Monday, August 28, 2017

'Bunuh si bodoh'


 

Manila:Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberitahu polis semalam mereka boleh membunuh ‘orang bodoh’ yang melawan ketika ditangkap, hanya dua hari selepas ratusan orang menjadikan pengebumian seorang remaja yang dibunuh kepada bantahan berhubung perang mautnya terhadap dadah.
Menurut seorang pegawai, Duterte bertemu ibu bapa Kian Loyd delos Santos, 17, di istana presiden di Manila semalam. Namun, butiran lanjut mengenai perjumpaan itu tidak diketahui.
Terdahulu, Duterte memberi komen spontan terhadap Jovie Espenido, ketua polis di sebuah bandar di selatan tempat seorang datuk bandar dibunuh dalam serbuan antidadah.
“Kewajipan anda memerlukan anda mengatasi orang yang mahu ditangkap...jika mereka melawan dan melakukan kekerasan, anda bebas membunuh si bodoh itu dan itu adalah arahan saya,” katanya.
Dia menambah, ‘pembunuhan, homisid dan pembunuhan di luar proses undang-undang’ dilarang sama sekali dan polis perlu menegakkan kedaulatan undang-undang sepanjang menjalankan tugas.
Duterte melancarkan perang antidadah selepas memegang jawatan presiden pada Jun tahun lalu susulan kempen pilihan raya yang menyaksikan dia bersumpah menggunakan kuasa untuk menghapuskan jenayah dan dadah.
Beribu-ribu orang dibunuh sejak itu dan keganasan perang dadah itu turut dikritik masyarakat antarabangsa.
Rakyatnya sebelum ini tidak lantang menentang kempen berkenaan, tetapi pembunuhan delos Santos oleh polis antidadah pada 16 Ogos lalu mencetuskan kemarahan orang ramai.
Lebih 1,000 orang termasuk rahib, paderi dan ratusan kanak-kanak menyertai perarakan pengebumiannya pada Sabtu lalu, yang kemudian bertukar menjadi tunjuk perasaan terbesar sepanjang kempen antidadah Duterte.
Delos Santos dilaporkan diheret polis berpakaian preman ke lorong gelap di utara Manila sebelum dia ditembak di kepala dan ditinggalkan berhampiran kandang babi, menurut saksi yang dakwaannya itu disokong rakaman kamera litar tertutup.
Menurut polis, mereka hanya mempertahankan diri selepas delos Santos melepaskan tembakan ke arah mereka, sementara jurucakap Duterte dan menteri keadilan menyifatkan pembunuhan itu sebagai kes ‘terpencil.’

-Metro

Sunday, August 27, 2017

Bayi lelaki ditemukan dalam semak

SEORANG bayi lelaki ditemukan di dalam semak di tepi jalan berdekatan
SEORANG bayi lelaki ditemukan di dalam semak di tepi jalan berdekatan kuarters kerajaan Desa Kenanga Muadzam Shah dekat Rompin, Pahang, malam semalam. IHSAN POLIS

KUANTAN 27 Ogos – 
Ditinggalkan tanpa pakaian dalam bungkusan plastik bersama uri yang membusuk. Itulah nasib malang seorang bayi lelaki yang ditemukan dalam semak di tepi jalan berdekatan kuarters kerajaan Desa Kenanga Muadzam Shah, Rompin dekat sini malam semalam.
Bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemukan seorang peniaga, Mohd.Safarin Mohd. Shahir yang pada awalnya menyangkakan bungkusan plastik berkenaan berisi kucing.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, bayi seberat 2.6 kilogram itu ditemukan dalam keadaan sihat oleh lelaki tersebut ketika melalui jalan berkenaan kira-kira pukul 10 malam.
“Lelaki tersebut memaklumkan dia dalam perjalanan dari kedai di Desa Kenanga dan menuju pulang ke Desa Tanjung sebelum ditahan seorang lelaki warga Pakistan yang memberitahu dia menemukan sesuatu di dalam semak.
“Lelaki tersebut membuat pemeriksaan dan mendapati bayi itu masih hidup lalu menghubungi Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

