Tuesday, December 30, 2014

Wanita terselamat ditanduk 2 kali


Mexico City: Seorang matador wanita terselamat walaupun ditanduk dua kali oleh lembu jantan sama yang cuba dibunuhnya di gelanggang laga lembu di sini, kelmarin. Lembu jantan seberat 495 kilogram, Gamusino, menanduk Karla de los Angeles hingga dia melambung di Plaza de Toros de Mexico. Karla dirawat pasukan perubatan sebelum masuk semula ke gelanggang apabila dia sekali lagi ditanduk oleh Gamusino.

Menurut laporan, matador terbabit mengalami luka sedalam 11.9 sentimeter dan 9.9 sentimeter pada paha dan pinggulnya dalam pertarungan berkenaan. Dua pembantu Karla dan seorang petani juga dirodok selepas lembu berkenaan melompat keluar dari gelanggang. Seorang daripada mereka dikatakan cedera teruk.

Kira-kira 5,000 penonton menyaksikan perlawanan itu. Bercakap kepada wartawan, Karla berkata: “Saya kecewa kerana tidak dapat memotong telinganya dan membunuh lembu kedua.” Buat kali pertama, acara tahunan laga lembu selama 10 hari itu membenarkan penyertaan tiga matador wanita tempatan.

- Agensi - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20325#sthash.Ds1C2luE.dpuf

Monday, December 29, 2014

Wanita lahir bayi beruban


Beirut: Kelahiran seorang bayi dengan rambut beruban di kem pelarian Syria di Lubnan menjadi viral di negara itu. Ramai pengguna laman sosial menyifatkannya sebagai lambang kepada krisis yang berlaku di Syria. Akhbar di Lubnan melaporkan, bayi lelaki itu dilahirkan oleh seorang pelarian Syria di Lubnan tetap tidak menyebut di mana.

Gambar bayi berkenaan dimuat naik di beberapa laman sosial negara itu. Ada yang berkata, ia berpunca daripada penyakit sementara yang lain mendakwa, ia petanda hari kiamat sudah hampir. “Keadaan bayi itu menggambarkan keadaan di Syria. Semoga Allah membantu ibu dan keluarganya. Ibunya melahirkannya selepas dia mengharungi tragedi. Semoga Allah membantu rakyat Syria,” komen seorang pembaca.

- Agensi - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7062#sthash.h1j7cRfj.dpuf

Sunday, December 28, 2014

Ibu tiri layan anak tiri umpama haiwan

"SABAN minggu saya ikuti kisah-kisah dalam DCCK. Kebanyakan ceritanya adalah berkisar kehidupan dan pengalaman hidup, ada manis tapi banyak yang pahit penuh duka nestapa. Kerana itu saya ambil kesempatan bercerita bukan tentang diri saya tetapi nasib tiga orang anak saudara yang mereka ceritakan kepada saya dalam tangisan baru-baru ini. "Saya jarang bertemu mereka kerana saya berkhidmat di negeri lain. Sesekali kami bertemu bila hari raya. Tetapi mereka tidak bercerita. Mungkin ketika itu mereka takutkan ibu tiri. Mereka banyak mendiamkan diri.’’

Itu cerita Encik Kamal dalam e-melnya, dan ketika kami berbual panjang di telefon."Saya hantar e-mel kerana tertarik dengan kisah Norlaily minggu lalu, kerana ada persamaannya dengan nasib anak-anak saudara saya.’’ Untuk tidak membuang masa sila ikuti cerita Sam anak saudara Encik Kamal ini."Kisah hidup kami tiga beradik bertitik tolak dari perkahwinan ayah kami seorang pegawai anggota keselamatan di lapangan terbang dan berkahwin dengan ibu kami yang baru sahaja selesai ambil peperiksaan SPM. Dengan umur ibu semuda itu sudah lahirkan saya dan kemudian adik kedua, Sudin.

Walaupun gaji abah tak seberapa, abah berjaya bina keluarga, hinggalah adik bungsu kami Udin lahir."Mungkin kerana desakan hidup, ibu minta izin bekerja niatnya nak bantu abah. Mulanya, abah keberatan tetapi ibu mendesak, alasannya untuk hidup lebih selesa dan abah akur. Di sinilah bermulanya penderitaan kami yang tiada berpenghujung."Awalnya ibu bekerja dengan baik tetapi kerana pergaulan akhirnya ibu terlibat dengan seorang lelaki. Akibatnya ibu lupa tanggungjawab dan janjinya pada abah.

Tanpa pengetahuan abah, ibu selalu keluar rumah waktu tengah malam ketika abah kerja. Ibu keluar ketika kami sudah nyenyak tidur, dan pulang ketika subuh hampir tiba. Ibu keluar dijemput dan dihantar oleh seorang lelaki, pergi entah ke mana."Nak dijadikan cerita, suatu malam ketika ibu keluar, Udin terjaga dari tidur dan menangis minta susu, malam itu Udin tak berapa sihat. Riuhlah rumah kami dengan tangisan Udin. Lama Udin menangis hingga mengejutkan jiran tetangga. Mereka datang menjengah dan bertanya, "Msana ibu kamu?’’ Aku terdiam.

Kebetulan salah seorang jiran kenal abah dan telefon abah suruh balik."Sebentar abah tiba. Dia terkejut bercampur marah kerana ibu tiada di rumah. Dalam kekecohan itu, sebuah kereta tiba di sudut jalan menurunkan ibu. Abah tidak dapat mengawal kemarahannya maka terjadilah pertengkaran. Sedihnya ibu dengan garangnya mencabar abah menceraikannya. Pergaduhan berakhir bila ibu keluar rumah."Selaku suami dan lelaki, abah ceraikan ibu dan ambil kami bertiga.

Kemudian abah hantar kami ke rumah abangnya. Abah datang jumpa kami seminggu sekali. Kami tak pernah jumpa ibu selepas peristiwa itu. Tak lama kemudian abah bertukar kerja ke tempat lain di pantai timur. Di situlah abah berkahwin dengan gadis tempatan. Kata abah gadis itu serba boleh. Tetapi kepada kami bermulanya episod penyeksaan, sumpah seranah dan penghinaan yang terpaksa kami lalui setiap hari."Sejak itu hidup kami bertiga tidak pernah aman. Ibu tiri kami terlalu kejam, garang dan suka menyiksa kami tanpa belas kasihan.

Mula-mula dia pukul kami semasa abah tiada di rumah, tetapi lama kelamaan dia berani menampar dan merotan kami depan abah. Kami hairan abah hanya lihat macam orang tak ada perasaan. Abah diam kadang kala abah turut memukul kami. Jadi pada sapa kami nak mengadu?"Ibu tiri seorang peniaga, ada kedai di pekan, kira-kira 16 kilometer (km) dari rumah kami. Tapi hari-hari kami ikut ibu tiri kekedainya kerana dekat sekolah."Walaupun dia ada kedai tapi kami tak dibenarkan masuk, kami duduk di luar dan makan tepi longkang.

Begitu juga di rumah. Tepi longkang itu meja makan kami.Hidup kami lebih terseksa setelah dia lahirkan anak hingga tiga orang. Kami makan makanan lebihan mereka. Tidur di dapur, pakaian cuci sendiri dengan air sabun yang keluar dari mesin pencuci pakaian. Kata ibu tiri, baju kami kotor dan mesti cuci sendiri. Lebih penting jangan bazirkan air. Namun lebih menyakitkan hati setiap hari kami disumpah seranah dan dipukul jika dia tidak puas hati melihat muka kami.Mengadu"Kerana sering ditarik telinga, belakang cuping telinga kami tersiat dan berkudis. Belum sempat sembuh ditarik lagi. Hanya Allah yang tahu bagaimana sakitnya.

Dan lebih sakit bila dilibas dan diketuk dengan batang paip di badan juga di kepada hingga berdarah. Tapi ayah buat tak nampak sahaaja. Pada siapa kami nak mengadu?"Peristiwa yang masih segar dihati kami bila ibu tiri sengaja tinggalkan kami depan kedainya. Hingga jam 8 malam semua kedai di pekan dah tutup kami masih menunggu ibu tiri atau ayah ambil kami pulang. Kerana takut, penat dan kelaparan menunggu, kami bertiga beranikan diri balik jalan kaki ke rumah sejauh 16 km. Ketika itu saya berusia 9 tahun Sudin 8 tahun dan Udin 6 tahun. Sampai di rumah jam sudah 11 malam. Penatnya, laparnya hanya Allah yang tahu.

Tapi sampai di rumah ibu tiri marahkan kami dituduh leka bermain lupa balik ke kedainya. Sedangkan kami nampak dia naik kereta tinggalkan kami ketika kami menunggu di tepi longkang."Kerana abah percayakan lakonannya kami bertiga dibelasah dan tak diberi makan. Malam itu kami tidur di dapur dalam tangisan, dengan pakaian sekolah basah berpeluh, sakit dipukul dan kelaparan yang amat sangat. "Untuk makluman kalian, dengan sumpah seranah, di tarik telinga, diketuk, dipukul dengan rotan, batang penyapu dan batang paip itulah kami membesar. Seperti biasa waktu sarapan, makan tengah hari mahupun malam kami diberi makan ditepi longkang belakang dapur.

Sedangkan adik-adik tiri makan di meja di ruang makan. Kami makan apa aja yang diberikan terkadang makanan kami macam makanan kucing."Pernah Udin ketika umur 7 tahun dimarahi kerana tak makan sayur, ibu tiri suruh kutip dan makan sayur sawi dalam longkang yang Udin buang. Udin menangis tak mahu makan tapi disuruh telan, Udin termuntah-muntah. Kami cuma melihat sambil menangis. Kalau ditolong kami sekali kena belasah.

Ketika berusia 12 tahun Udin dituduh curi gelang tangan ibu tiri. Udin tak mengaku apa lagi dia teruk dibelasah. Bukan saja ibu tiri, tapi adik beradik ibu tiri dan nenek tiri pukul sama."Sedangkan kami tak boleh masuk dalam rumah, tempat kami di dapur dan belakang rumah sahaja. Lagipun macam mana nak masuk biliknya yang sentiasa berkunci. Sebenarnya gelang itu dia tersalah letak. Tapi Udin jadi mangsa, polis bawa Udin masuk sekolah budak jahat. Sedihnya selama tiga tahun Udin di sana sekali pun abah tidak menjengahnya. Saya dan Sudin dihantar sekolah agama pondok di pinggir hutan di situlah kami belajar.

Selepas itu amanlah hidup ibu tiri bersama anak-anaknya tanpa kami."Nasib Udin baik dia dilatih di bidang komputer di sekolah budak jahat. Bila keluar dia tidak dibenarkan balik ke rumah. Dia dihalau. Udin terpaksa menumpang tidur di bangsal kebun sayur milik kawannya, orang Cina. Akhirnya dia dapat kerja di sebuah siber cafe. Kalau nak diceritakan banyak lagi seksaan yang kami lalui, tapi cukuplah setakat ini, hati kami terlalu sedih bila mengingatkan kekejaman ibu tiri kepada kami."Kini abah sudah meninggal dunia.

Episod seterusnya ibu tiri ambil semua harta dan duit simpanan EPF abah, kami tak diberi sesen pun. Malah diharamkan menjejakkan kaki ke rumah abah. Kami pasrah. Kini kami berusia lebih 20 tahun dan menjalani hidup sendiri serta bersyukur kami semua dapat kerja di syarikat besar di KL.

Walaupun kami cuba lupakan kekejaman itu tetapi agak mustahil. Terutama bila kami lihat parut di merata tubuh badan kami akibat perbuatan ibu tiri."Harapan kami penderitaan hidup ini menjadi teladan dan iktibar kepada ibu-ibu dan ayah tiri. Sayangi dan didiklah anak-anak dengan baik. Mereka tidak berdosa tetapi mereka mangsa perceraian. Janganlah jadikan kami mangsa kekejaman kalian.’’ Itu cerita Sam tentang pengalaman pahit mereka tiga beradik beribu tiri.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/ibu-tiri-layan-anak-tiri-umpama-haiwan-1.41758#sthash.yVyAodH5.dpuf

Thursday, December 25, 2014

Hidup semula sebelum dibakar


Seorang lelaki hidup semula sejurus sebelum keluarganya membakar 'mayatnya' pada satu upacara pengebumian. Deepak Singh, 72, sebelum itu rebah di rumah di depan keluarganya di Bhilwada, Rajashtan, negeri di barat laut India, sebaik keluar untuk memberi makan haiwan ternakannya.

"Dia kelihatan sihat apabila bangun pagi itu dan keluar untuk melakukan kerja hariannya. Tetapi, dia rebah ketika dalam perjalanan ke kandang lembu. Saya bergegas mendapatkannya dan tidak nampak tanda-tanda dia hidup. Degupan nadi dan jantungnya terhenti sama sekali.

"Seluruh keluarga bersetuju datuk saya sudah mati. Seorang doktor yang dipanggil juga mengesahkannya," kata cucu Deepak, Banda Nalwa, 26.

Selaras dengan adat agama Hindu, keluarga itu melakukan persiapan untuk membakar mayatnya dan mula membaca mantera, amalan biasa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang sudah mati.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18999#sthash.V0Ir1X2y.dpuf

Tuesday, December 23, 2014

Suami cabul, isteri bunuh diri

London: Seorang wanita membunuh diri di landasan kereta api selepas tidak dapat menerima perbuatan suaminya mencabul budak perempuan berusia sembilan tahun. Jenny Mullinger, 62, mengambil tindakan drastik itu selepas suaminya, David, mengaku ‘menyentuh’ budak terbabit dua kali - masing-masing sekali di atas dan di dalam seluar dalam mangsa.

Mullinger, 64, pada mulanya menafikan tuduhan cabul itu namun kemudian menghubungi polis mengakui perbuatan itu dan dipenjara tiga tahun. Hakim Mahkamah Crown Bristol Martin Picton menyifatkan kes itu sebagai “amat menyedihkan.

“Saya pasti kamu kini dihantui akibat perbuatan itu,” katanya ketika menjatuhkan hukuman. Mullinger juga mendapat perintah melarangnya daripada berhubung dengan budak di bawah usia 16 tahun tanpa pengawasan. Mahkamah sebelum ini diberitahu, kejadian berkenaan terbongkar selepas mangsa mengadu kepada ibunya yang terus menghubungi polis.

Pendakwa Kenneth Bell turut membacakan kenyataan ibu mangsa kepada mahkamah.“Sebelum kejadian ini dia periang dan tidak tahu apa-apa mengenai seks. Semua itu kini berubah.“Dia menyimpan marah yang mendalam dan mungkin tidak akan mempercayai lelaki lagi.

“Saya sedih mengenangkan betapa sukar untuk dia mengatasi serangan seksual ini,” katanya. Jenny, 62, yang kecewa dengan perbuatan suaminya membiarkan dirinya dirempuh kereta api dan diisytiharkan mati di tempat kejadian pada 16 September lalu.

- Agensi - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18635#sthash.daoA572M.dpuf

Sunday, December 21, 2014

Detik cemas lelaki dilanggar lori treler


NINGBO, China – Satu rakaman kamera keselamatan memaparkan detik-detik cemas seorang penunggang basikal dilanggar sebuah lori treler ketika melintas sebatang jalan di bandar ini yang terletak di wilayah Zhejiang.

Rakaman itu yang dipercayai dirakam baru-baru ini menunjukkan seorang lelaki yang menunggang sebuah basikal tidak sedar sebuah lori treler yang membelok ke arahnya ketika melintas jalan.

Lelaki itu kemudiannya terjatuh selepas dilanggar lori treler berkenaan dan terus terperosok ke bawah kenderaan berat tersebut seolah-olah digilis.

Bagaimanapun, selepas lori itu melepasinya, dia dilihat masih hidup dan terus duduk dalam keadaan terpinga-pinga.

Lebih menakjubkan lagi, lelaki tersebut disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya mengalami luka-luka kecil.

Pihak polis berkata, mereka sedang mengesan pemandu lori yang melanggar lelaki itu kerana terus melarikan diri selepas kejadian tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3MaXVAelG

Thursday, December 18, 2014

Lagi gelagat aneh penumpang China



Hangzhou: Kerana keadaan berkuap di dalam pesawat, seorang penumpang yang pertama kali menaiki pesawat membuka pintu kecemasan untuk mendapatkan udara segar ketika kapal tebang itu bersiap sedia untuk berlepas.

Tindakan lelaki itu memeranjatkan petugas Xiamen Airlines dan juga penumpang lain yang dalam penerbangan dari Hangzhou ke Chengdu kerana mereka belum pernah melihat keadaan itu berlaku.

Ditanya mengenai tindakannya itu oleh kakitangan pesawat, lelaki itu berkata, dia berasa panas dan rimas sementara menunggu pesawat itu berlepas. Akhbar South China Morning Post berkata, petugas kemudian memindahkan lelaki itu ke tempat duduk lain, jauh dari pintu itu.

Kejadian berlaku selepas satu kejadian lain menyaksikan seorang penumpang membuka pintu kecemasan sebaik pesawat yang dinaiknya mendarat kerana hendak cepat keluar. Ia menyebabkan syarikat penerbangan itu menanggung kerugian sebanyak 100,000 yuan (RM56,000).

- Agensi - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17418#sthash.eNLYfwDo.dpuf

Wednesday, December 17, 2014

Rupiah disamakan dengan mata wang sampah

Jakarta: Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dilaporkan berang apabila ada pihak menyamakan rupiah dengan ‘mata wang sampah.’ Label berkenaan timbul apabila mata wang Indonesia itu kini mengalami penyusutan nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada peringkat awal melayan soalan wartawan, Jusuf kelihatan bersahaja, namun apabila isu berkenaan ditimbulkan, pembesar berasal dari Sulawesi Selatan itu tiba-tiba naik angin.“Ulangi lagi,” katanya.

 Apabila wartawan terbabit mengulangi kata-kata berkenaan, Jusuf memberi reaksi marah.“Justeru kau tidak menggunakan rupiah? Jangan kata begitu mengenai rupiah,” katanya.

