Mumtaz Qadri menjalani hukuman itu di Penjara Aduala di Rawalpindi dekat Islamabad awal pagi ini, kata pegawai penjara Ijaz Chaudhry.
Mumtaz disanjung sebagai wira selepas membunuh bekas gabenor itu, Salman Taseer pada 2011 kerana lantang mengecam pelaksanaan undang-undang menghina Islam pada 1980-an selepas bertemu dengan wanita Kristian Asia Bibi di penjara, selepas wanita itu ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW.
Asia Bibi kini masih ditahan sementara menunggu hukuman mati.
Mumtaz menembak Salman sebanyak 28 kali dalam satu kejadian di sebuah pasar di Islamabad pada 2011.
Dia kemudiannya mengaku membunuh Taseer dengan menyatakan dia membantah cadangan gabenor itu untuk meminda undang-undang menghina Islam Pakistan yang dianggap sebagai satu isu sensitif di negara berkenaan yang dihuni kira-kira 200 juta penduduk.
Beratus-ratus penyokong Mumtaz kemudian menziarahi jenazahnya di rumahnya dengan pasukan renjer separa tentera dan polis antirusuhan ditempatkan di premis tersebut.
Anggota renjer turut kelihatan berada di bumbung rumah Mumtaz, manakala pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya di kawasan perumahan berhampiran.
“Saya tidak menyesal,” kata abang Mumtaz, Malik Abil, sambil menambah kata, mereka telah dimaklumkan mengenai hukuman itu petang semalam.
Jurucakap polis Islamabad, Zia-ul-Qamar berkata, kawalan keselamatan di seluruh ibu negara dipertingkatkan ekoran pelaksanaan hukuman mati tersebut. – AFP

-Utusan