Beijing: Polis menyiasat dakwaan mengatakan kanak-kanak yang mempunyai autisme dianiaya guru mereka di sebuah pusat pembelajaran khas di bandar ini.
Kejadian itu dilaporkan minggu lalu selepas rakaman video tersebar di media sosial menunjukkan guru dari Pusat Pendidikan Senxi di daerah Changping, mendera kanak-kanak dalam jagaan mereka, lapor The Beijing News.
Rakaman selama dua minit setengah itu dipercayai diambil menerusi kamera litar tertutup di dalam pusat berkenaan.
Dalam satu rakaman menunjukkan seorang guru mengheret seorang kanak-kanak dalam sebuah bilik dengan mengikat tali di pergelangan tangannya sementara seorang lagi budak lelaki dipaksa melakukan duduk tubi manakala gurunya dilihat bersembang dengan rakan sekerjanya.
Seorang lagi kanak-kanak dilihat tangannya diikat ke belakang sementara gurunya meregangkan dan memintal tubuhnya.
Sumber yang enggan dinamakan berkata, dua guru berkenaan sudah dipecat dan pusat pembelajaran itu akan bekerjasama dengan polis.
Pusat itu yang didakwa beroperasi sebagai pusat latihan dan penyelidikan khusus untuk kanak-kanak autistik berusia dua hingga enam tahun ditutup sementara menunggu siasatan lanjut, kata laporan itu.
Menurut seorang jurucakap, pusat itu mempunyai 42 kanak-kanak tetapi 10 daripada mereka sudah berhenti selepas rakaman video itu tersebar.
Bapa seorang kanak-kanak di pusat itu yang dikenali sebagai Zhang berkata, dia memutuskan untuk mengeluarkan anaknya dari sekolah itu selepas melihat kaedah pelik digunakan mereka.
Dia membayar yuran 9,400 yuan (RM6,000) sebulan.
Video pertama muncul Sabtu lalu menerusi laman web microblogging negara itu, Weibo.
Seorang pengguna Weibo dari Shanghai berkata: “Jangan sakiti kanak-kanak itu, mereka perlu dilayan dengan penuh kesabaran!”
Seorang lagi pengguna dari wilayah Jiangsu berkata: “Perlu ada peraturan pendidikan khusus untuk memastikan pelatih dalam bidang ini layak.”
-Metro
No comments:
Post a Comment