TEHERAN 1 April – Seorang budak lelaki Iran yang baru berusia tiga tahun berjaya meraih perhatian pengguna Internet selepas aksinya melakukan rutin seorang gimnas seperti back flip dan balik kuang menjadi tular di media sosial.
Mail Online melaporkan, kebolehan Arat Hosseini melakukan rutin itu termasuk memanjat dinding setinggi tiga meter di rumahnya dengan tangan kosong membuatkan dia digelar sebagai Spider Boy.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di akaun Instagram Arat, kanak-kanak itu dirakam memanjat dinding tembok di dalam bilik rumah mereka sambil diperhatikan bapanya.
Kedua-dua ibu bapa Arat, Mohamad dan Fatemeh yang tinggal di Babol di wilayah Mazandaran, Iran berkata, anak lelaki mereka tidak pernah mendapatkan latihan secara profesional sebaliknya hanya berlatih dalam tempoh 10 hingga 20 minit di rumah mereka.
Mohamad berkata, dia hanya menyedari kebolehan luar biasa anaknya semasa membelai Arat yang sedang tidur sejurus pulang dari bekerja.
“Saya mendapati kekuatan dan kuasa luar biasa Arat semasa dia menggenggam tangan saya sejurus dia bangun dari tidur.
“Kini, dia menggemari rutin balik kuang dan akan berlatih selama 20 minit sehari,” katanya.
Sementara itu, Mohamad memberitahu, Arat mula menjalani latihan gimnastik sejak berumur sembilan bulan di rumah mereka.
Kini, kanak-kanak itu mempunyai sebanyak 25,000 pengikut di Instagram dengan kesemua video berkenaan merakamkan aksi kanak-kanak terbabit akan melakukan rutin gimnastik sejak dari awal klip berkenaan.
“Arat seorang insan yang luar biasa dan di dalam bidang sukan, dia akan berjaya dalam bidang itu,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-luar-biasa-di-iran-tarik-minat-ramai-1.464535#ixzz4d93PumkX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment