Thursday, November 9, 2017

'Tak akan berhenti menemani, menyayangi...'



"DOKTOR beritahu suami tidak boleh sihat seperti dulu, matanya sekarang sudah tidak nampak lagi. Dia hanya boleh mendengar," kata Nurr Hidayah Hassan, 29, isteri kepada Hamdan Hashim, 30, yang menderita penyakit Johnson Steven Syndrom sejak awal tahun ini.
Menurut Nurr Hidayah, semuanya bermula ketika suaminya bekerja di stor kilang pakaian di Melaka.
"Pada asalnya selepas bekerja di stor kilang pakaian, suami saya sakit mata dan ke klinik untuk dapatkan rawatan. Doktor bagi ubat mata dan pil bagi meredakan sakit di mata suami saya.
"Bagaimanapun, kurang dari 24 jam mata dan mulut suami bengkak sebelum saya bawa dia ke Hospital Melaka bagi mendapat rawatan," katanya yang kini hanya bekerja sambilan dalam talian bagi meraih pendapatan.
Nurr Hidayah berkata, penyakit suaminya semakin serius selepas doktor memberikan antibiotik kerana mendakwa suaminya sakitcacar air.
"Selepas makan antibiotik dia semakin teruk kerana kulit bertukar seperti melecur dan berdarah.
"Dia (suami) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan. Sedih saya lihat keadaannya ketika itu namun sebagai isteri saya perlu kuat,"katanya yang ketika ini menumpang teduh di rumah neneknya di Kampung Morten, Melaka.
Menurutnya, suaminya kini tidak dapat bekerja berikutan doktor mengesahkan menghidap penyakit Johnson Steven Syndrom hingga mengakibatkan penglihatan suaminya tidak jelas.
"Mata kanan suami tidak dapat diselamatkan kerana sudah ada selaput yang menghalang dan dia tidak nampak.
"Namun doktor cuba untuk memulihkan mata kiri yang kabur. Kerana tidak dapat melihat, suami hanya akan mendengar radio sepanjang hari dan saya menemaninya serta membantu untuk menguruskan dirinya," katanya.
Menurut Nurr Hidayah, ada komen negatif netizen yang diterimanya selepas gambar suaminya tular di Facebook (FB) sejak semalam.
"Ada yang suruh saya bercerai dan sebagainya. Saya sayang suami saya dan akan jaga dia sepanjang hayat saya.
"Susah senang saya mahu bersamanya dan akan sedaya upaya mencari jalan untuk dia pulih," katanya yang berkahwin dengan Hamda sejak tiga tahun lalu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun Maybank Hamdan Bin Hashim, 1040 6829 6200.

-Metro

No comments:

Post a Comment