London: Seorang wanita yang bosan dengan kegilaan orang ramai merakam gambar swafoto mencipta satu gaya bergambar yang luar biasa.
Stephanie Leigh Rose mencipta cara bergambar yang dikenali sebagai ‘stefdies’ yang didakwanya bertentangan dengan swafoto.
Wanita itu yang juga seorang artis akan berlakon seperti orang mati di beberapa lokasi popular di seluruh dunia yang dilawatinya.
Stephanie berbaring dengan muka ke bawah berpura-pura seperti orang mati selama beberapa saat sementara seorang rakan merakamkan gambarnya.
Gambar itu yang dimuat naik di laman Instagram menunjukkan Stephanie berpura-pura mati di beberapa lokasi ikonik termasuklah Menara Eiffel dan Muzium Louvre di Paris serta di Jambatan Golden State di San Francisco.
“Gambar ini bertujuan mencetuskan perbincangan mengenai kematian dan fungsi fotografi serta cara ia memusing imaginasi.
“Tiada persediaan ketika gambar ini dirakamkan dan imej ini merakamkan momen ketika ia berlaku,” kata Stephanie dalam blog miliknya.
Stephanie memberitahu dia terpaksa berlakon seolah-olah benar-benar mati ketika merakamkan gambar itu termasuk ketika berbaring di dalam tandas.
“Baju saya habis kotor dan mulut saya hampir terkena air kencing ketika berbaring di sebuah tandas awam di San Francisco.
“Banyak baju saya kotor kerana berbaring di lokasi yang kotor tetapi atas nama seni, saya tidak menghiraukan perkara itu,” jelasnya.
-Metro
No comments:
Post a Comment