Thursday, March 31, 2016

Wanita maut leher tersepit di pagar



Xi’an (China): Seorang wanita yang mengandung anak kembar maut dalam keadaan menyedihkan apabila lehernya tersangkut pada pagar di sebatang jalan di bandar ini.

Wanita yang tidak dinamakan itu dilaporkan meninggal dunia akibat tercekik selepas lehernya tersepit pada celah pagar berkenaan.

Kejadian pada Isnin lalu berlaku ketika mangsa yang hamil tujuh bulan tiba-tiba pengsan ketika berjalan di lokasi berkenaan.

Beberapa saksi memberitahu, wanita itu dilihat cuba memegang pagar itu, tetapi dia terjatuh menyebabkan lehernya tersepit.

Orang ramai yang berada di laluan yang sibuk itu cuba membantu, tetapi leher mangsa yang berusia 30-an tersepit dengan kuat. Satu rakaman video menunjukkan beberapa lelaki cuba mematahkan pagar berkenaan, namun gagal.

Apabila pasukan penyelamat tiba, wanita itu disahkan meninggal dunia. Lebih menyedihkan lagi, bayi kembar dalam kandungan wanita itu juga gagal diselamatkan. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/126693#sthash.4egcif2n.dpuf

Wednesday, March 30, 2016

Gadis maut dipercayai didera kenalan

 SUSPEK
 
KUBANG PASU 30 Mac – Seorang gadis berusia 21 tahun maut dalam keadaan menyedihkan dipercayai akibat didera kenalan lelakinya yang juga suami orang dan bapa seorang anak di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Gemilang, Jitra di sini.

Mangsa, Nurul Syahira Ishak dikatakan tidak sedarkan diri di dalam bilik utama di tingkat dua rumah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jitra menggunakan ambulans kira-kira pukul 1.30 petang.
Sumber memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan mendapati terdapat banyak kesan lebam di beberapa bahagian badan termasuk muka, kaki dan tangan mangsa dipercayai akibat dipukul. Polis bersama unit forensik kemudian menjalankan siasatan di rumah tersebut dan merampas lebih 25 barangan termasuk termos yang kemek, televisyen yang pecah skrin, tuala, bantal serta kerusi plastik patah.

“Difahamkan mangsa tinggal di bilik tersebut bersama lelaki itu yang bekerja sebagai penjual insurans serta ahli keluarganya. Isteri suspek merupakan seorang doktor di hospital kerajaan dan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia lima bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pasangan itu dilihat dibawa menaiki van polis kira-kira pukul 8 malam menuju ke Ibu Pejabat Polis Kubang Pasu. Lelaki itu dibawa dalam keadaan tangannya bergari sementara isterinya pula mendukung anak mereka sambil menutup muka dengan tangan.

Sementara itu jiran-jiran mangsa mendakwa, pasangan berkenaan baru saja berpindah ke rumah ber­kenaan yang merupakan sebuah homestay milik seorang lelaki Cina.

Salah seorang daripadanya memberitahu, pasangan tersebut menyewa bilik utama di rumah tersebut untuk dijadikan kediaman mereka sejak penghujung tahun lalu.

“Kami yang tinggal di sini memang sering mendengar jeritan lelaki tersebut. Tetapi tidak tahu pula siapa dimarahnya dan kami sangkakan mereka suami isteri bergaduh.

“Tetapi tidak pernah pula kami melihat kelibat mangsa. Cuma suspek saja yang selalu dilihat di balkoni manakala isteri dan anaknya pun jarang sekali jumpa,” katanya.

Tambahnya, kali terakhir beliau mendengar jeritan lelaki itu kira-kira pukul 8 pagi tadi. Selain jeritan, ada dalam kalangan jiran yang mendakwa beberapa kali terdengar bunyi pintu berdentum.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

-Utusan

Sunday, March 27, 2016

Ajal lepas solat Maghrib



Kota Kinabalu: Beberapa jemaah yang menunggu waktu solat Isyak di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, kelmarin, gempar apabila seorang warga emas tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia.

