Bandung: Seorang wanita kini ditahan polis di sini selepas dia didakwa membuang anaknya berusia 16 bulan ke dalam sungai.
Perbuatan wanita itu, Fitriani, terbongkar selepas mayat anaknya, Fazar Sulaiman ditemui di Sungai Singaparaya di daerah Banjaran kelmarin.
Jurucakap polis tempatan, Susi Rachmi semalam mengesahkan penahanan Fitriani.
“Kami menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi oleh seorang penduduk. Selepas disiasat, kami mengesahkan bayi berkenaan anak Fitriani.
“Dia mulanya tidak mengaku membuang bayi berkenaan, sebaliknya mendakwa anaknya terjatuh ketika berjalan di tepi sungai itu,” kata Susi.
Bagaimanapun, Susi berkata, pihaknya tidak mempercayainya kerana tidak mungkin bayi sekecil itu boleh berjalan bersendirian di tepi sungai itu, tambahan pula Fitriani tidak menunjukkan rasa sedih.
Selepas disoal siasat, wanita itu akhirnya mengaku melakukan kekejaman itu kerana menghadapi masalah kewangan.
“Dia mendakwa bertindak demikian kerana kesempitan hidup.
“Dia kehabisan wang selepas suaminya hanya memberinya Rp50,000 (RM17) untuk dibelanjakan selama seminggu minggu lalu,” kata Susi. - Agensi/Metro
No comments:
Post a Comment