Keadaan semasa rupiah mengalami penurunan disebabkan pola pengukuhan dolar AS. Katanya, apa yang berlaku bukan disebabkan kedudukan rupiah.“Semua mata wang terjejas dan kita bernasib baik kerana kesan dialami adalah kecil,” katanya.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17043#sthash.8jU1Zl0j.dpuf

Tuesday, December 16, 2014

A. Rahman Hassan nikah Fadilah 25 Disember ini



KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan, 67, bakal melangsungkan pernikahannya dengan pelakon senior, Fadilah Mansor, 54, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Disember ini.
Menurut A. Rahman atau nama sebenarnya Abd. Rahman Hassan, 67, yang dihubungi Kosmo!­ semalam, majlis akad nikahnya akan diadakan sekitar pukul 8.30 malam dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.
“Alhamdulillah, saya bakal bergelar suami lagi namun, saya bukannya orang muda. Tidak perlulah buat majlis secara besar-besaran, jadi dewan yang ditempah kecil sahaja hanya boleh memuatkan sekitar 400 orang tetamu sahaja.
“Saya minta maaf kepada rakan-rakan dan keluarga jauh yang tidak dijemput. Majlis perkahwinan saya cukup sederhana. Bagi saya apa yang penting majlis akad nikah berjalan lancar,” kata A. Rahman yang mengharapkan perkahwinan kedua yang bakal dibina itu kekal sehingga ke akhir hayatnya..
Sebelum ini, A. Rahman pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kumpulan Orkes Nirwana, Allahyarham Datin Azizah Muhammad yang meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim pada 26 April 2013. Menerusi perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan tiga anak lelaki termasuk pelakon, Khir Rahman.
Fadilah pula merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak selepas bercerai dengan pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London pada tahun 2010.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3M7NA6Fa5
Hakcipta terpelihara

Monday, December 15, 2014

PU Yeop tak sedar anak hilang


IPOH - [DIKEMASKINI] "Ketika kami sampai di R&R itu, dia mengadu sakit perut dan nak berhenti buang air, maka saya pun berhenti. Selepas dia keluar dari kereta ke tandas, entah macam mana tidak lama selepas itu, saya terlupa hal dia yang belum masuk kereta dan teruskan perjalanan.

Mungkin kerana terlalu memikir selepas itu saya ada ceramah di Kuala Kangsar," kata pendakwah PU Yeop mengimbas insiden beliau tertinggal anaknya, Muhammad Iskandar Zulqarnain, 8, di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun, Kedah, Ahad lalu.

PU Yeop atau nama sebenarnya, Mohd Zainudin Mohamed Zaini berkata, hanya setelah sampai di rumahnya di Simpang, Taiping, baru dia tersedar seorang daripada enam anaknya yang bersama dalam perjalanan dari Perlis sebelum itu, tidak ada.

"Tiba-tiba saya teringat, saya turunkan dia di stesen minyak R&R Gurun kira-kira dua jam sebelum itu. Sampai di rumah, baru saya tersedar anak saya tak cukup seorang. Nak patah balik (ke Gurun)... dalam tempoh dua jam itu, macam-macam boleh jadi. Cemas memanglah cemas tapi saya tak boleh ikutkan perasaan. Mahu tak mahu saya kata kepada isteri, kita kena bertenang. Kita usaha elok-elok. Kalau kelam kabut, apa pun tak jadi.

"Sebagai bapa, siapa tidak sayangkan anak, darah daging sendiri? Tapi kalau saya sendiri buat kelam kabut, tidak bertenang, emaknya lebih lagi.

Tambahan pula, saya ada ceramah yang nak kena pergi di Kuala Kangsar. Saya tak boleh tak pergi, habis majlis orang yang sudah buat persiapan. Sebab itu, saya tak boleh nak berpatah balik ke Gurun walaupun anak sendiri hilang," katanya.

Dalam keadaan itu, bagi Yeop apa yang paling penting ialah betul-betul berserah kepada ALLAH untuk lindungi anaknya itu.

"Saya tidaklah berserah saja, saya telefon polis, saya juga telefon tanya Plus, minta tolong cari anak saya. Saya kira lepas selesai ceramah di Kuala Kangsar itu, baru saya akan putuskan apa yang saya sendiri akan buat," katanya.

Mengimbas perjalanan dalam tempoh selama dua jam dari Gurun ke Taiping, Yeop berkata, dia sendiri tidak habis fikir macam mana dia sendiri, isterinya dan anak-anaknya yang lain boleh terlupa Muhammad Iskandar Zulqarnain tidak masuk kereta ketika mereka meneruskan perjalanan.

"Ini ujian ALLAH untuk saya dan keluarga," katanya.

Sedar dirinya dalam ujian, bagi Yeop itulah peringatan untuk beliau dan keluarganya bersikap tenang hadapi keadaan itu," katanya.

Penyerahan dan doa Yeop ternyata dimakbulkan ALLAH. Habis ceramah, beliau pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, Muhammad Iskandar Zulqarnain sudah ada di depan pintu rumah.

"Rupa-rupanya ada orang yang baik hati jumpa dia di stesen minyak itu. Keluarga itu dari Changlun, Kedah dalam perjalanan ke Bagan Serai ke rumah kenduri saudara mereka," katanya.

Mengulas apa yang berlaku kepada anaknya, Yeop mengakui, punca kejadian itu kerana kecuaian beliau sendiri.

"Orang boleh kata apa saja kepada saya, dan bagi saya, ALLAH menguji saya. Ini jadi peringatan untuk diri saya sendiri. Kita masing-masing kena beringat selalu, tak boleh leka macam saya. Paling penting, macam mana kita kendalikan diri, keadaan sekeliling, anggota keluarga apabila berlaku kecemasan seperti itu supaya tidak bertambah cemas dan panik. Sebaiknya maklumkan segera dengan pihak berkuasa, dengan kemudahan teknologi seperti WhatsApp dan Facebook sedikit sebanyak membantu kita,” katanya.

-Sinar

Sunday, December 14, 2014

Saman isteri kerana lahirkan anak hodoh


BEIJING - CHINA . Seorang lelaki di China sanggup menceraikan dan memfailkan saman ke atas isterinya hanya kerana wanita itu melahirkan anak hodoh.

Akhbar tempatan melaporkan, Jian Feng turut mendakwa dia tertipu dengan kecantikan palsu isterinya selepas wanita itu mengaku pernah melakukan pembedahan plastik di Korea Selatan sebelum mereka berkahwin.

Sebelum rahsia itu terbongkar, Feng telah menuduh wanita yang dikahwini atas dasar cinta itu mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain berikutan wajah anak mereka langsung tidak seirasnya atau isterinya.

Bagaimanapun, bekas isteri Feng menafikan dakwaan tersebut kerana dia percaya anak mereka mewarisi genetiknya.

Susulan daripada itu, mahkamah mengarahkan bekas isterinya membayar ganti rugi sebanyak AS$120,000 (RM370,000) kepada Feng, dipetik dari laporan TVOR.

-Sinar

Friday, December 12, 2014

Hukum ucap selamat perayaan bukan Islam

HIDUP dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia). Satu persoalan yang sering dibahaskan adalah hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam.

Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini. Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sudah sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (ali-’Imran: 19) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam.

Muzakarah memutuskan bahawa:1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.3.

Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka.

Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa: 86). Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka. Ini termasuk memakai pakaian Santa Claus atau memakai topi Santa.Merungkai isu ini, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menegaskan, topi itu melambangkan agama Kristian dan pemakaiannya dengan sengaja boleh merosakkan akidah umat Islam kerana berniat mengagungkan agama itu.

Oleh itu, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi.

Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn ‘Abbas RA menyebut: Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

 - See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/hukum-ucap-selamat-perayaan-bukan-islam-1.35435#sthash.P8ObfrNZ.dpuf

Wednesday, December 10, 2014

Basikal emas RM1.4 juta


London: Sebuah basikal bersadur emas ditawar untuk dijual dengan harga RM1.4 juta. Syarikat barangan mewah Goldgenie.com menawar menjual basikal yang disadurkan dengan emas 24 karat itu di Internet. Goldgenie.com yang sebelum ini terkenal kerana menghasilkan ‘perumah’ untuk telefon pintar dan tablet, menyadur seluruh basikal lumba itu dengan emas, termasuk pemegangnya dan setiap bucu rantai gear.

Ia turut dihiasai dengan berlian di beberapa tempat. Basikal berkenaan turut dilengkapi dengan edisi terhad tempat duduk San Marco dan tayar lumba SR4. Harga basikal itu mengalahkan kos membeli sebuah Ferrari dan juga lebih mahal daripada kos purata untuk membeli rumah di Britain bulan lalu.

- Agensi - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15287#sthash.lAXWgJmk.dpuf

Tuesday, December 9, 2014

Patung ganti penduduk kampung yang berhijrah


TOKYO – Seorang wanita yang bosan selepas kampungnya semakin sunyi mengambil keputusan membuat lebih 100 patung menyerupai manusia untuk menggantikan penduduk yang telah meninggal dunia dan berhijrah ke kawasan bandar.
Wanita itu, Tsukimi Ayano, 65, berkata, dia bosan selepas kampung Nagoro yang didiaminya menjadi seperti kampung hantu apabila ramai penduduk berhijrah dan sebahagian lagi meninggal dunia.

Katanya, dia pulang semula ke kampung halamannya yang terletak di wilayah Tokushima di selatan Jepun itu kira-kira 13 tahun lalu untuk menjaga kedua ibu bapanya yang telah uzur.

“Bagaimanapun, selepas ibu bapa saya meninggal dunia beberapa tahun lalu, saya mula berasa bosan dan sunyi kerana semua jiran saya sudah tiada.

“Kini kampung ini didiami oleh beberapa penduduk warga emas sahaja dan lebih membosankan saya adalah penduduk yang paling muda,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menjahit patung-patung itu dengan menyerupai penduduk kampung yang dikenalinya dan meletakkan patung berkenaan di kawasan kedai, perhentian bas dan juga sekolah.
“Semua kawasan itu sunyi kerana tidak berpenghuni tetapi patung ini mengembalikan semula suasana ketika kampung ini sibuk dengan penduduk,” jelasnya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3LSoLlcFK
 

Monday, December 8, 2014

Tanda bukan Islam mula terima al-Quran

ADA dua berita gembira kepada umat Islam dalam tempoh seminggu lalu. Pertama, seorang biskop kanan Gereja England, Harries of Pentregarth pada 30 November lalu mencadangkan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan dalam majlis pertabalan Putera Charles, sekiranya beliau diangkat sebagai pemerintah negara itu.

Sehari kemudian, pemimpin agama Vatican, Pope Francis pula menyatakan, tindakan menyamakan Islam dengan keganasan adalah satu perbuatan salah. “Anda tidak boleh menyatakan demikian. Semua agama mempunyai kumpulan kecil seumpama ini (pelampau). Mereka (penganut Islam) percaya al-Quran adalah kitab suci yang membawa keamanan,” katanya sekembalinya daripada melawat Turki.

Apa yang menarik adalah tanggapan kedua-dua pemimpin agama itu kepada kitab suci al-Quran. Yang tersirat daripada yang tersurat adalah keyakinan mereka bahawa al-Quran itu memberi ketenangan dan mengajak manusia kepada kesejahteraan. Jika orang bukan Islam menyakini demikian, di mana pula kedudukan kita sebagai umat Islam yang beriman dengan kitab Allah ini? Sejauh mana kita mentadabbur ayat-ayat Allah yang di dalamnya penuh dengan petunjuk, hidayah serta merungkai semua permasalahan dalam hidup manusia.

Persoalannya, berapa ramai dalam kalangan kita yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan wajib setiap hari? Selepas membacanya adakah kita berusaha memahami dan mengamalkannya? Hal-hal begini sepatutnya menjadi keutamaan bagi umat Islam sementelahan kita tahu bahawa al-Quran itu memberi petunjuk kepada orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 2) Kelebihan membaca al-Quran bukanlah rahsia. Antaranya, al-Quran akan menjadi syafaat di akhirat. Ia berdasarkan hadis daripada Abu Umamah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. (riwayat Muslim)

Kedua: Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya di akhirat. Ia berdasarkan hadis daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Di akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan surah al-Baqarah dan surah ali-Imran, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya. (riwayat Muslim)

Sepatutnya kedua-dua berita di atas dijadikan pemangkin kepada semua umat Islam untuk memperhebatkan lagi usaha dakwah kepada orang bukan Islam. Berdakwah tugas semua, bukan terhad kepada para ulama, ustaz dan ustazah. Antara ramuan dakwah yang paling berkesan adalah dakwah bil hal (penampilan kualiti peribadi).

 Bagi Malaysia, adakalanya kita memerlukan kepada uslub al-Latf wa al-layn (pendekatan lembut dan lunak). Lebih-lebih lagi dalam hal melibatkan hubungan dengan penganut agama lain. Berlembut pada tempat yang perlukan kelembutan adalah bukti kebijaksanaan pendakwah.

Sama juga keadaan berkeras pada tempat yang memerlukan kekerasan juga adalah hikmah. Uslub al-Latf wa al-layn ini diasaskan kepada firman Allah SWT kepada nabi Musa a.s dan nabi Harun a.s ketika mereka diperintah menyeru Firaun kepada agama Allah. (rujuk surah Thaha: 43–44) Semua tindakan itu terangkum dalam dakwah secara hikmah.

Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik... (an-Nahl: 125) Mereka yang membudaya dan mengamalkan al-Quran pasti menjadi generasi yang cemerlang dalam segi tingkah laku, amalan dan cara hidup mereka.

Apabila ini dicapai, tugas berdakwah kepada bukan Muslim menjadi lebih mudah. Ingatlah bagaimana al-Quran melembutkan hati insan bengis dan keras seperti Umar al-Khatab sekali gus menukar beliau kepada insan Muslim dan mukmin.

-MOHD. RADZI MOHD. ZIN

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/tanda-bukan-islam-mula-terima-al-quran-1.32734#sthash.EmVqqgNm.dpuf

Sunday, December 7, 2014

Kembar Siam kongsi jantung meninggal dunia


ATLANTA, Amerika Syarikat (AS) – Sepasang bayi kembar siam lelaki yang dilahirkan di sini pada minggu lalu telah meninggal dunia, menurut pengumuman ibu bapa mereka.

“Kembar Siam kami meninggal dunia Jumaat lalu,” kata bapa bayi tersebut dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook.

Pasangan kembar Siam itu, Asa dan Eli lahir melalui kaedah pembedahan di Hospital Northside di sini pada pagi Khamis lalu.

Mereka merupakan anak kepada pasangan suami isteri, Michael dan Robin Hamby.

Kembar Siam itu bercantum pada bahagian tangan dan kaki. Mereka tidak dapat dipisahkan kerana turut berkongsi jantung dan sistem saluran darah.

Lewat malam Jumaat lalu, Michael memuat naik mesej selama lapan minit dengan Robin turut berada di sisinya.

“Saya dengan dukacitanya memaklumkan bahawa anak kembar lelaki kami meninggal dunia pada pukul 5 petang hari ini (Jumaat lalu),” katanya.

 – Agensi/http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3LGmWFOEo

Wednesday, December 3, 2014

Rumah Che Isa ibarat ‘reban ayam’


PASIR PUTEH – Gara-gara tidak mampu membayar sewa rumah, enam sekeluarga terpaksa tinggal di sebuah rumah yang dibina sendiri dengan buluh dan beratapkan rumbia di Kampung Banir Belikong, dekat sini sejak sebulan lalu.

Ketua keluarga itu, Che Isa Che Daud, 43, berkata, kayu-kayu terbuang dan pokok buluh di sekitar kampung berkenaan merupakan bahan paling berharga buatnya untuk menyiapkan kediaman bagi menempatkan isterinya, Maskah Awang, 36, bersama empat lagi anak yang berusia dua bulan hingga 22 tahun.

Menurutnya, kegagalan membayar sewa sebanyak RM350 sebulan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan pemilik rumah berkenaan mendesak supaya mereka keluar dari rumah berkenaan.

“Saya memang tidak berkemampuan untuk membayar sewa. Saya hanya bergantung harap dengan gaji hasil kerja kampung iaitu mengambil upah meracun rumput di kebun penduduk.

“Musim hujan pada penghujung tahun ini telah menyebabkan tiada permintaan kerja sebagaimana biasa. Saya akur dengan permintaan pemilik rumah berkenaan dan terpaksa berusaha membina sendiri bangsal untuk isteri dan anak berteduh,” katanya ketika ditemui di bangsal itu yang dibina di atas tanah ibu mertuanya di Kampung Banir Belikong dekat sini semalam.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi jirannya, Aziz Halim di talian 011-4943 100.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3KtOnqohj
Hakcipta terpelihara

Tuesday, December 2, 2014

Indiana Jones ditelan anaconda


AMAZON 2 Dis. – Seorang peminat haiwan liar yang merakamkan adegan dirinya dimakan hidup-hidup oleh seekor anaconda menyatakan, dia lebih risaukan tentang keselamatan haiwan berkenaan berbanding keselamatannya ketika penggambaran itu berlangsung.

Portal berita Mail Online melaporkan, rakaman adegan berbahaya yang dilakukan oleh Paul Rosolie, 26, itu merupakan sebahagian daripada rancangan televisyen terbaharu Discovery Channel yang diberi nama Eaten Alive yang akan disiarkan pada 7 Disember ini. Rosolie berkata, dia langsung tidak pernah hiraukan tentang keselamatan dirinya yang akan dimakan oleh seekor anaconda gergasi berukuran sembilan meter panjang tetapi lebih cenderung memikirkan apa yang bakal berlaku kepada haiwan tersebut. “Saya kalau boleh tidak mahu meregangkan kulit ular tersebut terlalu banyak, saya mahu pastikan baju khas yang saya gunakan dapat masuk ke dalam perut haiwan itu dengan baik tanpa mencederakannya. “Sebelum rakaman dijalankan kami menguji baju berkenaan beberapa kali bagi memastikan segala yang dirancang berjalan dengan lancar,” jelas Rosolie.

Tambah Rosolie, dia menolak dakwaan kumpulan pencinta alam yang menyifatkan tindakannya itu sebagai satu penganiayaan dan menegaskan semua ini dilakukan semata-mata mahu mengumpul dana bagi membantu memelihara habitat haiwan berkenaan. “Jika anda mengenali saya, saya tidak pernah mencederakan haiwan liar. Anda seharusnya menyaksikan rancangan ini terlebih dahulu, sebelum membuat kritikan,” jelas Rosolie, yang juga dikenali sebagai Indiana Jones Amazon dalam laman sosial Twitternya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/indiana-jones-ditelan-anaconda-1.31962#sthash.CexIGBJF.dpuf

Sunday, November 30, 2014

Meraung doktor syak dinoda

Miri: Seorang wanita warga Indonesia meraung sebaik doktor memaklumkan dia berkemungkinan dirogol selepas ditemui orang awam tidak sedarkan diri di Terminal Bas, Pujut, di sini, kelmarin.

