TECOMAN, Mexico 12 Nov. – Sama seperti bayi 10 bulan yang lain, Luis Manuel Gonzales boleh menyentuh apa sahaja dalam jangkauannya namun bayi lelaki itu mempunyai berat badan luar biasa iaitu 28 kilogram.
Menurut portal berita Channel News Asia, bayi itu memerlukan rawatan perubatan yang menelan kos amat tinggi dan sehingga kini doktor masih belum mengesan punca sebenar Luis Manuel menjadi begitu besar.
Mexico dilaporkan muncul sebagai negara yang paling paling ramai kanak-kanak mengalami masalah gemuk dan kencing manis.
Luis Manuel merupakan contoh ketara bagi kanak-kanak gemuk di negara itu.
Semasa lahir, Luis Manuel seberat 3.5 kilogram namun pada usia dua bulan, bayi itu sudah mencapai 10 kilogram sebelum beratnya bertambah hampir 18 kilogram lagi hanya dalam tempoh lapan bulan.
“Pada mulanya saya fikir Luis Manuel membesar sebegitu rupa kerana saya mempunyai susu badan yang baik namun saya semakin gusar dengan keadaannya kini,” kata ibunya, Isabel Pantoja, 24, yang tinggal di Tecoman, negeri Colima.
Pantoja dan suaminya, Mario Gonzales membuka laman Facebook dan akaun bank untuk merayu derma orang ramai bagi menampung kos rawatan perubatan Luis Manuel kerana pendapatan mereka kecil.
Mereka dilaporkan terpaksa bergilir-gilir membawa Luis Manuel ke hospital menggunakan kereta sorong untuk melakukan ujian darah hampir setiap hari.
-Utusan
No comments:
Post a Comment