-Utusan

Thursday, August 24, 2017

Trump arah pecat semua mak nyah tentera AS


Presiden Donald Trump memberi tempoh enam bulan kepada Pentagon untuk memecat ribuan mak nyah yang kini berkhidmat dalam perkhidmatan tentera Amerika Syarikat (AS)
Arahan itu dikeluarkan sebulan selepas beliau mengumumkan pengharaman golongan itu dalam tentera AS melalui akaun Twitter.
Melalui memo sepanjang dua setengah muka, beliau mahu Setiausaha Pertahanan Jim Mattis mempertimbangkan sama ada pegawai dan anggota terbabit boleh dihantar bertugas ke mana-mana termasuk zon perang sebelum memecat mereka.
Itu bermakna sekiranya mereka tidak berupaya ke zon perang, menjalani latihan atau berkhidmat di atas kapal berbulan-bulan maka anggota itu mesti berundur dari perkhidmatan, lapor Wall Street Journal.
Tidak dinyatakan secara jelas kriteria yang dikehendaki tetapi pentadbiran Trump tidak dapat menerima mak nyah adalah golongan yang berupaya melaksanakan tugas yang dikehendaki.

Bekas Presiden Barack Obama tidak menghalang mak nyah menabur bakti dalam tentera AS.
Polisi baru yang digariskan kepada Pentagon ialah memecat golongan itu, tiada pengambilan rekrut baharu selain menghentikan pembayaran sebarang rawatan perubatan.
Berikutan itu, kumpulan-kumpulan mak nyah mengkritik keputusan terbaharu berkenaan samil menegaskan bahawa mereka berhak berkhidmat dan berupaya melaksanakan tugas seperti orang lain.
“Mak nyah boleh ditugaskan ke mana-mana seperti anggota lain,” kata bekas Presiden Sparta Sue Fulton.
Sparta ialah pertubuhan dalam tentera untuk golongan LGBT
Dianggarkan seramai 1,320 hingga 6,000 mak nyah sedang berkhidmat dalam tentera AS manakala ada yang menyatakan jumlah itu mencecah sehingga 11,000 orang.

-Metro

Wednesday, August 23, 2017

'Talak aniaya wanita'


New Delhi: Mahkamah Agung India semalam memutuskan perceraian oleh lelaki Muslim yang menjatuhkan talak tiga secara sekaligus sebagai melanggar perlembagaan, seterusnya memberi kemenangan kepada wanita Muslim yang sudah lama mendakwa amalan itu diskriminasi terhadap mereka.
Amalan itu melihat lelaki Muslim di negara berkenaan menceraikan isteri mereka dengan menyebut talak sebanyak tiga kali - termasuk melalui Skype serta Whatsapp - yang sering digunakan untuk menganiaya wanita selepas harta mereka dirampas suami dan keluarga mentua.
Susulan penghakiman itu, kerajaan kini perlu merangka undang-undang perceraian baru, sekali gus menghapuskan amalan talak tiga sekaligus itu dengan menjadikannya haram di sisi undang-undang.
Salah seorang plaintif kes itu, Shayara Bano yang mengalami nasib seperti itu menyuarakan rasa lega dengan keputusan mahkamah tertinggi India itu.
“Akhirnya, saya rasa lega. Perintah ini akan mempertahankan hak ramai wanita Muslim di negara ini,” katanya.
Kes itu didengar panel lima hakim dari kepercayaan agama berbeza - Hindu, Kristian, Islam, Sikh dan Zoroastrianisme (antara agama monoteistik tertua di dunia).
Tiga daripada lima hakim terbabit memutuskan amalan itu melanggar perlembagaan.
Susulan itu, ketua hakim negara mengumumkan penggantungan amalan berkenaan dan meminta kerajaan membuat undang-undang baru dalam tempoh enam bulan.
Amalan talak tiga sekaligus itu turut diharamkan di beberapa negara Islam termasuk Pakistan dan Arab Saudi.
Bantahan terhadap undang-undang itu mendapat sokongan Perdana Menteri Narendra Modi dan parti nasionalis Hindunya, yang mahu ia dibatalkan.
Bagaimanapun, sebilangan kumpulan Muslim menganggap kerajaan tiada hak mencampuri isu berkaitan agama Islam.
Penganut Islam membentuk kira-kira 14 peratus daripada 1.3 bilion penduduk India.
Kaum wanita Muslim sudah beberapa dekad berusaha menghapuskan amalan itu, namun cuma tahun lalu benar-benar mendapat sokongan kuat selepas Modi menyatakan simpati dan sokongan terbuka terhadap Shayara apabila menyelarnya sebagai penghinaan dan diskriminasi terhadap wanita.
Keputusan semalam sekali gus merangsang parti pemerintahan Modi untuk berusaha menyeragamkan undang-undang sivil di negara itu, yang akan menamatkan penerapan undang-undang keagamaan bagi isu sivil.
“Mahkamah Agung mempunyai hak untuk campur tangan dalam masalah peribadi dan sudahpun berbuat demikian,” kata Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Maneka Gandhi.
India membenarkan institusi keagamaan mentadbir masalah berkait undang-undang peribadi seperti perkahwinan, perceraian serta harta pusaka menerusi kod sivil yang direka untuk melindungi kebebasan masyarakat beragama.

-Metro

Monday, August 21, 2017

Rezeki si miskin naik haji

Istanbul: Kisah seorang lelaki miskin di Ghana yang mendapat ‘rezeki terpijak’ menunaikan haji menjadi tular di media sosial Turki, selepas dia dirakam bertanya sama ada dron yang jatuh di depan rumahnya boleh membawanya ke Makkah.
Al-Hassan Abdullah dilapor menunaikan haji dengan bantuan kementerian luar dan badan kebajikan Turki selepas tiba di Istanbul, Jumaat lalu.
Menurut laporan, Abdullah menemui dron berkamera di kampungnya dan ketika menyerahkannya kepada krew penggambaran Turki yang memilikinya, dikatakan bertanya sama ada mereka mempunyai peralatan seumpamanya yang lebih besar untuk menerbangkannya ke Arab Saudi.
Perbualan itu menjadi tular hingga dilaporkan sampai ke pengetahuan Menteri Luar Mevlüt Çavuşoğ lu yang terus membantu membuat persediaan untuk Abdullah menunaikan haji.
Abdullah dipetik memberitahu Agensi Anadolu: “Saya sangat bersyukur dengan rezeki Tuhan ini dan berdoa untuk semua yang membantu saya mencapai impian ini.
“Bantuan ini terlalu bermakna untuk saya. Saya percaya ia sesuatu yang mampu memperbaiki persahabatan dan persaudaraan sesama Muslim.”
Sementara itu, Cihad Gökdemir, penolong pengurus badan kebajikan yang menyambut Abdullah di lapangan terbang di Istanbul berkata, kisah lelaki itu tersebar selepas kakitangan TRT World memuat naik gambarnya di Twitter.
“Orang ramai termasuk ahli perniagaan dan syarikat swasta mula bertanya mengenainya kerana mahu membantunya mencapai impian itu.
“Akhirnya dia berjaya dikesan anggota polis Turki yang bertugas di Ghana,” katanya.

-Metro

Sunday, August 20, 2017

Rakam gambar gaya 'mati' untuk lawan swafoto



London: Seorang wanita yang bosan dengan kegilaan orang ramai merakam gambar swafoto mencipta satu gaya bergambar yang luar biasa.
Stephanie Leigh Rose mencipta cara bergambar yang dikenali sebagai ‘stefdies’ yang didakwanya bertentangan dengan swafoto.
Wanita itu yang juga seorang artis akan berlakon seperti orang mati di beberapa lokasi popular di seluruh dunia yang dilawatinya.
Stephanie berbaring dengan muka ke bawah berpura-pura seperti orang mati selama beberapa saat sementara seorang rakan merakamkan gambarnya.
Gambar itu yang dimuat naik di laman Instagram menunjukkan Stephanie berpura-pura mati di beberapa lokasi ikonik termasuklah Menara Eiffel dan Muzium Louvre di Paris serta di Jambatan Golden State di San Francisco.
“Gambar ini bertujuan mencetuskan perbincangan mengenai kematian dan fungsi fotografi serta cara ia memusing imaginasi.
“Tiada persediaan ketika gambar ini dirakamkan dan imej ini merakamkan momen ketika ia berlaku,” kata Stephanie dalam blog miliknya.
Stephanie memberitahu dia terpaksa berlakon seolah-olah benar-benar mati ketika merakamkan gambar itu termasuk ketika berbaring di dalam tandas.
“Baju saya habis kotor dan mulut saya hampir terkena air kencing ketika berbaring di sebuah tandas awam di San Francisco.
“Banyak baju saya kotor kerana berbaring di lokasi yang kotor tetapi atas nama seni, saya tidak menghiraukan perkara itu,” jelasnya.

-Metro

Thursday, August 17, 2017

Anak tulis diari telah dirogol...

Rogol

KAJANG - Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila diratah oleh teman lelaki ibunya sejak April lalu.
Suspek berusia 40 tahun dikatakan telah merogol mangsa kali pertama ketika ibu mangsa pergi ke China pada bulan April atas urusan perniagaan.
Dikatakan, ibu mangsa telah mengenali suspek selama lima tahun dan tinggal bersama di rumahnya di Kajang Perdana. Atas dasar rasa percaya, mangsa akan tinggal bersama suspek apabila ibunya tiada di rumah.
Kerakusan suspek yang juga seorang pengurus syarikat dilakukannya kali terakhir pada bulan Julai lalu.
Selain itu, difahamkan lebih teruk lagi, suspek pernah melalukan perbuatan terkutuk itu semasa ibu mangsa sedang berniaga di kedai yang berada di tingkat bawah manakala mangsa dan saspek berada di rumah di tingkat atas rumah kedai.
Peristiwa hitam yang berlaku di sebuah rumah kedai itu akhirnya terbongkar selepas ibu mangsa terbaca diari milik anaknya itu pada 9 Ogos lalu yang menceritakan kejadian yang berlaku.
Tersentak dengan dakwaan itu, ibu mangsa telah bertanyakan perkara sebenar kepada anaknya dan suspek dan akhirnya mengakui kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, satu laporan polis telah dibuat dan bertindak atas maklumat, suspek telah ditahan di Jalan Semenyih, kira-kira jam 11 malam, Isnin lalu.
"Suspek kini direman enam hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat,” katanya.

-Sinar

Wednesday, August 16, 2017

Dera budak autisme


Beijing: Polis menyiasat dakwaan mengatakan kanak-kanak yang mempunyai autisme dianiaya guru mereka di sebuah pusat pembelajaran khas di bandar ini.
Kejadian itu dilaporkan minggu lalu selepas rakaman video tersebar di media sosial menunjukkan guru dari Pusat Pendidikan Senxi di daerah Changping, mendera kanak-kanak dalam jagaan mereka, lapor The Beijing News.
Rakaman selama dua minit setengah itu dipercayai diambil menerusi kamera litar tertutup di dalam pusat berkenaan.
Dalam satu rakaman menunjukkan seorang guru mengheret seorang kanak-kanak dalam sebuah bilik dengan mengikat tali di pergelangan tangannya sementara seorang lagi budak lelaki dipaksa melakukan duduk tubi manakala gurunya dilihat bersembang dengan rakan sekerjanya.
Seorang lagi kanak-kanak dilihat tangannya diikat ke belakang sementara gurunya meregangkan dan memintal tubuhnya.
Sumber yang enggan dinamakan berkata, dua guru berkenaan sudah dipecat dan pusat pembelajaran itu akan bekerjasama dengan polis.
Pusat itu yang didakwa beroperasi sebagai pusat latihan dan penyelidikan khusus untuk kanak-kanak autistik berusia dua hingga enam tahun ditutup sementara menunggu siasatan lanjut, kata laporan itu.
Menurut seorang jurucakap, pusat itu mempunyai 42 kanak-kanak tetapi 10 daripada mereka sudah berhenti selepas rakaman video itu tersebar.
Bapa seorang kanak-kanak di pusat itu yang dikenali sebagai Zhang berkata, dia memutuskan untuk mengeluarkan anaknya dari sekolah itu selepas melihat kaedah pelik digunakan mereka.
Dia membayar yuran 9,400 yuan (RM6,000) sebulan.
Video pertama muncul Sabtu lalu menerusi laman web microblogging negara itu, Weibo.
Seorang pengguna Weibo dari Shanghai berkata: “Jangan sakiti kanak-kanak itu, mereka perlu dilayan dengan penuh kesabaran!”
Seorang lagi pengguna dari wilayah Jiangsu berkata: “Perlu ada peraturan pendidikan khusus untuk memastikan pelatih dalam bidang ini layak.”

-Metro

Monday, August 14, 2017

Kaki reput 'sambut jiran baru'



New Jersey: Sebuah keluarga di sini yang kematian orang yang mereka sayang bertambah sedih apabila melihat satu kaki reput terjulur keluar di dalam kubur si mati ketika majlis pengebumiannya kelmarin.
Sandra Butler berada di tanah perkuburan Mount Holiness untuk mengebumikan bapanya, Cleveland Butler, 85, apabila dia dan keluarganya yang lain melihat kaki reput itu dari kubur sebelah terjulur keluar di atas keranda bapanya.
Seorang anggota keluarga sempat merakam gambar kejadian menggerunkan itu yang menunjukkan kaki berkenaan dengan plastik dan kain yang sudah reput membalutnya.
“Ia sungguh menyayat hati. Mulanya, bapa saya meninggal dunia dan kemudian, melihat kaki reput di atas kerandanya,” kata Sandra kepada akhbar New York Daily News.
Bagaimanapun, keluarga itu lebih terkejut apabila pekerja tanah perkuburan itu tidak mempedulikan apa yang berlaku, sebaliknya terus menimbus kubur bapa Sandra.
“Tidak ada siapa yang memberitahu apa-apa kepada kami. Ia seolah-olah perkara biasa,” katanya.
Adik Sandra, Alonzo berkata, dia begitu marah kerana pekerja berkenaan tidak cuba menyiasat kaki itu dan keluarga itu berkata, mereka merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, pemilik tanah perkuburan itu, James Shmergel dan penjaganya, Bill Plog berkata, kejadian seumpama itu biasa berlaku di tanah perkuburan.
“Kubur itu sudah lama dan perkara seperti itu memang biasa berlaku di tanah perkuburan,” kata Plog. 

- Agensi/Metro

Thursday, August 10, 2017

Bapa didakwa lagi liwat anak 444 kali

PUTRAJAYA 10 Ogos - Seorang ejen unit amanah mengaku tidak bersalah selepas didakwa lagi hari ini atas 444 tuduhan meliwat anak kandungnya yang berusia 15 tahun sebanyak tiga kali sehari secara berterusan selama tujuh bulan termasuk pada bulan Ramadan lalu.
SEORANG bapa yang menghadapi 626 pertuduhan jenayah  seksual.
Semalam, lelaki berusia 36 tahun itu (namanya dirahsiakan oleh mahkamah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak atas 150 tuduhan meliwat anak perempuan sulungnya itu menjadikan kesemuanya berjumlah 594 tuduhan bagi kesalahan itu sahaja.
Hakim Yong Zarida Sazali me­larang tertuduh dibebaskan de­ngan jaminan serta menetapkan 
kes itu disebut pada 18 September ini bagi membolehkan laporan perubatan dan laporan kimia disediakan.
Ketika didakwa semalam, bapa kepada tiga anak perem­puan itu turut menghadapi satu tuduhan merogol, satu tuduhan penganiayaan seks dan 30 tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 626 tuduhan.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika dihubungi mengesahkan, tertuduh merupakan individu pertama di negara ini yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual yang dilakukan secara berulang-ulang.
Kejadian didakwa berlaku di antara bulan Januari dan Julai tahun ini sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam di rumah mereka di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini.
Menurut pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, ­S. Umma, tertuduh didakwa meliwat anak kandungnya setiap hari sepanjang bulan Januari, Februari, Mac, April dan Jun (termasuk ketika sambutan hari raya pada 25 Jun lalu).
Pada bulan Mei, dia didakwa meliwat mangsa setiap hari kecuali dua hari sebelum bulan Ramadan (25 dan 26 Mei) dan pada hari pertama menunaikan ibadah puasa (27 Mei).
Lelaki berkenaan turut dituduh melakukan perbuatan itu setiap hari bermula 1 Julai hingga 20 Julai lalu sebelum laporan polis dibuat oleh bekas isteri tertuduh pada 25 Julai lalu.
Prosiding pendakwaan bermula pada pukul 9.15 pagi dan ditangguhkan sebentar seba­nyak dua kali bagi membolehkan kertas pertuduhan dikemukakan dengan lancar sebelum berakhir kira-kira pukul 11.55 pagi.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin memohon agar tertuduh tidak dibebaskan dengan jaminan kerana pertuduhan yang dihadapinya adalah dilarang jamin dan jika dibenarkan, tertuduh dikhuatiri akan melarikan diri dan tidak hadir pada perbicaraan selain mengganggu saksi-saksi pendakwaan termasuk mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dibebaskan dengan jaminan yang rendah.
Dia yang menyatakan penga­kuan tidak bersalah dari kandang tertuduh dalam keadaan bergari, kelihatan tenang sepanjang pro­siding itu.
Akhbar melaporkan, dia di­dak­wa melakukan perbuatan terkutuk itu selepas mangsa yang kini berusia 15 tahun tinggal bersamanya ekoran perceraian de­ngan isteri.
Dia ditahan polis selepas mang­sa dipercayai mendedahkan nasib malang menimpanya kepada ibu kandung setelah mengetahui bapanya itu berhasrat mengambil dua adiknya berusia sembilan dan 11 tahun (yang ketika itu tinggal dengan ibunya) untuk tinggal bersama mereka.



-Utusan 

Tuesday, August 8, 2017

Ditetak isteri akibat mahu poligami

Ditetak poligami

KUALA KRAI 8 Ogos - Seorang isteri yang berang mendengar suaminya mahu berpoligami bertindak menetak kepala lelaki itu dengan sebilah pisau pemotong sayur di rumah mereka di Kampung Manek Urai Lama, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, mangsa berusia 55 tahun cedera dan menerima 15 jahitan di bahagian kepala, dahi dan lengan kanan.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, si isteri bertindak menetak suaminya ketika lelaki itu sedang berbaring.
“Sebelum itu, si suami dikatakan menyuarakan hasrat mahu berkahwin lagi menyebabkan wanita berusia 56 tahun itu naik angin dan menetak mangsa.
Advertisement
“Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak setakat ini. Difahamkan, pasangan tersebut sudah berbaik semula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. -



-Utusan

Monday, August 7, 2017

Gajah Pygmy betina mati ditembak



KOTA KINABALU – Seekor gajah Pygmy Borneo atau dikenali sebagai gajah kerdil me­nemui ajal dalam keadaan menyayat hati dengan beberapa kesan tembakan disyaki dilakukan oleh pemburu haram berhampiran Hutan Simpan Ulu-Segama di Kinabatangan semalam.
Gajah betina dianggarkan berusia 10 tahun itu terlebih dulu ditemui dalam keadaan masih hidup oleh sekumpulan pekerja ladang kira-kira pukul 7 pagi pada Jumaat lalu, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Sekumpulan pegawai dari pasukan veterina Unit Perlindungan Hidupan Liar (WRU) kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian, namun gagal menyelamatkan haiwan tersebut.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, pegawai­nya bersama doktor haiwan telah dihantar ke lokasi untuk menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca sebenar kematian gajah tersebut.
“Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada gajah Pygmy Borneo itu mati tertembak atau ditembak
de­ngan sengaja oleh pemburu haram.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal telah menemui tiga kesan tembakan pada kepala, perut dan pinggang,” katanya di sini semalam.


-Kosmo

Sunday, August 6, 2017

Budak perempuan maut minum air mendidih


Florida (Amerika Syarikat): Seorang budak perempuan meninggal dunia akibat kecederaan dialami selepas minum air mendidih menggunakan straw kerana dicabar sepupunya.
Ki’ari Pope, lapan, mengadu tidak dapat bernafas beberapa hari lalu sebelum tiba-tiba pengsan. Dia dikejarkan ke hospital tetapi malangnya tidak dapat diselamatkan.
Ibu mangsa, Marquisia Bonner berkata, anaknya itu dicabar minum air mendidih menggunakan straw oleh sepupu yang seusianya pada Mac lalu selepas mereka melihat perlakuan seperti itu dalam YouTube.
Akibat kecederaan dialami selepas berbuat demikian, Ki’ari terpaksa menjalani trakeotomi yang menyebabkannya pekak dan mengalami masalah pernafasan kronik.
Bagaimanapun, Jabatan Kanak-kanak dan Keluarga Florida dalam satu kenyatana berkata, kanak-kanak itu juga menunjukkan tanda-tanda didera.
Susulan itu, pihak berkuasa kini menyiasat kejadian Mac lalu terbabit selain sembilan yang lain membabitkan kes dipercayai penderaan atau pengabaian terhadap mangsa.
Setiausaha jabatan, Mike Carroll berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan untuk meneliti sepenuhnya kematian mangsa.

-Metro

Thursday, August 3, 2017

'Kak Qis' sudah menyesal

Kuala Lumpur: “Sehingga sekarang penyesalan menghantui saya, kenapa saya tidak tukar pakaian lelaki, solat jenazah dan membantu jenazah arwah ibu diturunkan ke liang lahad.
“Saya seorang anak lelaki tetapi saya tidak membantu arwah ibu di hujung hayatnya, sehingga sekarang saya menyesal hanya disebabkan ego dan ghairah mahu menjadi pondan,” kata Jefferi Mohd Nor, 52.
Dia yang dulunya dikenali sebagai Kak Qis, seorang pondan cukup terkenal apabila melakukan pembedahan plastik dan menyuntik silikon di bahagian payudara, hidung, mata, lesung pipit, tulang pipi dan bibir demi mengejar kehidupan masyhur sebagai seorang wanita.
Bagaimanapun di hujung usianya, dia memlilih jalan taubat dan kembali kepada fitrah sebagai seorang lelaki, tahun lalu.
Dia kini berulang-alik ke Thailand untuk membuang silikon yang diletakkan di beberapa bahagian badannya.
Jefferi yang dulunya seorang guru berkata, arwah ibunya meninggal dunia pada September 2009 akibat gastrik pecah.
“Arwah ibu adalah kawan baik saya, apa-apa saya lakukan dia sokong kecuali ketika membuat keputusan mahu menjadi wanita.
“Walaupun saya sudah menjadi ‘anak perempuan’ kepada ibu, dia tetap tidak membuang saya dan berdepan pelbagai tohmahan orang ramai, begitu besar jasa arwah ibu terhadap saya,” katanya.
Menurutnya, ketika ibunya meninggal dunia dia tetap memilih pakaian wanita dengan berjubah, tetapi tidak memakai tudung.
“Saya hanya melihat orang ramai solat jenazah dan menurunkan arwah ke liang lahad sedangkan itu adalah tanggungjawab saya sebagai anak lelaki, kesalan ini menghantui hidup saya sehingga sekarang, jika boleh diputar kembali waktu akan saya gunakan sebaiknya membantu arwah hingga ke hujung hayatnya.
“Arwah ibu tidak suka saya menjadi pondan, tetapi dia tidak pernah membuang saya sebagai seorang anak, dia berdepan caci maki tohmahan orang ramai dan tetap mempertahankan saya walaupun sudah menconteng arang ke wajahnya,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.
Katanya, dulunya dia pernah berhasrat untuk berhijrah ke England bagi melangsungkan perkahwinan sesama jenis dengan teman lelakinya yang juga Mat Salih.
“Namun, takdir Allah SWT, sebelum saya sempat berangkat ibu ditakdirkan jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi.
“Saya kemudian fokus untuk menjaga ibu dan meninggalkan teman lelaki saya serta melupakan hasrat berkahwin di sana, mungkin Allah masih sayangkan saya dengan menghalang perjalanan itu, jika tidak pasti saya sudah murtad di sana, nauzubillah,” katanya.
Menceritakan bagaimana dia boleh terjebak dalam dunia pondan, Jefferi berkata, nalurinya untuk menjadi pondan timbul selepas memasuki maktab perguruan.
“Selepas bergelar guru, saya ke sekolah memakai pakaian lelaki, sebelah malam bertukar wanita pula dan seronok dengan kehidupan begitu.
“Saya kemudian berhenti menjadi guru dan fokus kepada perniagaan, ketika itu saya memiliki segalanya seperti rumah, kereta mewah, kecantikan dan ada tiga anak angkat bersama saya. Kehidupan saya cukup lengkap, tetapi jiwa saya tetap kosong,” katanya.
Menurutnya, kuasa Allah tiada siapa yang tahu, Allah datangkan seorang lelaki bukan Islam kononnya untuk menilik nasibnya tahun lalu.
“Saya berkeras tidak mahu, namun lelaki itu tetap mahu menilik dengan hanya melihat raut wajah saya, apa yang diperkatakan lelaki ini sangat menjerut tangkai hati saya.
“Dia kata saya ada semua tetapi tidak bahagia kerana saya tidak solat lima waktu, memang betul sangkaan dia, kerana sudah berpuluh tahun saya tidak sujud pada Allah,” katanya.
Katanya, bertitik tolak daripada situ, dia mula solat tetapi memakai pakaian wanita.
“Saya mula solat tetapi tetap ego dengan memakai pakaian wanita, bukan memakai telekung, tetapi berbaju kurung atau jubah tanpa menutup kepala.
“Setiap kali orang datang ke premis perniagaan saya, mereka terkejut melihat saya solat dan wujud perasaan kasihan terhadap saya,” katanya.
Menurutnya, sehinggalah dia mula terfikir sampai bila dia harus menjadi wanita, walaupun solat dia tetap tidak tenang hati.
“Sehinggalah saya membuat keputusan untuk kembali kepada fitrah lelaki, saya mula buang implan payudara, hidung dan sebagainya.
“Saya jual semua barangan kemas dan membuang semua pakaian wanita. Saya mula memakai pakaian lelaki dan Alhamdulillah perubahan ini baru setahun. Apa yang saya paling gembira, saya juga dapat solat Jumaat yang ditinggalkan hampir 50 tahun,” katanya.
Dia yang juga pengasas produk kesihatan dan kecantikan SB Superbeauty berkata, dia kini tidak lagi berahi melihat lelaki dan tiada lagi pandangan dua tiga kali terhadap kaum sejenisnya.
Jefferi turut menitipkan pesanan buat pondan di luar sana supaya bertaubat segera dan mendapatkan rawatan dengan mengambil suntikan hormon lelaki di klinik.
“Kini saya mendapatkan suntikan itu di sebuah klinik di Kluang, Johor. Hanya RM30 satu suntikan yang perlu diambil sebulan sekali.
“Berubahlah wahai semua pondan, kehidupan ini hanya sementara, jangan jadi seperti saya, sudah di penghujung usia baru ketukan untuk bertaubat,” katanya.
-Metro

Wednesday, August 2, 2017

Tiga lelaki Britain dituduh rogol wanita Malaysia

SINGAPURA – Tiga lelaki Britain dibicarakan di Singapura semalam kerana didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun semasa berada di pulau berkenaan untuk menyertai parti bujang.
Khong Tam Thanh, 22, Le Michael, 24, dan Vu Thai Son, 24, berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan sekiranya didapati bersalah memperkosa wanita Malaysia itu ketika mangsa mabuk dan tidak sedarkan diri selepas berseronok pada lewat malam.
Ketiga-tiga warganegara Britain berketurunan Vietnam itu menafikan tuduhan terbabit.
Dalam hujah pembukaan, pihak pendakwa raya berkata, defendan berada di Singapura pada September lalu untuk menyertai parti bujang dan menghadiri festival muzik elektronik dikenali sebagai Ultra Singapore.
Bakal pengantin lelaki yang merupakan abang kepada Tam Thanh turut serta dalam rombongan tersebut.
Mereka berkenalan dengan mangsa di sebuah kelab malam popular di pulau itu semasa dia sedang berparti bersama seorang rakannya.
Mangsa kemudian bersetuju mengadakan hubungan seks dengan rakan mereka, seorang rakyat Britain berketurunan Vietnam yang dikenali Richard Ahn di bilik hotelnya.
Selepas mereka mengadakan hubungan kelamin, Tam Thanh, Michael dan Thai Son bergilir-gilir masuk ke bilik dan merogol wanita itu ketika dia sedang mabuk,” kata Timbalan Pendakwa Raya, G.Kannan kepada Mahkamah Tinggi Singapura.
Mangsa tinggal di Johor Bahru dan namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identitinya. – AFP/Kosmo