Sunday, March 27, 2016

Ajal lepas solat Maghrib



Kota Kinabalu: Beberapa jemaah yang menunggu waktu solat Isyak di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, kelmarin, gempar apabila seorang warga emas tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia.

Dalam kejadian jam 7.05 petang, Maharof Thaufeck, 67, disahkan meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas lalu rebah dan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, mangsa yang juga pesara kerajaan baru selesai menunaikan solat Maghrib dan sedang berehat sambil menunggu waktu Isyak di masjid berkenaan.
Menurut sumber, mangsa dilihat memegang dadanya dan mengadu sesak nafas sebelum rebah.
“Kejadian itu turut disedari beberapa jemaah lain yang kemudian bergegas menghampiri mangsa untuk menghulurkan bantuan,” kata sumber itu.
Sumber berkata, bilal masjid berkenaan berusia 45 tahun kemudian segera menghubungi ambulans apabila mendapati mangsa tidak sedarkan diri.
“Pasukan perubatan yang tiba kemudian membantu dengan memberi bantuan pernafasan, namun tidak berjaya.
“Mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati, mangsa menghidap penyakit darah tinggi selain memiliki rekod kesihatan berkaitan kesukaran bernafas.
“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pilajau, Beaufort, jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

-Metro

No comments:

Post a Comment