Mangsa berusia 33 tahun itu ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 9 pagi dan dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut, bagaimanapun punca sebenar kejadian belum diketahui.

Sumber berkata, mangsa yang masih dalam keadaan lemah dan trauma, meronta-ronta ketika dimaklumkan doktor ada tompokan air mani pada alat sulitnya.

 “Mangsa dipercayai diberikan dadah sebelum dirogol, selepas hasil ujian air kencing mendapati dia positif methaphetamine.

 “Punca kejadian masih belum diketahui kerana mangsa masih trauma dan polis masih menyiasat kejadian yang menimpa mangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit berkata, pihaknya menerima laporan kes berkenaan selepas hospital membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri, di sini. Katanya, mangsa masih dirawat di Hospital Miri dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13224#sthash.uxkt5XHo.dpuf

Thursday, November 27, 2014

Luahan seorang warganegara keturunan Cina mengenai...
































Bukan semua di kalangan mereka berfikiran tidak
rasional berhubung isu Akta Hasutan. Cukup hairan apabila kelompok minoriti
bermati-matian menentang Akta Hasutan sedangkan jika Akta Hasutan dimansuhkan,
golongan inilah yang akan mendapat susah. Kau ingat orang Melayu yak pandai
menghasut? Terlalu banyak point di tangan orang Melayu yang hasutable .
Silap-silap, satu untung pun mereka tak dapat rasa.


sumber asal :disini

Thursday, July 24, 2014

Dr Mahathir serang Israel, gelar mereka lebih teruk daripada Nazi


Orang Yahudi lebih teruk daripada Nazi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, berhujah mengenai konflik terbaru Israel-Palestin dalam entri terbaru di blognya.

Dalam satu “serangan” panjang yang pedas terhadap bangsa Yahudi, bekas perdana menteri itu mengatakan orang Yahudi tidak belajar daripada kesilapan lalu.

"Bila orang Yahudi dianiayai oleh Nazi di Jerman, mereka memohon simpati dan sokongan dunia. Tetapi penderitaan mereka tidak mengajar mereka apa-apa, tidak membuat mereka lebih memahami erti penderitaan.

"Sebaliknya, sekarang mereka bertindak lebih teruk daripada Nazi, langsung tidak pedulikan kesengsaraan orang lain dan kematian yang mereka akibatkan," katanya dalam blognya chedet.cc.

Katanya, orang Yahudi sepatutnya marah kepada orang Jerman dan Eropah lain atas kekejaman yang dilakukan terhadap mereka masa lalu, sebaliknya mereka membunuh orang Arab sebab "ia lebih senang dan menyeronokkan."

Sebagai penyokong tegar Palestin, Dr Mahathir sering melepaskan kemarahannya terhadap Israel.

Negara Yahudi itu pada waktu ini sedang menyerang semenanjung sempit Gaza untuk menghentikan serangan roket Hamas berikutan penculikan dan pembunuhan tiga remaja Yahudi di Tebing Barat, dan penculikan dan pembunuhan seorang remaja Paletin dalam serangan balas.

Lebih 690 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terkorban ketika serangan di Gaza masuk hari ke-16 hari ini.

Dalam menyenaraikan pelbagai pelanggaran dilakukan Israel dalam serangan mereka, Dr Mahathir berkata ia seakan menghantar isyarat yang negara Yahudi itu dan penduduknya adalah suci dan mereka menentang mereka mesti membayar harga yang mahal.

"Semua yang dilakukan Israel ini adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, moral dan hak asasi manusia. Mereka adalah penjenayah di sisi setiap undang-undang dunia bertamadun.

"Tetapi, Yahudi Israel sewenang-wenangnya melakukan semua ini. Mereka ada Amerika dan Eropah di belakang mereka. Mereka insan yang dipilih Tuhan, mereka tidak terikat dengan mana-mana undang-undang, kod etika, atau nilai kemanusiaan," kata Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu kemudiannya menyalahkan Eropah dan Amerika kerana mencipta “raksasa” ini dan menuduh mereka memejam sebelah mata terhadap kekejaman dilakukan Israel.

"Mereka akan terus menyokong Israel walaupun kalau Israel lakukan pembunuhan beramai-ramai atau bunuh semua orang Arab. Ini cara mereka menebus semua layanan mereka terhadap Yahudi masa lalu," katanya. – 24 Julai, 2014.

-The Malaysian Insider

Wednesday, July 23, 2014

Abang kandung Nabi Musa


HARUN adalah abang kandung Nabi Musa a.s. Kisahnya di dalam al-Quran selalu disebut bersama dengan kisah adiknya itu. Baginda mendampingi Nabi Musa menemui Firaun untuk meminta agar Firaun melepaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Mereka menyampaikan wahyu daripada Allah kepada raja Mesir itu, dan mengingatkannya serta meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas (tidak rela melepaskan Bani Israel daripada perhambaan) serta menyimpang daripada ajaran Allah SWT.

Dengan lemah lembut, Musa dan Harun menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan. Akhirnya, Musa dan Harun berjaya membawa keluar Bani Israel dari Mesir.

Ketika sampai di sekitar Gunung Sinai, Nabi Musa meninggalkan Bani Israel selama 40 hari untuk menemui Tuhan di puncak Gunung Sinai.

Harun ditugaskan menjaga kaumnya. Baginda sempat mengingatkan mereka agar tidak menyembah berhala lagi.

Ketika Musa masih berada di Gunung Sinai, Harun mendatanginya.

Setelah mendapatkan tugas dan perintah daripada Allah SWT, kedua-duanya segera berangkat ke Mesir. Dengan ketabahan dan keteguhan iman, mereka menemui Firaun di istananya.

Dalam pertemuan itu, Nabi Musa menyampaikan wahyu Allah SWT kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Harun memiliki kemampuan berbahasa lebih fasih daripada adiknya. Oleh hal demikian itu, Musa memohon kepada Allah SWT agar mengutuskan Harun mendampinginya menemui Firaun. Permohonan itu bermaksud untuk membenarkan kata-kata yang disampaikan Musa, kerana baginda khuatir Firaun tidak mahu menerima kata-katanya.

Harun diangkat oleh Allah SWT menjadi nabi dan rasul untuk membantu tugas kerasulan Nabi Musa a.s.

Ketika hendak mendatangi Firaun, mereka diperintahkan oleh Allah SWT agar mengaku sebagai utusan Allah SWT kepada Firaun. Mereka menghadap Firaun dengan membekalkan bukti-bukti kerasulan mereka daripada Allah.

Bani Israel menyembah patung lembu yang diperbuat daripada emas dan melupakan Tuhan ketika Musa berada di puncak Gunung Sinai untuk bertemu Tuhan. Harun tidak berdaya menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi Musa.

Ketika hendak menerima wahyu Allah SWT di Gunung Sinai, Harun diserahkan untuk memikul amanah oleh Musa untuk memimpin Bani Israel. Selama ditinggalkan oleh Musa, kaumnya membuat kekacauan.

Dalam suasana itu, muncul Samiri yang mengaku layak menjadi pemimpin Bani Israel. Dia membuat patung anak lembu emas sebagai sembahan. Melihat kaumnya yang kufur itu, Harun berusaha mengingatkan akan kesesatan mereka. Baginda berusaha menghentikan kekufuran kaumnya, namun hati mereka benar-benar keras.

Setelah pulang dari Gunung Sinai, Musa a.s marah kepada kaumnya dan menegur abangnya, Harun.

Oleh sebab berasa marah dan sedih, seperti dikisahkan di dalam al-Quran, Musa melemparkan ‘loh-loh’ (Taurat) yang baru diterimanya daripada Allah SWT dan memegang rambut Harun, sambil menariknya ke arahnya.

Sesudah amarahnya reda, baharulah diambilnya kembali ‘loh-loh’ (Taurat) itu, kerana di dalam tulisan Taurat itu terdapat petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut kepadanya.

Nabi Harun a.s wafat terlebih dulu daripada Nabi Musa a.s dan dimakamkan/disemadikan oleh Nabi Musa a.s di Bukit Hur (Jabal Harun) di Semenanjung Sinai.

-Utusan

Tuesday, July 22, 2014

Budak 5 tahun hafal 29 juz

JURI Abi Amir (kanan) mengucup tangan hafiz cilik, Musa.

Jakarta: Seorang juri program menghafaz al-Quran di Indonesia, Hafiz Indonesia, begitu sebak dan kagum dengan bakat seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang mampu menghafaz 29 juzuk al-Quran.

Juri itu Abi Amir Faisol Fath dilihat pergi kepada peserta yang dikenali sebagai Musa itu dan mencium tangan kanak-kanak berkenaan bagi mengambil keberkatan mukjizat Al-Quran yang dihafalnya.

Musa yang berasal dari Bangka membuatkan penonton rancangan Hafiz Indonesia menitiskan air mata apabila mampu menjawab soalan demi soalan yang diberikan juri serta penonton.

Program itu disiarkan di stesen televisyen RCTI malah turut dimuat naik ke YouTube manakala episod membabitkan Musa dimuat naik pada 29 Jun lalu.

Menurut Abi Amir, kanak-kanak itu membuatnya kagum kerana menganggap Allah sendiri memuliakannya biarpun umurnya masih muda apabila jiwanya diindahkan dengan al-Quran.

“Tiada perkataan yang boleh saya ucapkan... Subhanallah.