Dalam kejadian jam 7.05 petang, Maharof Thaufeck, 67, disahkan meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas lalu rebah dan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, mangsa yang juga pesara kerajaan baru selesai menunaikan solat Maghrib dan sedang berehat sambil menunggu waktu Isyak di masjid berkenaan.
Menurut sumber, mangsa dilihat memegang dadanya dan mengadu sesak nafas sebelum rebah.
“Kejadian itu turut disedari beberapa jemaah lain yang kemudian bergegas menghampiri mangsa untuk menghulurkan bantuan,” kata sumber itu.
Sumber berkata, bilal masjid berkenaan berusia 45 tahun kemudian segera menghubungi ambulans apabila mendapati mangsa tidak sedarkan diri.
“Pasukan perubatan yang tiba kemudian membantu dengan memberi bantuan pernafasan, namun tidak berjaya.
“Mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati, mangsa menghidap penyakit darah tinggi selain memiliki rekod kesihatan berkaitan kesukaran bernafas.
“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pilajau, Beaufort, jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

-Metro

Friday, March 25, 2016

Marah dilanggar kereta mainan



Hunan: Seorang wanita warga emas yang dilanggar sebuah kereta mainan enggan bangun dan meninggalkan tempat itu sehingga pemandu terbabit ‘membayar’ ganti rugi. Kejadian luar biasa itu dirakam di bandar Changde, wilayah Hunan minggu lalu.

Wanita itu duduk di atas lantai kaki lima di hadapan seorang kanak-kanak yang memandu kereta mainan berwarna merah, ibu bapanya dan beberapa orang, lapor portal berita Huangqiu.com.

Wanita yang tidak dikenali itu mendakwa kereta mainan itu dipandu laju tanpa lesen di kaki lima - seolah-olah tidak mahu mengakui yang melanggarnya hanya kereta mainan.

Ibu kanak-kanak itu kedengaran menjerit kepada wanita itu: “Saya berjalan di sini dan anda berjalan di sana.” Wanita tua itu duduk di hadapan kereta itu dengan tangannya di atas bonet pula kedengaran membantah ibu kanak-kanak itu.

Laporan mengenainya bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada wanita itu menerima ganti rugi atau dihantar ke hospital untuk dirawat.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125244#sthash.luFNAvNQ.dpuf

Wednesday, March 23, 2016

Mahu ikut isteri



Alor Setar: Tidak dapat menerima hakikat isterinya meninggal dunia akibat barah payudara, seorang lelaki bertindak cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat dua Flat Taman Flora, Alor Janggus, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 12 tengah hari, lelaki berkenaan dari Alor Janggus parah di kepala, muka, tangan dan lutut berikutan terjun dari flat berkenaan selepas kecewa dan tidak sanggup meneruskan kehidupan tanpa isterinya. Difahamkan, isterinya disahkan menghidap barah payudara sejak setahun lalu dan dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dua minggu lalu selepas dilaporkan tenat.

Bagaimanapun, isterinya dilaporkan meninggal dunia jam 11 pagi semalam menyebabkan dia kecewa dan bertindak mahu membunuh diri. Ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, dia segera ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai kematian isteri lelaki berkenaan, namun tidak melihat kelibat lelaki terbabit di hospital. “Saya fikir dia sibuk kerana mahu menguruskan urusan pengebumian mendiang isterinya, namun terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu (terjun).

 “Dia begitu sayangkan isterinya sehingga bertindak terjun dari flat berkenaan kerana tidak sanggup meneruskan kehidupan tanpa mendiang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Sebaik tiba, kami mendapati lelaki berkenaan masih hidup namun lemah. Dia masih dirawat di HSB dan keadaannya dilaporkan kritikal. “Polis menunggu sehingga keadaannya stabil untuk diambil keterangan bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125029#sthash.c8xVMIht.dpuf

Monday, March 21, 2016

RM10,000 tebus ‘anu’



Kuala Lumpur: 'Tak bogel maka tak cinta.' Itulah kata-kata perangkap yang akhirnya membuatkan seorang lelaki kini menyesal selepas menjadi mangsa ugutan seorang wanita yang merakamkan gambar bogelnya.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai John Tan, 30, berkata, dia mengenali suspek menerusi laman sosial Facebooknya sebelum mangsa mengajaknya membuat panggilan video menggunakan laman Skype.

