Mexico City: Mayat seorang lelaki yang didakwa dicampakkan dari kapal terbang ditemui di atas bumbung hospital di Sinaloa, utara Mexico, lapor pegawai perkhidmatan kesihatan di wilayah yang terkenal sebagai pusat pengedaran dadah.
Mayat itu jatuh ke atas bumbung sebuah hospital di bandar Eldorado sekitar jam 7.30 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu kata pegawai itu yang identitinya tidak didedahkan.
Katanya, saksi yang berada di luar pusat kesihatan itu melaporkan melihat pesawat terbang rendah sebelum seseorang dicampakkan keluar.
Pada petang sama, Penolong Pendakwa Raya Sinaloa Jesus Martin Robles berkata, satu mayat ditemui di atas bumbung hospital yang menunjukkan kecederaan akibat hentaman kuat. Dia bagaimanapun tidak mengesahkan mangsa dicampakkan dari kapal terbang.
Sementara itu, pegawai kesihatan berkata, dua lagi mayat ditemui di bandar itu dengan media tempatan melaporkan ia juga dicampakkan dari pesawat sama, tetapi diambil beberapa orang disyaki anggota kumpulan samseng tempatan.
Pegawai kesihatan berkenaan tidak tahu sama ada mangsa pertama masih hidup ketika dicampakkan dari kapal terbang itu.
“Ini kawasan pertanian dan pesawat kerap digunakan untuk pewasapan,” katanya
-Metro
No comments:
Post a Comment