Dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan kesemua tiga mangsa maut di tempat kejadian iaitu Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhanmad Firash Zaffril, 3.
Ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, mengalami kecederaan parah pada tangan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala kakak sulung mangsa, Nur Zuryn Faziera, 9, serta bapa mangsa, Mohd. Fadzil Mohammad, 34, cedera ringan.
Kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Difahamkan kejadian itu berlaku setelah suspek yang dikenali sebagai ‘Rambo’ yang merupakan kawan kepada bapa mangsa telah memecah masuk ke rumah keluarga berkenaan dan menyerang mereka.
Kesemua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Teluk Intan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, suspek telah menceroboh masuk dalam rumah mangsa dan menetak tiga mangsa sehingga menyebabkan kematian dan ibu kepada kanak-kanak tersebut cedera parah.
“Selepas itu, pada kira-kira pukul 2.3O petang, suspek menghala ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad dan telah menetak dua pelajar sekolah dan seorang awam.
“Suspek ditangkap oleh polis dekat kawasan sekolah iaitu kira-kira 20 meter dari rumah mangsa. Polis turut merampas sebilah parang,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Fadli berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama anak dan isterinya di ruang tamu rumah mereka dan tiba-tiba dia terdengar jeritan suspek memintanya membuka pintu sambil menetak pintu rumah.
“Suspek berjaya masuk ke dalam rumah lalu meluru ke arah saya dan melibas parang ke arah saya, namun saya sempat elak sebelum suspek melarikan diri ikut pintu belakang dan selepas itu saya tidak sedar apa-apa,” katanya yang amat sedih dengan kejadian yang meragut nyawa tiga anaknya sekali gus pada hari pertama Ramadan.
“Anak-anak saya semua cantik-cantik, Allah tolong saya, tenangkan jiwa saya,” katanya.

-Utusan