Menurutnya, wanita yang menggunakan nama Sabrina Leung itu meminta bayaran RM10,000 dan mengugut akan memuat naik video mangsa ke laman sosial untuk tontonan umum sekiranya gagal membayar wang berkenaan.

Tan berkata, pada mulanya tidak menghiraukan ugutan itu namun terkejut apabila mendapati video aksi bogelnya sudah dimuat naik ke Youtube.

Tan mengaku dia terpedaya disebabkan riak wajah wanita itu yang cantik selain mempunyai tubuh badan menarik. Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7870#sthash.sASREkYv.dpuf

Thursday, March 17, 2016

Pengsan sejam anu terhentak



Mukah: Lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Adi, 20-an, pengsan hampir sejam akibat cedera pada alat sulitnya selepas merempuh meja di belakang restoran tempatnya bekerja di sekitar bandar ini, jam 5.30 petang kelmarin. Kejadian berlaku ketika Adi mengayuh basikal sambil melakukan aksi mengangkat tayar depan sebelum merempuh meja terbabit. Adi pengsan sebaik merempuh meja dan dia dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan.

Pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Ayang, 50-an, berkata, dia kerap menasihati Adi supaya tidak melakukan aksi itu kerana ia berisiko namun tidak pernah diendahkan. “Adi pekerja yang baik namun dia seolah-olah ketagih untuk melakukan aksi terbabit. Saya harap dia belajar daripada kesilapan itu dan tidak melakukan perkara yang boleh mencederakan dirinya,” katanya.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/123289#sthash.vF7W1LJf.dpuf

Wednesday, March 16, 2016

Mayat 'bergaya'


San Juan, Puerto Rico: Keluarga yang menghadiri majlis penghormatan terakhir seorang pemuda di sini terkejut apabila melihat mayat lelaki itu berada dalam keadaan duduk di kerusi dengan kaki bersilang serta memegang sebatang rokok.

Lebih mengejutkan lagi mayat Fernando de Jesus Diaz Beato yang mati ditembak baru-baru ini dipakaikan pakaian kegemarannya dan matanya juga dibiarkan terbuka.

Diaz Beato, 26, mati ditembak pada 3 Mac lalu oleh penyerang tidak dikenali ketika berjalan di depan rumahnya. Sebuah rumah pengurusan mayat di sini membuat majlis penghormatan terakhir istimewa untuk Diaz Beato seperti yang dipinta keluarganya

Kakak pemuda itu, Ihizz berkata, adiknya seorang yang ceria dan aktif serta suka berpakaian menarik dan bergaya.


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/122416#sthash.oxjPYF3J.dpuf

Sunday, March 13, 2016

Rahsia kekasih 'sempurna'



Dalian, China: Seorang lelaki di bandar ini dijadikan lelaki contoh dan pasangan impian setiap wanita selepas kisahnya yang setia menjaga kekasihnya yang koma selama beberapa bulan menjadi viral di Internet.

Liu Fenghe, 25, berikrar untuk menjaga dan setia berada di sisi kekasihnya, Lin Yingying, 22, yang koma selepas cedera parah di kepala pada 2014.

Dia juga dianggap sebagai wira oleh media tempatan kerana sanggup menggunakan semua wangnya untuk menampung kos rawatan wanita itu di hospital.

Bagaimanapun, tembelang Liu akhirnya pecah apabila Lin yang sedar daripada koma pada Mei tahun lalu mendedahkan dia sebenarnya dipukul oleh lelaki itu.

Bapa Lin membuat laporan polis baru-baru ini selepas anaknya memberitahu punca dia mengalami kecederaan berkenaan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/121733#sthash.vDtPTC1P.dpuf

Thursday, March 10, 2016

Anak singa terkam budak tiga tahun



Vladimir (Russia): Sebuah video di Russia menunjukkan detik mengerikan seekor anak singa menerkam kanak-kanak berusia tiga tahun yang cuba bermain dengannya dalam salji.

