Manila:Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberitahu polis semalam mereka boleh membunuh ‘orang bodoh’ yang melawan ketika ditangkap, hanya dua hari selepas ratusan orang menjadikan pengebumian seorang remaja yang dibunuh kepada bantahan berhubung perang mautnya terhadap dadah.
Menurut seorang pegawai, Duterte bertemu ibu bapa Kian Loyd delos Santos, 17, di istana presiden di Manila semalam. Namun, butiran lanjut mengenai perjumpaan itu tidak diketahui.
Terdahulu, Duterte memberi komen spontan terhadap Jovie Espenido, ketua polis di sebuah bandar di selatan tempat seorang datuk bandar dibunuh dalam serbuan antidadah.
“Kewajipan anda memerlukan anda mengatasi orang yang mahu ditangkap...jika mereka melawan dan melakukan kekerasan, anda bebas membunuh si bodoh itu dan itu adalah arahan saya,” katanya.
Dia menambah, ‘pembunuhan, homisid dan pembunuhan di luar proses undang-undang’ dilarang sama sekali dan polis perlu menegakkan kedaulatan undang-undang sepanjang menjalankan tugas.
Duterte melancarkan perang antidadah selepas memegang jawatan presiden pada Jun tahun lalu susulan kempen pilihan raya yang menyaksikan dia bersumpah menggunakan kuasa untuk menghapuskan jenayah dan dadah.
Beribu-ribu orang dibunuh sejak itu dan keganasan perang dadah itu turut dikritik masyarakat antarabangsa.
Rakyatnya sebelum ini tidak lantang menentang kempen berkenaan, tetapi pembunuhan delos Santos oleh polis antidadah pada 16 Ogos lalu mencetuskan kemarahan orang ramai.
Lebih 1,000 orang termasuk rahib, paderi dan ratusan kanak-kanak menyertai perarakan pengebumiannya pada Sabtu lalu, yang kemudian bertukar menjadi tunjuk perasaan terbesar sepanjang kempen antidadah Duterte.
Delos Santos dilaporkan diheret polis berpakaian preman ke lorong gelap di utara Manila sebelum dia ditembak di kepala dan ditinggalkan berhampiran kandang babi, menurut saksi yang dakwaannya itu disokong rakaman kamera litar tertutup.
Menurut polis, mereka hanya mempertahankan diri selepas delos Santos melepaskan tembakan ke arah mereka, sementara jurucakap Duterte dan menteri keadilan menyifatkan pembunuhan itu sebagai kes ‘terpencil.’
-Metro
No comments:
Post a Comment