Alor Setar: Tidak dapat menerima hakikat isterinya meninggal dunia akibat barah payudara, seorang lelaki bertindak cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat dua Flat Taman Flora, Alor Janggus, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 12 tengah hari, lelaki berkenaan dari Alor Janggus parah di kepala, muka, tangan dan lutut berikutan terjun dari flat berkenaan selepas kecewa dan tidak sanggup meneruskan kehidupan tanpa isterinya. Difahamkan, isterinya disahkan menghidap barah payudara sejak setahun lalu dan dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dua minggu lalu selepas dilaporkan tenat.
Bagaimanapun, isterinya dilaporkan meninggal dunia jam 11 pagi semalam menyebabkan dia kecewa dan bertindak mahu membunuh diri. Ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, dia segera ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai kematian isteri lelaki berkenaan, namun tidak melihat kelibat lelaki terbabit di hospital. “Saya fikir dia sibuk kerana mahu menguruskan urusan pengebumian mendiang isterinya, namun terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu (terjun).
“Dia begitu sayangkan isterinya sehingga bertindak terjun dari flat berkenaan kerana tidak sanggup meneruskan kehidupan tanpa mendiang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Sebaik tiba, kami mendapati lelaki berkenaan masih hidup namun lemah. Dia masih dirawat di HSB dan keadaannya dilaporkan kritikal. “Polis menunggu sehingga keadaannya stabil untuk diambil keterangan bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125029#sthash.c8xVMIht.dpuf
No comments:
Post a Comment