Anak singa bernama Faina itu yang diikat dengan rantai, berjalan dengan penjaganya di sebuah taman di Russia sebelum tiba-tiba menerkam ke arah kanak-kanak lelaki itu menyebabkan mangsa terjatuh.

Anak singa itu kemudian menggigit tengkuk mangsa menyebabkan kanak-kanak itu serta ibunya menjerit. Faina cuma melepaskan mangsa selepas penjaganya Olga Orlova memukulnya dengan kuat berulang kali menggunakan batang kayu dan berjaya menariknya daripada mangsa.

Kejadian menakutkan itu berlaku di sebuah taman bandar di bandar Vladmir di rantau Vladimir Oblasy di Russia. Menurut saksi, mangsa terselamat kerana memakai jaket musim sejuk yang tebal, sekali gus berjaya menghalang gigi anak singa itu daripada menyebabkan cedera. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/121770#sthash.CrODpbBx.dpuf

Wednesday, March 9, 2016

Al-Quran, kitab tidak hangus



SABAK BERNAM – Sebanyak 15 naskhah al-Quran dan kitab hadis ditemui dalam keadaan baik dan tidak hangus di ba­ngunan asrama Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi (MTDIM), Batu 40 di sini yang musnah dalam kebakaran kelmarin.

Pengetuanya, Mohd. Sharif Musa berkata, kitab suci itu ditemui ketika pelajar dan guru sedang membersihkan pejabat asrama dan bilik koperasi pusat pengajian tersebut.

“Sebahagian kitab al-Quran dan hadis yang ditemui masih dalam keadaan baik dan hanya terdapat kesan terbakar pada bahagian kulit depan dan belakang namun isi kandungannya tidak terjejas.

“Kebesaran yang ditunjuk Allah pada hari ini (semalam) apabila kami menemui kitab al-Quran dan hadis yang masih sempurna kandungannya walaupun kebanyakan barangan lain hangus terbakar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan bilik asrama yang menempatkan 60 pelajar lelaki musnah dijilat api dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi dipercayai bermula dari sebuah stor pusat pengajian agama itu.

Kebakaran itu memusnahkan 70 peratus bangunan ter­sebut namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tambah Mohd. Sharif, pihaknya memerlu­kan sumbangan bagi menampung kos pembinaan semula bangunan itu kerana bangunan yang dibina sejak tahun 1980-an itu perlu dirobohkan atas faktor keselamatan selepas kejadian kebakaran tersebut.

“Ketika ini, pelajar ditempatkan sementara di dewan serbaguna dan surau maahad sebagai tempat tinggal manakala selebihnya dipindahkan ke bilik asrama yang selamat untuk di­duduki,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulur bantuan boleh menghubungi Mohd. Sharif di talian 012-352 4420


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz42ORqOAuP

Monday, March 7, 2016

47 kali ambil peperiksaan



Jaipur (India): Seorang warga emas berusia 77 tahun dari Rajasthan bakal mengambil peperiksaan awam Kelas 10 untuk kali ke-47 dalam hidupnya. Shiv Charan Yadav, dari kampung Khohari di Alwae, pertama kali mengambil peperiksaan itu pada 1968 - sebulan selepas kumpulan legenda The Beatles datang ke India untuk menghadiri kursus latihan Maharishi Mahesh Yogi’s Transcendental Meditation di Rishikesh.

Pada 10 Mac ini, Yadav berharap dapat mengatasi kegagalannya dalam peperiksaan itu 46 tahun lalu. Malah, dia berazam tidak berkahwin sehingga berjaya memasuki matrikulasi, namun Lembaga Peperiksaan Rajasthan menyukarkan hasratnya itu.

“Setiap kali mengambil peperiksaan saya lulus mata pelajaran tertentu, tetapi gagal pula yang lain.“Contohnya, jika mendapat markah baik dalam matematik dan sains, saya gagal pula bahasa Hindi dan Inggeris. Kali ini saya berharap dapat lulus semua mata pelajaran,” katanya. Katanya, dia hampir lulus peperiksaan itu 21 tahun lalu pada 1995, malangnya gagal dalam matematik.

