro 'Conan' Pereira, 50, kini memiliki saiz bisep berukuran lebih 63 sentimeter kesan daripada suntikan rutin dilakukan dua hingga tiga kali seminggu sejak 27 tahun lalu.
Inspirasi mereka tidak lain adalah pelakon sasa Hollywood, Arnold Schwarzenegger selepas menonton lakonan aktor terbabit dalam filem Conan The Barbarian.
Mereka mengamalkan suntikan itu kerana merasakan susuk fizikal masing-masing terlalu kurus sewaktu zaman remaja.
Pereira menyuntik bahan itu pada usia 15 tahun sebelum adiknya melakukan perkara sama pada usia 18 kerana begitu kagum dengan saiz otot bisep abangnya.
“Dulu memang kami ketagih tetapi sekarang tidak lagi. Saya mula mengawalnya. Orang sekeliling menasihatkan kami tidak keterlaluan terhadap perkara itu.
“Dia sentiasa mahukan saiz bisep lebih besar tetapi kini perlu lebih berhati-hati,” kata Alvaro.
Mereka turut diberi amaran oleh doktor agar menghentikan amalan menyuntik bahan kimia berbahaya itu kerana tindakan dibuat menjejaskan kesihatan.
Sebelum ini, seorang lelaki Russia dilaporkan menyuntik bahan kimia semata-mata mahu memiliki lengan ‘gelembung’ seperti watak kartun Popeye The Sailor.
Kirill Tereshin, berasal dari Pyatigorsk dengan bangga menayangkan lengan sebesar 61 sentimeter di media sosial walaupun dikritik ramai pengguna Internet.

-Metro

No comments:

Post a Comment