“Ayah bonda semua, inilah buktinya bahawa sekali pun anak kecil masih sangat lemah kemampuannya, namun kita tunduk dengan kemuliaannya kerana al-Quran maka kerana Allah memuliakannya,” katanya.

Menurutnya, wang kertas tetap bernilai biarpun dipijak kerana manusia telah menetapkan nilai untuk wang kertas.

“Bagi Musa, Allah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran biarpun masih muda,” katanya.

- Agensi/Netro

Kekasih dipenggal


Wyoming: Seorang remaja perempuan yang hamil dicekik sehingga mati sementara teman lelakinya dipenggal selepas mereka dipercayai menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang tidak dikenali menerusi laman sosial untuk mengadakan seks.

Polis di Wyoming, Michigan berkata, remaja itu, Brooke Slocum, 19, yang hamil lapan bulan ditahan beberapa hari sebelum dibunuh.

Mayatnya ditemui di belakang bonet kereta suspek.

Ketua Polis James Carmody berkata, mayat teman lelaki Brooke, Charles Oppenneer, 25, ditemui dalam keadaan mengerikan sehari sebelum itu dengan kepalanya masih belum ditemui.

Siasatan awal polis menunjukkan Brooke menjalinkan hubungan dengan suspek, Brady Oestruike, 31, menerusi laman sosial Internet sebelum mengatur pertemuan untuk mengadakan seks dengan kehadiran Oppenneer.

Polis mendapatkan waran untuk menyerbu kediaman Oestrike sebaik mereka menemui mayat Oppenneer.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya melarikan diri tetapi ditembak mati selepas keretanya terbabit dalam kemalangan.

Penyiasat mengumpul lebih 400 bahan bukti dari rumah Oestrike, termasuk senjata, peluru dan pisau.

Mereka juga merampas beberapa barangan elektronik milik kedua-dua mangsa.

Polis masih menyiasat untuk memastikan sama ada orang lain turut terbabit dalam pembunuhan itu.

- AFP/Metro

Monday, July 21, 2014

Berat Firdaus naik 6 kg


SEREMBAN - Genap sebulan dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di sini, remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, kini semakin sihat.

Malah, berat badannya juga sudah bertambah kepada 21 kilogram berbanding 15 kilogram semasa ditemui terkurung di Taman Semarak, Nilai, 21 Jun lalu.

Firdaus ketika dikunjungi isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin semalam turut kelihatan ceria.

Pada kunjungan itu, Salbiah selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) berkesempatan melayan karenah Firdaus termasuk menyuap kuih raya kepadanya.

Menurut Salbiah, beliau gembira melihat perkembangan Firdaus kini.

“Terima kasih Hospital Tuanku Ja'afar kerana beri penjagaan amat rapi kepadanya. Saya harap Firdaus dapat menikmati kehidupan lebih baik selepas ini,” katanya.

-Sinar

‘Maafkan mak...’


Gelang Patah: “Maafkan mak nak, maafkan mak,” rintih seorang ibu, Masirah Berutu, 34, ketika mengucup jenazah anaknya Muhammad Iskandar Marakar, 4, buat kali terakhir sebelum kanak-kanak berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kangkar Pulai, di sini, semalam.

Muhammad Iskandar ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air rumah teres setingkat milik keluarganya di Jalan Mesra 6, Bandar Baru Kangkar Pulai di sini, manakala kakaknya Siti Aisyah, 7, berdiri sambil menangis di dalam bilik air sama ketika kediaman berkenaan terbakar kira-kira jam 2 pagi semalam.

Bapa mangsa Marakar Pekar, 45, berkata, ketika kejadian dia dan isterinya keluar ke Pasar Borong Pandan untuk membeli ikan.

Katanya, dia dan isteri keluar pada jam 12.30 tengah malam selepas mendapati kedua-dua anaknya tidur dan singgah minum di sekitar Bandar Baru Uda.

“Mereka tidur di ruang tamu dan sebelum pulang, kami menerima panggilan daripada jiran memaklumkan rumah terbakar.

-Metro

Sunday, July 20, 2014

Lahir tanpa hidung


TESSA EVANS suka bermain-main di luar rumah dan memberikan ciuman kepada ibu bapanya. Tetapi tidak seperti kanak-kanak lain, dia sebenarnya menderita keadaan yang amat jarang berlaku iaitu tidak mempunyai hidung sejak lahir.

Kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan itu disahkan menghidap arhinia. Hanya terdapat kira-kira 40 kes seperti itu dalam sejarah perubatan.

Keadaan ini bermakna Evans tiada deria bau dan sinus tetapi dia boleh batuk, bersin dan terkena selesema. Dia bernafas menggunakan mulut.

Menurut ibunya, Grainne, walaupun mempunyai masalah tersebut, Evans sentiasa tersenyum.

"Pada mulanya saya tidak faham. Bagaimana anak saya boleh tiada hidung? Adakah dia akan hidup? Adakah sesiapa yang dapat membantu?

"Tetapi sejak kami pulang ke rumah, saya dapat lihat perubahannya kerana dia sering tersenyum," katanya.

Ujarnya lagi, Evans kerap meniru perlakuan abang dan kakaknya walaupun dia kurang upaya.

"Orang yang bertemu Evans pula serta-merta jatuh cinta dengannya," jelasnya.

Hanya beberapa minggu selepas melahirkan anak ditambah lagi dengan carian di internet, Grainne terbaca artikel yang menyatakan kanak-kanak seperti Evans mempunyai pembangunan mental dan fizikal yang lemah.

Itu bermaksud ibu bapa perlu diberi pilihan untuk menamatkan kehamilan mereka.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa dari pekan Maghera di County Derry, Ireland berkata, anak perempuannya itu membuktikan pendapat itu salah.

"Sebaik melihat wajahnya, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya sungguh terkejut tetapi hanya mendiamkan diri," kata Grainne.

Keadaan Evans telah dikesan semasa imbasan kandungan pada usia 20 minggu yang menunjukkan profil muka luar biasa.

Grainne dan suaminya, Nathan sudah diberitahu supaya bersedia bagi membuat keputusan yang sukar tetapi ujian susulan dan imbasan tiga dimensi mendapati Evans sihat dan normal.

Acuan hidung

Tetapi kelahiran itu sangat traumatik. Setakat ini, hanya ada 47 kes individu yang dilahirkan dengan muka separuh dicatatkan di seluruh dunia. Grainne pula begitu bimbang tentang tanggapan masyarakat terhadap muka anaknya itu.

"Meletakkan Evans di dalam kain anduh memberikan saya keyakinan untuk keluar buat pertama kali di depan khalayak ramai kerana saya sahaja yang memandangnya," tambahnya.

Evans akan memulakan rawatan di Hospital Great Ormond Street di London tidak lama lagi. Prosedur itu akan mereka bentuk acuan hidung yang boleh diletakkan di tempat sepatutnya di muka Evans.

"Dia benar-benar sempurna, tetapi kami perlu berfikir bagaimana untuk membolehkan dia menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Evans turut mempunyai masalah penglihatan termasuk lubang kecil di dalam hatinya. Pada usia 11 minggu, dia memerlukan pembedahan membuang katarak mata.

Grainne rela berkongsi cerita mengenai anaknya itu selepas melihat sebuah keluarga menerima seorang kanak-kanak arhinia iaitu Cassidy Hooper di Ukraine yang sebelum itu tinggal di rumah anak yatim.

"Saya berharap kisah Evans ini akan memberi inspirasi kepada orang lain. Saya tidak mahu kanak-kanak tidak disayangi semata-mata disebabkan perbezaan fizikal dan penyakit mereka," katanya yang telah menubuhkan dana khas bagi membantu meringankan beban kewangan golongan pesakit arhinia.

-Kosmo

Thursday, July 17, 2014

Wartawan pernah masuk ke dalam gaun Ferrera mahu jadi model di Britain


LOS ANGELES - Seorang wartawan dari Ukraine, Vitalii Sediuk (gambar kecil) memohon maaf kepada beberapa selebriti Hollywood yang pernah menjadi bahan jenakanya dan mengumumkan dia akan berhijrah ke London, Britain untuk menjadi seorang model, lapor akhbar New York Daily News semalam.

Sediuk, 25, memberitahu, dia kini mahu mengubah kehidupannya dan berterima kasih kepada beberapa selebriti kerana masih bersabar dengan gurauannya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Hollywood yang menerima kehadiran saya selama dua tahun setengah ini yang banyak mengajar saya erti kehidupan.

"Saya juga ingin memohon maaf kepada beberapa selebriti yang terlibat dengan lawak saya dan terima kasih kerana mereka masih mampu bersabar," katanya.

Menurutnya, dia membuat lawak tersebut dengan tujuan yang positif walaupun ada antaranya tidak menjadi dan gagal difahami oleh orang ramai.

"Saya tahu anda semua pasti tidak akan merindui saya," katanya.

Sediuk sebelum ini sering mencetuskan kontroversi dan terbaru dia ditangkap selepas sanggup memasukkan kepalanya ke dalam gaun aktres popular, America Ferrera di Festival Filem Cannes, Perancis pada 16 Mei lalu.

Dia juga pernah ditampar aktor terkenal, Will Smith selepas cuba mencium pelakon tersebut.

- Agensi/Kosmo

Wednesday, July 16, 2014

Bekas askar Israel ceria sebelah tahanan Palestin


BAITULMAQDIS: Seorang bekas askar wanita Israel memaparkan dalam Facebook gambarnya berpakaian seragam dan tersenyum sambil berdiri di sebelah tahanan Palestin yang ditutup mata dan diikat, dikecam hebat oleh rakannya dalam tentera dan pegawai Palestin.