Tahun lalu dia berjaya lulus mata pelajaran sains sosial, tetapi tahun sebelumnya gagal semua subjek.“Tahun ini saya mengambil kelas bersama beberapa guru sekolah,” katanya. Yadav tinggal bersendirian di rumah pusaka ibunya sejak 30 tahun lalu. Ibunya meninggal dunia ketika dia baru berusia dua bulan dan dia kehilangan ayah ketika berumur 10 tahun. Yadav dibesarkan bapa saudara dan ahli keluarga lain.“Saya menerima pencen kerajaan dan bantuan daripada kuil berhampiran,” katanya.

Dia mengakui ada penduduk kampung mempersendakan usahanya, tetapi tidak kurang yang mengagumi kegigihannya dan sering memberi semangat serta hadiah berbentuk pen atau alat tulis untuk membantunya belajar. Penduduk, Ramkesh Meena berkata: “Seronok melihat dia ke kuil bersama pelajar lain untuk mengambil peperiksaan. Kami berharap kali ini dia berjaya.”Jika lulus, Yadav mempunyai tugas lain pula - mencari isteri.“Tahun ini saya akan berkahwin. Saya pasti akan mendapt isteri,” katanya. - Agensi

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/120426#sthash.oUJcB0kh.dpuf

Sunday, March 6, 2016

Makam al-Quran

             
Terletak jauh di kawasan pergunungan gersang mengelilingi bandar Quetta di barat daya Pakistan, tersembunyi sebuah gua dipenuhi al-Quran yang melindungi kitab suci berkenaan. Gunung yang dikenali sebagai Jabal-e-Noor atau Gunung Cahaya itu dilawati ratusan ribu pengunjung sejak dua beradik, Abdul Sammad Lehri dan Abdul Rashid menjadikan ia sebuah ‘makam’ untuk kitab lama al-Quran.
Beberapa salinan kitab suci yang disimpan di sebuah gua di gunung berkenaan dikatakan berusia lebih 600 tahun.“Kami sudah menanam sekurang-kurangnya lima juta guni al-Quran lama di gua ini,” kata penjaga ­Jabal-e-Noor, Muzaffar Ali.
Bagaimanapun, gua berselirat di gunung berkenaan semakin hampir mencapai kapasiti maksimum. Beratus-ratus guni yang mengandungi salinan al-Quran lama kini terbiar di tepi gunung ketika pihak pengurusan berusaha membuat ruangan tambahan untuk menyimpannya. Abdul Sammad berkata, keghairahannya untuk melindungi al-Quran bermula pada 1956 apabila dia menemui sehelai kertas surat khabar dengan gambar Kaabah yang besar di lantai kereta rakannya.
Dia mengambil helaian akhbar berkenaan dan berikrar untuk melindungi ayat suci al-Quran dan imej yang melambangkan agama Islam. Ujarnya, pada 1992, dia dan adiknya, Abdul Rashid mengusahakan kilang memecah batu di satu kawasan yang disewa berhampiran gunung di luar Quetta. “Kami hanya menggunakan sebahagian kecil kawasan yang disewa dan saya mendapat idea untuk menanam al-Quran lama di dalam gunung ini,” katanya.
Di Pakistan, sebarang tindakan yang dianggap tidak menghormati al-Quran boleh menyemarakkan dakwaan kekufuran dan boleh dihukum bunuh, sama ada oleh kerajaan atau di tangan perusuh sendiri. Orang Islam percaya al-Quran adalah pesanan Tuhan yang disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW kepada manusia. Atas sebab itu, ayat yang terkandung dalam al-Quran dianggap suci dan salinan al-Quran lama perlu dilupuskan dengan penuh rasa hormat. Ulama di Pakistan hanya meluluskan dua kaedah iaitu membalut kitab suci itu dengan kain sebelum ditanam di tanah atau meletakkan ia pada air mengalir sehingga dakwat hilang daripada halaman.
Bagaimanapun, Abdul Sammad, 77, yang juga se­orang ahli perniagaan berpengaruh, mempunyai satu idea yang dianggap satu pembaharuan dan pada masa yang sama sangat berisiko. Abdul Sammad merancang membina sebuah kilang kitar semula al-Quran pertama di negara itu. Langkah itu mungkin menjadikan gua berkenaan sebagai satu sasaran.
Di negara jiran, Afghanistan pada 2011, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan memusnahkan sebahagian kilang kertas yang didakwa mereka mengitar semula al-Quran menjadi tisu tandas. Di Pakistan pula, sekumpulan perusuh membakar sebuah kilang di wilayah Punjab pada November 2015 selepas seorang pekerja dituduh membakar helaian al-Quran di dalam dandang.
Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila ulama Pakistan bersetuju dengan cadangan Abdul Sammad itu.“Ulama meluluskan kilang kitar semula al-Quran itu sekiranya kertas yang dihasilkan diguna untuk mencetak kitab berkenaan semula,” kata pengerusi Majlis Ulama Pakistan, Tahir Mehmood Ashrafi. Mufti Muneeb-ur-Rehman pula memberitahu, al-Quran boleh dikitar semula sekiranya tulisan pada halaman dihilangkan dan cecair yang digunakan untuk menghilangkannya dilupuskan mengikut syariat Islam.
“Selepas itu kertas daripada al-Quran itu boleh dikitar semula untuk menghasilkan kadbod atau apa sahaja,” katanya. Bagaimanapun, Abdul Sammad memberitahu, ketika ini idea itu masih lagi dalam peringkat cadangan. - AFP


