Kota Bharu: Sebelum ini seorang peniaga tidak terfikir untuk mencipta kelainan menerusi produk jualannya untuk penduduk tempatan sehinggalah kunjungannya ke China, Mei lalu.
Dalam kunjungan itu, Isna Alif Abdul Hadi, 30, menemui sesuatu yang disifatkannya sangat ‘kena’ dengan Malaysia, khususnya Kelantan yang mempunyai taburan hujan tinggi menjelang musim tengkujuh.
Sejak itu, katanya dia mula membawa masuk barang berkenaan yang kini menjadi perhatian masyarakat kerana jarang digunakan penduduk sebelum ini.
Isna Alif berkata, dia teruja apabila membawa masuk payung motosikal yang menyerupai seperti khemah dan bersifat melindungi penunggang daripada basah akibat hujan.
“Saya temui payung motosikal ini ketika membeli barang niaga di negara itu dan tertarik untuk menjualnya, di sini kerana cuaca kita yang panas dan lembap sepanjang tahun.
“Ia sebenarnya sangat menarik dan selasa untuk penunggang apabila fungsi melindunginya yang menyeluruh. Walaupun kelihatan agak pelik, namun payung ini sesuai sekiranya keadaan mendesak.
“Tak semestinya kita bergantung kepada baju hujan sahaja selepas ini,” katanya kepada Harian Metro, di sini semalam.
Menurutnya, payung berkenaan sesuai untuk motosikal bersaiz sederhana yang ditunggang tidak melebihi 80 kilometer sejam, serta dijual dengan harga RM85 setiap satu.
Katanya, tiada sesalan membawa masuk produk begitu kerana idea asalnya hanya mahu menjual produk yang berguna kepada masyarakat.
“Saya rasa ini, idea yang terbaik untuk dicuba dan menjual kepada orang ramai yang memerlukannya terutama bagi penunggang motosikal.
“Sebagai permulaan, saya membawa masuk 300 payung motosikal dan setakat ini sudah terjual lebih 100 payung,” katanya yang turut memberi diskaun 20 peratus kepada pelanggan yang membeli lebih lima unit.
Berpengalaman 11 tahun berniaga termasuk menerusi dalam talian, Isna Alif mempelbagaikan produk jualannya demi memenuhi permintaan pasaran.
-Metro
No comments:
Post a Comment