Wednesday, March 9, 2016

Al-Quran, kitab tidak hangus



SABAK BERNAM – Sebanyak 15 naskhah al-Quran dan kitab hadis ditemui dalam keadaan baik dan tidak hangus di ba­ngunan asrama Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi (MTDIM), Batu 40 di sini yang musnah dalam kebakaran kelmarin.

Pengetuanya, Mohd. Sharif Musa berkata, kitab suci itu ditemui ketika pelajar dan guru sedang membersihkan pejabat asrama dan bilik koperasi pusat pengajian tersebut.

“Sebahagian kitab al-Quran dan hadis yang ditemui masih dalam keadaan baik dan hanya terdapat kesan terbakar pada bahagian kulit depan dan belakang namun isi kandungannya tidak terjejas.

“Kebesaran yang ditunjuk Allah pada hari ini (semalam) apabila kami menemui kitab al-Quran dan hadis yang masih sempurna kandungannya walaupun kebanyakan barangan lain hangus terbakar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan bilik asrama yang menempatkan 60 pelajar lelaki musnah dijilat api dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi dipercayai bermula dari sebuah stor pusat pengajian agama itu.

Kebakaran itu memusnahkan 70 peratus bangunan ter­sebut namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tambah Mohd. Sharif, pihaknya memerlu­kan sumbangan bagi menampung kos pembinaan semula bangunan itu kerana bangunan yang dibina sejak tahun 1980-an itu perlu dirobohkan atas faktor keselamatan selepas kejadian kebakaran tersebut.

“Ketika ini, pelajar ditempatkan sementara di dewan serbaguna dan surau maahad sebagai tempat tinggal manakala selebihnya dipindahkan ke bilik asrama yang selamat untuk di­duduki,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulur bantuan boleh menghubungi Mohd. Sharif di talian 012-352 4420


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz42ORqOAuP

No comments:

Post a Comment