 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/120684#sthash.6U4BARKm.dpuf

Thursday, March 3, 2016

Telan 5 kg durian kerana tak mahu rugi



Anhui: Seorang wanita memakan lima kilogram durian dalam masa beberapa minit selepas dilarang membawa buah berkenaan ke dalam kereta api.

Wanita itu mulanya ditahan oleh pegawai keselamatan di sebuah stesen kereta api di wilayah Anhui selepas mereka terhidu bau ganjil yang kuat dari bagasinya.

Selepas memeriksa, mereka menemui durian itu dan memberitahu wanita terbabit, dia tidak dibenarkan membawanya menaiki kereta api.

Kerana tidak mahu menanggung kerugian dan waktu berlepas sudah hampir, wanita berkenaan membuka buah itu dan memakan hampir lima kilogram isinya dengan rakus, sehingga hidungnya berdarah.

Kejadian itu yang membabitkan penumpang kereta api bertindak serta-merta dalam pertelagahan dengan pihak berkuasa keselamatan stesen kereta api.

Bulan lalu, seorang pekerja menyembelih dua ekor ayam di sebuah stesen selepas dilarang membawa haiwan itu menaiki kereta api. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/120107#sthash.gcPNVxT3.dpuf

Wednesday, March 2, 2016

Dendam kakak dengki



Moscow: Seorang model Russia berusia 17 tahun mati ditikam 140 kali selain mata dikorek dan telinga dipotong oleh kakaknya sendiri yang cemburukannya. Stefania Dubrovina, 17, ditikam mati kakaknya, Elizaveta, 19, dengan mayatnya menunjukkan kesan kecederaan teruk di dalam apartmen milik seorang jurugambar berusia 42, di St Petersburg.

Sumber polis tempatan berkata, dua beradik itu dan lelaki terbabit sedang berpesta, tetapi Elizaveta tiba-tiba menyerang adiknya menggunakan pisau ketika jurugambar berkenaan keluar membeli arak. Penghibur terkenal St Petersburg, Stas Baretsky yang mengenali Stefania sejak dua tahun lalu menyuarakan rasa terkejut dengan kejadian itu selain menggambarkan mangsa sebagai seorang yang baik dan berkeperibadian menarik.