Laman web dan blog Israel menunjukkan dua gambar wanita terbabit. Dalam salah satunya, dia duduk bersila bersebelahan lelaki Palestin yang ditutup mata dan tersembam pada halangan konkrit. Muka lelaki itu ditolak ke bawah manakala wanita berkenaan merapatkan dirinya pada tahanan itu dengan mukanya mendongak ke atas.

Satu lagi gambar menunjukkannya tersenyum pada kamera dengan tiga lelaki Palestin yang diikat tangan mereka dan ditutup mata, di belakang wanita terbabit.

Kejadian itu mengingatkan kejadian yang pernah berlaku sebelum ini mengenai layanan buruk askar Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat di bawah kawalan mereka.

Ia juga mengimbas kembali kejadian pada 2003 apabila askar Amerika di penjara Abu Ghraib di Iraq menunjukkan tahanan Iraq berbogel, dimalukan dan ditakutkan. Dalam kes berkenaan, beberapa askar dipenjarakan selepas gambar itu dihebahkan.

Askar Israel pernah menghadapi masalah sebelum ini dalam laman web sosial seperti Facebook dan YouTube. Terbaru sekumpulan askar perang dikenakan tindakan kerana menari mengikut rentak secara berkumpulan ketika bertugas di bandar Hebron di Tebing Barat. Tarian itu dipaparkan dengan jelas dalam YouTube.

Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ghassan Khatib mengutuk gambar itu dan berkata ia membuktikan kesan pendudukan Israel selama 43 tahun di kalangan rakyat Israel yang menguatkuasakannya. “Ia menunjukkan pemikiran mereka yang menceroboh Palestin, yakni berasa bangga menimbulkan aib kepada rakyat Palestin. Pendudukan Israel adalah tidak adil, tidak bermoral dan seperti yang dipaparkan menerusi gambar itu, perbuatan keji,” kata Ghassan.

Tentera Israel juga mengecam wanita muda itu, yang dikenal pasti oleh media dan blogger daripada Facebooknya sebagai Eden Aberjil dari bandar pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

– AP/BH

Ugut isteri dengan tembikai


Hartford: Seorang lelaki berdepan dengan tuduhan mengugut isterinya selepas dia ‘menikam’ sebiji tembikai dan sengaja meninggalkannya di dapur untuk membolehkan si isteri melihatnya.

Ketua Jabatan Polis Thomaston James Campbell berkata, Carmine Cervellino, 49, dihadapkan ke mahkamah kelmarin atas tuduhan mengugut dan juga salah laku.

Cervellino ditahan Sabtu lalu dan dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak AS$500 (RM1,600) bon.

Menurut Campbell, rumah tangga pasangan itu mula berantakan 4 Julai lalu apabila isteri Cervellino membuat laporan polis setelah menemui pil dan ganja yang disembunyikan di dalam kotak peralatan tukang milik suaminya.

Pasangan berkenaan dikatakan dalam proses untuk bercerai ketika itu.

Wanita itu menganggap dirinya diancam setelah pulang dari balai polis dan menemui tembikai berkenaan bersama-sama pisau pemotong daging pada buah itu.

Sejurus selepas itu, Cervellino masuk ke dapur dan tanpa berkata apa-apa, memotong tembikai itu.

“Kami menganggap perbuatan lelaki itu sebagai sesuatu yang serius,” kata Campbell, semalam.

Cervellino akan dibicarakan 28 Ogos depan.

Dia bagaimanapun tidak berdepan dengan sebarang tuduhan berkait dengan dadah.

- Agensi/Metro

Tuesday, July 15, 2014

Di manakah kita akan berakhir...


KETIKA Ramadan memasuki hari ke-8 pada hari ini, banyak kematian yang telah berlaku dan demikian juga, banyak orang baru, bayi, yang lahir untuk menghuni dunia ini.

Manusia pergi dan manusia datang, untuk silih berganti meninggalkan dunia ini dan kedatangan yang baru untuk menggantikan yang telah pergi, selama mana dunia ini belum berakhir dan hari kiamat belum menjelma.

Ketika Ramadan baru melangkah masuk ke hari ini, hari ke-7, kita melihat beberapa kematian berlaku di hadapan mata kita, atau di dalam pengalaman dan pengetahuan kita.

Baru semalam, kita mendengar Allahyarham Datuk Sharifah Aini meninggal dunia. Subuh Jumaat lalu, seorang anggota keluarga, juga meninggal, minggu lepas seorang ahli keluarga meninggal, dan beberapa hari yang lalu, seorang kawan sekerja jemaah surau kami meninggal dunia, semuanya di dalam bulan puasa, di samping banyak lagi yang pergi di atas jalan raya seperti yang dapat kita baca dalam media.

Yang meninggal pula, maka kematiannya berlaku ditakdirkan oleh ALLAH SWT di dalam beberapa keadaan yang tertentu. Kawan sekerja yang meninggal, rebahnya ketika berada di pasar Ramadan pada petang hari, sedang menunaikan kewajipan untuk mencari makanan bagi keluarga berbuka puasa.

Ibu seorang anggota keluarga, meninggal ketika baring di atas katil, dengan kakinya sudah pun terjuntai, untuk bangun sahur agaknya. Arwah pada malamnya sempat berjemaah terawih dengan anak menantu dan sempat dihantar ke tempat tidur setelah itu. Apabila anak menantu pergi untuk mengejutnya bersahur seperti biasa dalam jam 5 pagi, Allahyarham kelihatan masih nyenyak, terlalu nyenyak tidurnya. Rupa-rupanya tidur yang terakhir, dia telah pergi buat selama-lamanya dalam bulan baik, Ramadan, dan pada pagi yang baik juga, hari Jumaat.

Suami cucu saudara, yang dalam perjalanannya ke tempat kerja, tiba-tiba jatuh sakit di dalam feri yang membawanya ke Pulau Pinang dan sesampainya di seberang, dia telah pergi menyahut penggilan ALLAH SWT.

Tidak ada sesiapa yang mengetahui di manakah dia akan meninggal, seperti yang difirmankan oleh ALLAH SWT di akhir surah Luqman "Tidak ada seseorang pun yang tahu di bumi manakah dia akan mati" maka tidak mungkin di antara arwah, orang yang telah pergi menyahut panggilan ALLAH itu yang mengetahui di manakah hayatnya akan berakhir, malah ALLAH sahaja yang tahu dan ALLAH sahaja yang memutuskan tentang masa dan tempatnya.

Keputusan yang dibuat oleh manusia di atas muka bumi ini, boleh dibantah, dikritik, dikecam dan di benci, atau sebaliknya dijunjung, dipuji, dihormati dan ditaati. Hal inilah yang berlaku ketika pemerintah sesebuah negara membuat keputusan tentang satu-satu dasar, atau sebuah pertubuhan membuat keputusan, malah sesuatu kaum dan penganut agama membuat tindakan tertentu, semuanya boleh dibantah, atau disokong, atas dasar bahawa keputusan itu adalah keputusan manusia dan "kita juga manusia, yang punya akal, punya pemikiran dan punya pertimbangan"...

Tetapi keputusan ALLAH SWT akan tetap berlaku, walau pun dibantah dan tidak disukai, kerana apa-apa yang diputuskan dan ditakdirkan oleh ALLAH itu adalah sesuatu yang muktamad mengikut kebijaksanaan ALLAH SWT, malah kalau dibantah, dan diusahakan untuk menghalang keputusan, atau takdir-NYA, maka hal itu akan tetap berlaku, walau pun seluruh manusia dan jin membantah dan tidak menyukainya, kerana lebih mengetahui rahsia kejadian alam dan makhluk-NYA ini, lebih berkuasa, dan Maha Adil.

Dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia ini, hampir keseluruhan keputusan pengadil akan cuba dibantah oleh pemain atau pegawai pasukan yang dihukum, cuba menegakkan kebenarannya dan menyalahkan musuhnya, termasuk di dalam beberapa kes yang terang-terang merupakan kesalahan pasukannya, tetapi tetap dibantahnya.

Inilah tabiat manusia, kelemahan mereka, dan sifat subjektiviti mereka, semuanya semakin banyak merungut, membantah, memberontak, revolosi di sana, demonstrasi di sini, semua pihak dianggapnya tidak benar, tidak adil, zalim dan sebagainya, kecuali dirinya sahaja yang adil, benar, saksama dan paling ideal...

Sebab itulah puasa mengajar kita untuk menjadi umat bijaksana, mengata orang di belakangnya, walau pun perkara itu benar, tetapi menjatuhkan air muka dan mengaibkannya, adalah mengumpat, dan sifat ini amat dilarang oleh ALLAH SWT. Apa lagi mengata orang, mengumpat orang, sedangkan apa-apa yang diperkatakan itu tidak benar, maka hal ini adalah fitnah, membawa dosa yang lebih besar.

Semoga puasa yang mendidik kita selama sebulan ini, akan dapat meninggalkan akhlak yang baik kepada umat Islam dalam membangunkan masyrakatnya yang kuat dan berpadu, bekerja keras dan berusaha secara bersepadu untuk menonjol dan memperbaiki nasib mereka di dunia ini, menjadi umat yang sejahtera dan bahagia di akhirat, dirahmati dan diberikan ganjaran syurga insya-ALLAH.

