KUALA LUMPUR 12 Feb. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan kerana dipaksa minum air panas yang masih menggelegak mengakibatkan melecur di bahagian bibir dipercayai didera ibu tirinya.
Malah, kanak-kanak tersebut mendakwa pernah beberapa kali dipukul, selain kakaknya berusia lapan tahun turut mengalami kecederaan di bawah mata dan terpaksa mendapatkan rawatan ke hospital sekitar Mac tahun lalu.
Ibu kanak-kanak terbabit, Nurul Dahlia Jaafar, 36, berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku Isnin minggu lalu, sehari selepas dia menghantar mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Katanya, bagaimanapun, dia hanya menyedari kecederaan berkenaan ketika mengambil anaknya dari rumah adik bekas suaminya kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Jumaat lalu.
“Semasa saya hendak menjemputnya bercuti di rumah, saya sangat terkejut terlihat kesan melecur di seluruh bahagian bibir anak saya.
“Apabila ditanya, anak saya memberitahu dia dipaksa minum air panas yang sedang menggelegak oleh ibu tirinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Nurul Dahlia, dia kemudian membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada hari sama sebelum membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Jelasnya, sebelum ini anak keduanya yang berusia 13 tahun pernah memberitahu bahawa mereka dipukul ibu tirinya, namun dia tidak mengambil serius dakwaan tersebut kerana tiada kecederaan ditemukan.
“Sejak bekas suami berkahwin dengan isterinya (ibu tiri) setahun lalu, pelbagai kejadian berlaku, malah saya juga tidak dibenarkan menjenguk anak-anak yang di bawah jagaannya. Sehingga kini saya gagal menghubungi bekas suami dan mesej tidak dibalas,” ujarnya.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin mengesahkan menerima laporan kes seorang murid sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu dari IPD Dang Wangi.
Zaldino berkata, pihaknya kini akan meminta laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur yang merawat mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut.
-Utusan
No comments:
Post a Comment