Akhbar Russia melaporkan, Elizaveta cemburukan kejayaan adiknya dan sering meniru gaya rambut serta mekapnya. Elizaveta juga dilaporkan pernah mendapat rawatan di hospital sakit jiwa, malah seorang rakannya turut mengatakan dia ‘sedikit gila.’Dia dilaporkan cuba melarikan diri selepas membunuh adiknya, tetapi rakan Stefania berjaya menahannya.

Ada yang mendakwa Stefania pelacur, tetapi Baretsky menafikannya.“Saya berbual dengannya beberapa jam sebelum kematiannya dan dia memang dalam keadaan sedih,” katanya. Elizaveta dan Stefania mempunyai beberapa adik-beradik lain dan semuanya dibesarkan di rumah anak yatim.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/119770#sthash.lvkjHUBx.dpuf

Tuesday, March 1, 2016

Mati dicekik lepas gugur



Beijing: Seorang wanita berusia 25 tahun dicekik hingga mati oleh suaminya selepas pulih dari pembedahan selama dua hari berikutan keguguran.
Li Hongxia dilaporkan dicekik suaminya Zhang Yazhou ketika wanita itu tidur sebelum lelaki itu melarikan diri. Kakaknya berkata, mayat Li ditemui doktor dan jururawat.
Li dan Zhang dilaporkan sering bertengkar sejak menjelang perayaan Tahun Baru Cina awal bulan lalu apabila wanita itu mengajak suaminya pulang ketika mereka melawat saudara-mara lelaki terbabit.
Li cuba memujuk suaminya yang semakin berang sebelum mula memaki hamun dan memukulnya menggunakan bangku.
Akibatnya Li cedera di kepala dan Zhang berhenti menyerangnya selepas ibu bapanya masuk campur lapor akhbar Sina.
Pada 23 Februari lalu, Li dimasukkan ke hospital untuk pembedahan akibat keguguran. Bagaimanapun, sekitar jam 5 petang keesokannya, Zhang menyelinap masuk ke wad itu dan mencekiknya hingga mati. - Agensi/Metro

Lelaki bunuh gabenor demi Islam, dihukum gantung

Penyokong Mumtaz Qadri berbaris di luar kediamannya bagi memberikan
 
RAWALPINDI 29 Feb. – Pakistan, hari ini melaksanakan hukuman gantung hingga mati ke atas bekas pengawal peribadi polis yang membunuh seorang bekas gabenor negara ini yang menentang pelaksanaan undang-undang menghina Islam.
Mumtaz Qadri menjalani hukuman itu di Penjara Aduala di Rawalpindi dekat Islamabad awal pagi ini, kata pegawai penjara Ijaz Chaudhry.
Mumtaz disanjung sebagai wira selepas membunuh bekas gabenor itu, Salman Taseer pada 2011 kerana lantang mengecam pelaksanaan undang-undang menghina Islam pada 1980-an selepas bertemu dengan wanita Kristian Asia Bibi di penjara, selepas wanita itu ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW.
Asia Bibi kini masih ditahan sementara menunggu hukuman mati.
Mumtaz menembak Salman sebanyak 28 kali dalam satu kejadian di sebuah pasar di Islamabad pada 2011.
Dia kemudiannya mengaku membunuh Taseer dengan menyatakan dia membantah cadangan gabenor itu untuk meminda undang-undang menghina Islam Pakistan yang dianggap sebagai satu isu sensitif di negara berkenaan yang dihuni kira-kira 200 juta penduduk.
Beratus-ratus penyokong Mumtaz kemudian menziarahi jenazahnya di rumahnya dengan pasukan renjer separa tentera dan polis antirusuhan ditempatkan di premis tersebut.
Anggota renjer turut kelihatan berada di bumbung rumah Mumtaz, manakala pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya di kawasan perumahan berhampiran.
“Saya tidak menyesal,” kata abang Mumtaz, Malik Abil, sambil menambah kata, mereka telah dimaklumkan mengenai hukuman itu petang semalam.
Jurucakap polis Islamabad, Zia-ul-Qamar berkata, kawalan keselamatan di seluruh ibu negara dipertingkatkan ekoran pelaksanaan hukuman mati tersebut. – AFP

-Utusan