New Delhi: Seorang pemandu traktor cedera parah, termasuk buta akibat diserang sekumpulan lelaki yang menyuntik asid ke dalam matanya kerana didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri majikannya.
Menurut doktor, Gautam Kumar Choudhary, 30, kehilangan 90 peratus penglihatannya selepas diserang di daerah Begusarai, negeri Bihar, India, minggu ini.
Choudhary yang berasal dari daerah Samastipur di Bihar berkata, penyerang terbabit menghukumnya kerana dia menjalin hubungan sulit dengan isteri majikannya dikenali sebagai Archana.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik Gulf News, mangsa dan wanita berkenaan melarikan diri bersama awal bulan ini, namun kembali selepas 10 hari.
Choudhary mendakwa dia diserang selepas adik majikannya, Pankaj Singh, menghubunginya dengan menyamar sebagai anggota polis memintanya datang ke balai polis untuk menjemput wanita itu.
“Saya menyewa kenderaan dan pergi ke Begusarai. Bagaimanapun saya diculik kira-kira satu kilometer dari balai polis,” katanya.
Menurutnya, sekumpulan lelaki termasuk Pankaj Singh membawanya ke sebuah motel sebelum menyuntik asid ke dalam matanya.
Penyerang itu kemudian membuangnya ke dalam parit di tepi jalan untuk dibiarkan mati, namun dia ditemui seorang pemandu yang membawanya ke hospital.
-Metro
No comments:
Post a Comment