Thursday, November 16, 2017

Bukti disembelih, dibakar hidup-hidup, dirogol



TENTERA Myanmar menyembelih etnik Islam Rohingya, membakar mereka hidup-hidup dan diperkosa beramai-ramai termasuk kanak-kanak perempuan antara kandungan dalam dua laporan siasatan dua pertubuhan yang menampilkan bukti penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.
Pemerhati Hak Asasi Manusia yang memfokus kepada penggunaan keganasan seksual dalam laporannya mengenai kempen tentera Myanmar, merumuskan amat banyak jenayah kemanusiaan berlaku.
“Rogol menjadi senjata dan keutamaan tentera Myanmar dalam kempen pembersihan etnik Rohingya.
“Perbuatan ganas tidak bertamadun tentera Myanmar membabitkan sejumlah besar wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa,” kata penyelidik pertubuhan itu, Skye Wheeler, dalam laporan berkenaan.
Laporan Fortify Rights berpangkalan di Asia Tenggara dan Muzium Peringatan Pembunuhan Beramai-ramai di Amerika Syarikat, menyatakan tentera Myanmar melakukan serangan sistematik yang menyeluruh terhadap etnik Rohingya antara 9 Oktober dan Disember tahun lalu serta sejak 25 Ogos tahun ini.
Laporan 30 muka bertajuk ‘Mereka cuba bunuh kami semua’ berdasarkan temuramah dengan 200 pelarian dan saksi serta pekerja agensi bantuan.
Hampir 700,000 daripada kira-kira sejuta etnik Rohingya menjadi pelarian dengan lebih 500,000 melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos lalu, selepas Myanmar melancarkan operasi pembersihan dengan pembunuhan kejam orang awam.
Laporan Fortify Rights menyatakan: “Tentera dan orang awam Buddha menetak serta menyembelih etnik Rohingya, lelaki, wanita dan kanak-kanak.
“Mereka dibakar hidup-hidup. Tentera beramai-ramai merogol wanita, remaja dan kanak-kanak Rohingya.”
Laporan itu yang berdasarkan siasatan penyiasat Fortify Rights dan muzium berkenaan yang masuk ke Rakhine di Myanmar, menyatakan ada bukti kukuh pembunuhan beramai-ramai di sekurang-kurangnya tiga perkampungan.
Pertubuhan Hak Asasi Manusia menemuramah 29 mangsa rogol dengan semua mangsa, kecuali seorang, menyatakan mereka dirogol lebih daripada seorang perogol. Lapan mangsa, dirogol sekurang-kurangnya lima tentera.
Wanita menyatakan mereka terpaksa menyaksikan anak, ahli keluarga dan ibu bapa dibunuh sebelum mereka dirogol. Mereka kemudian berjalan ke Bangladesh sambil menanggung kesakitan.
Pertubuhan itu mendokumenkan enam kes rogol beramai-ramai dengan tentera mengumpul wanita dalam beberapa kumpulan sebelum memukul dan merogol mangsa.
Antaranya, seorang lelaki berusia 33 tahun, Mamtaz Yunis, berkata tentera mengepung dia dan 20 lagi wanita di tepi hutan ketika melarikan diri dan merogol mangsa di depan mereka.

-Metro

No comments:

Post a Comment