Kuala Lumpur: “Sehingga sekarang penyesalan menghantui saya, kenapa saya tidak tukar pakaian lelaki, solat jenazah dan membantu jenazah arwah ibu diturunkan ke liang lahad.
“Saya seorang anak lelaki tetapi saya tidak membantu arwah ibu di hujung hayatnya, sehingga sekarang saya menyesal hanya disebabkan ego dan ghairah mahu menjadi pondan,” kata Jefferi Mohd Nor, 52.
Dia yang dulunya dikenali sebagai Kak Qis, seorang pondan cukup terkenal apabila melakukan pembedahan plastik dan menyuntik silikon di bahagian payudara, hidung, mata, lesung pipit, tulang pipi dan bibir demi mengejar kehidupan masyhur sebagai seorang wanita.
Bagaimanapun di hujung usianya, dia memlilih jalan taubat dan kembali kepada fitrah sebagai seorang lelaki, tahun lalu.
Dia kini berulang-alik ke Thailand untuk membuang silikon yang diletakkan di beberapa bahagian badannya.
Jefferi yang dulunya seorang guru berkata, arwah ibunya meninggal dunia pada September 2009 akibat gastrik pecah.
“Arwah ibu adalah kawan baik saya, apa-apa saya lakukan dia sokong kecuali ketika membuat keputusan mahu menjadi wanita.
“Walaupun saya sudah menjadi ‘anak perempuan’ kepada ibu, dia tetap tidak membuang saya dan berdepan pelbagai tohmahan orang ramai, begitu besar jasa arwah ibu terhadap saya,” katanya.
Menurutnya, ketika ibunya meninggal dunia dia tetap memilih pakaian wanita dengan berjubah, tetapi tidak memakai tudung.
“Saya hanya melihat orang ramai solat jenazah dan menurunkan arwah ke liang lahad sedangkan itu adalah tanggungjawab saya sebagai anak lelaki, kesalan ini menghantui hidup saya sehingga sekarang, jika boleh diputar kembali waktu akan saya gunakan sebaiknya membantu arwah hingga ke hujung hayatnya.
“Arwah ibu tidak suka saya menjadi pondan, tetapi dia tidak pernah membuang saya sebagai seorang anak, dia berdepan caci maki tohmahan orang ramai dan tetap mempertahankan saya walaupun sudah menconteng arang ke wajahnya,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.
Katanya, dulunya dia pernah berhasrat untuk berhijrah ke England bagi melangsungkan perkahwinan sesama jenis dengan teman lelakinya yang juga Mat Salih.
“Namun, takdir Allah SWT, sebelum saya sempat berangkat ibu ditakdirkan jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi.
“Saya kemudian fokus untuk menjaga ibu dan meninggalkan teman lelaki saya serta melupakan hasrat berkahwin di sana, mungkin Allah masih sayangkan saya dengan menghalang perjalanan itu, jika tidak pasti saya sudah murtad di sana, nauzubillah,” katanya.
Menceritakan bagaimana dia boleh terjebak dalam dunia pondan, Jefferi berkata, nalurinya untuk menjadi pondan timbul selepas memasuki maktab perguruan.
“Selepas bergelar guru, saya ke sekolah memakai pakaian lelaki, sebelah malam bertukar wanita pula dan seronok dengan kehidupan begitu.
“Saya kemudian berhenti menjadi guru dan fokus kepada perniagaan, ketika itu saya memiliki segalanya seperti rumah, kereta mewah, kecantikan dan ada tiga anak angkat bersama saya. Kehidupan saya cukup lengkap, tetapi jiwa saya tetap kosong,” katanya.
Menurutnya, kuasa Allah tiada siapa yang tahu, Allah datangkan seorang lelaki bukan Islam kononnya untuk menilik nasibnya tahun lalu.
“Saya berkeras tidak mahu, namun lelaki itu tetap mahu menilik dengan hanya melihat raut wajah saya, apa yang diperkatakan lelaki ini sangat menjerut tangkai hati saya.
“Dia kata saya ada semua tetapi tidak bahagia kerana saya tidak solat lima waktu, memang betul sangkaan dia, kerana sudah berpuluh tahun saya tidak sujud pada Allah,” katanya.
Katanya, bertitik tolak daripada situ, dia mula solat tetapi memakai pakaian wanita.
“Saya mula solat tetapi tetap ego dengan memakai pakaian wanita, bukan memakai telekung, tetapi berbaju kurung atau jubah tanpa menutup kepala.
“Setiap kali orang datang ke premis perniagaan saya, mereka terkejut melihat saya solat dan wujud perasaan kasihan terhadap saya,” katanya.
Menurutnya, sehinggalah dia mula terfikir sampai bila dia harus menjadi wanita, walaupun solat dia tetap tidak tenang hati.
“Sehinggalah saya membuat keputusan untuk kembali kepada fitrah lelaki, saya mula buang implan payudara, hidung dan sebagainya.
“Saya jual semua barangan kemas dan membuang semua pakaian wanita. Saya mula memakai pakaian lelaki dan Alhamdulillah perubahan ini baru setahun. Apa yang saya paling gembira, saya juga dapat solat Jumaat yang ditinggalkan hampir 50 tahun,” katanya.
Dia yang juga pengasas produk kesihatan dan kecantikan SB Superbeauty berkata, dia kini tidak lagi berahi melihat lelaki dan tiada lagi pandangan dua tiga kali terhadap kaum sejenisnya.
Jefferi turut menitipkan pesanan buat pondan di luar sana supaya bertaubat segera dan mendapatkan rawatan dengan mengambil suntikan hormon lelaki di klinik.
“Kini saya mendapatkan suntikan itu di sebuah klinik di Kluang, Johor. Hanya RM30 satu suntikan yang perlu diambil sebulan sekali.
“Berubahlah wahai semua pondan, kehidupan ini hanya sementara, jangan jadi seperti saya, sudah di penghujung usia baru ketukan untuk bertaubat,” katanya.-Metro
No comments:
Post a Comment