Semoga akan datang Ramadan seterusnya yang dapat menyaksikan umat Islam yang kuat dalam semua aspek kehidupannya, sejahtera dalam berkeluarga dan bermasyarakat, aman di dalam diri, keluarga dan di dalam negaranya, hapuskan permusuhan, yang kadang kala membawa kepada pertumpahan darah, pembunuhan, pengebom berani mati, dan seribu satu macam mala petaka yang mencabar kesucian agama dan ketamadunan umah seperti yang berlaku di dalam bulan Ramadan ini, dan bulan-bulan Ramadan yang lalu....

-Sinar/Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim

Daging burger undang kematian


KAJIAN daripada Institut Karolinska di Stockholm, Sweden mendapati pengambilan daging proses seperti sosej dan burger akan meningkatkan masalah kegagalan jantung.

Ini kerana daging proses mengandungi banyak bahan pengawet nitrat yang berbahaya kepada kesihatan.

Kajian yang dimuatkan dalam jurnal Circulation: Heart Failure itu melibatkan ujian ke atas 37,035 lelaki berumur dalam lingkungan 45 hingga 79 tahun.

Hasil kajian tersebut mendapati, seramai 2,891 orang mengalami kegagalan jantung dengan 266 orang meninggal akibat masalah tersebut.

Lelaki yang mengambil daging proses kira-kira 75 gram atau lebih pada setiap hari berisiko sebanyak 28 peratus untuk terkena serangan tersebut. Manakala mereka yang gemar mengambil makanan tersebut tanpa mengira waktu berisiko dua kali ganda.

=Kosmo

Sunday, July 13, 2014

Fenomena menakjubkan bulan 'Supermoon'


BULAN 'Supermoon' yang boleh dilihat di sebalik kawasan perumahan di Olvera, di wilayah Cadiz, selatan Sepanyol kelmarin. --------------------------------------------------------------------------------

WASHINGTON - Kejadian bulan penuh atau dikenali sebagai 'Supermoon' berjaya dirakamkan kelmarin dengan bentuk dan saiz yang luar biasa, lapor Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Menerusi imej yang dirakam, kedudukan bulan itu kelihatan dekat dengan bumi dan bersaiz lebih besar serta lebih cerah daripada biasa.

Menurut NASA, kejadian 'Supermoon' akan dilihat berada lebih dekat berhampiran bumi pada 10 Ogos ini. Fenomena yang sama dijangka juga dapat disaksikan pada 9 September ini.

Bulan dan Bumi yang mempunyai jarak sejauh 356,577 kilometer kali terakhir dilihat berlakunya fenomena 'Supermoon' adalah pada tahun 1993, dengan 20 peratus lebih cerah serta 15 peratus lebih besar berbanding saiz bulan biasa.

- AP/Kosmo

Datuk 48 cucu khalwat dengan isteri orang


KUALA TERENGGANU - Seorang datuk kepada 48 cucu dan empat cicit didenda RM2,400 selepas didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Alias Salleh, 78, yang masih beristeri dan mempunyai 18 anak itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang bekas guru dan berkahwin sebanyak 25 kali itu memilih menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan pertuduhan, Alias didapati berkhalwat dengan seorang tukang cuci berstatus isteri orang, Zalina Ismail, 31, di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Mei lalu.

Sebelum kejadian, Alias dan wanita terbabit yang berasal dari Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, ditahan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan oleh sepasukan polis, yang kemudian mendapati mereka tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dibuat Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala Alias tidak diwakili peguam syarie.

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakimannya menasihatkan warga emas itu bertaubat atas kesalahannya, apatah lagi pada usia emas seperti itu kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan.

“Dengan peringkat umur kamu ini, bukan waktu yang munasabah dan sesuai untuk kamu buat kesalahan seperti ini. Kamu nak balik menghadap ALLAH dah...hukuman yang mahkamah jatuhkan kepada kamu tidak boleh menebus kesalahan yang kamu lakukan ini. Insaf dan bertaubatlah,” katanya.

-Sinar

Monday, July 7, 2014

Pasaran gelap untuk kerusi roda, air zamzam menjadi-jadi


JEDDAH 7 Julai - Penjualan air zamzam dan kos menyewa kerusi roda melambung tinggi dalam pasaran gelap di sini sempena kedatangan bulan Ramadan, menyebabkan rungutan dalam kalangan jemaah.

Seorang jemaah, Faisal Al-Saadi yang ditemu bual Saudi Gazette memberitahu, dia kerugian sebanyak 150 riyal (RM127) kerana menyewa kerusi roda untuk anaknya selepas ditipu seorang lelaki.

"Lelaki itu memberitahu saya, saya akan diberi keistimewaan menggunakan laluan yang tidak sesak jika seorang daripada ahli keluarga saya menaiki kerusi roda.

"Jadi saya menyewanya untuk anak saya yang sihat," katanya.

Faisal berkata, dia sedar dirinya ditipu selepas gagal mencari individu itu semasa mahu memulangkan kerusi roda tersebut.

"Saya kemudian mendapat tahu, kerusi roda itu sebenarnya disediakan secara percuma kepada para jemaah di Masjidilharam," ujarnya.

Pegawai bertanggungjawab di Masjidilharam, Nasir Mohammed Al-Obaidi berkata, kerusi roda boleh didapati secara percuma di pejabat berhampiran dengan Bukit Safa, tetapi penyewa perlu mengisi borang.

Selain perkhidmatan kerusi roda, individu tertentu turut mengambil kesempatan menjual air zamzam pada harga mahal sehingga mencecah 15 riyal (RM12) berbanding harga sebenarnya, 5 riyal (RM4.20).

Jemaah umrah, Hussain Bahrawi berkata, oleh kerana keletihan dan tidak mahu beratur panjang untuk membeli air zamzam di sebuah kilang, dia membeli minuman tersebut pada harga mahal daripada penjual haram di luar kilang berkenaan.

-Utusan

Sunday, July 6, 2014

Kembar siam jatuh cinta


New Delhi: Selepas mengharungi perit getir hidup bersama tanpa merasai indahnya percintaan, kembar siam Ganga dan Jamuna Mondal akhirnya jatuh cinta dengan lelaki yang sama.

Kembar siam berusia 45 tahun itu terkenal dengan gelaran ‘Adik-beradik labah-labah’ hidup sebatang kara sepanjang hidup kerana masyarakat tidak dapat menerima penampilan luar biasa mereka.

Namun, selepas bertemu dengan pemuda yang baik, Jasimuddin Ahmad kehidupan mereka menjadi indah.

“Ia cinta pandang pertama. Apabila bertemu dengan Jasimuddin, kami dapat merasakan dia akan menyayangi kami dan dia ikhlas,” kata Jamuna.

Tambahnya, kehadiran Jasimuddin membuat mereka gembira.

“Dulu, kami menderita dan tidak mahu menempuh kehidupan seperti itu lagi.

“Kami berharap dapat menghabiskan sepanjang hidup kami bersamanya,” katanya.

Kembar itu dilahirkan dengan empat tangan dan mempunyai tiga kaki.

Selain itu, mereka yang berkongsi perut, tetapi mempunyai jantung, buah pinggang dan hati berlainan dilahirkan dalam keluarga daif berhampiran Kolkata, Bengal barat.

Malangnya ibu bapa kembar siam itu tidak mampu membayar kos perubatan lalu meninggalkan mereka ketika usia baru mencecah remaja kerana menganggap kehadiran mereka petanda dilaknat Tuhan.

Disebabkan tiada pendidikan, Jamuna dan Ganga menyara hidup dengan menyertai sarkas malah memperoleh pendapatan boleh dianggap lumayan sebanyak £25 (RM140) sehari.

Pasangan itu pernah cuba melakukan pembedahan, namun menolak idea itu kerana khuatir membahayakan nyawa dan mengakibatkan hilang sumber pendapatan.

Mereka bertemu Jasimuddin, 36, guru sekolah yang bekerja sambilan di sarkas sebagai jurutera bunyi.

“Kami terkejut mengetahui dia memahami dan membalas perasaan kami,” kata Ganga.

Sementara itu, Jasimuddin mengakui kehidupannya lebih bermakna sejak mengenali kekasih uniknya itu.

“Sejak bertemu dengan Ganga dan Jamuna, saya memahami derita yang mereka alami.

Saya sudah biasa begini. Saya sentiasa menganggap derita orang lain milik saya dan cuba memperbaiki keadaan,” katanya.

Ganga berkata, Jasimuddin berhati mulia dan pandai berjenaka.

“Dia sangat baik dan sering menghiburkan kami. Kami menggelarnya Mr India,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan kelamin, Ganga dan Jamuna tidak mengulas lanjut namun mengakui hubungan mereka dengan Jasimuddin intim.

Menurut mereka, hubungan dijalin sama seperti hubungan lain malah lebih mementingkan persahabatan dan keseronokan.

Jasimuddin dan dua kekasihnya itu hidup bersama sejak tujuh bulan lalu. Mereka bertiga menolak untuk berkahwin kerana menganggap tidak dapat diterima masyarakat.

- Agensi/Metro

Thursday, July 3, 2014

Panggil media mengaku utusan tuhan


PORT DICKSON - Tanpa diketahui apa motif sebenarnya, seorang lelaki menjemput media menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke satu sidang media tergempar di bandar ini, semalam.

Menerusi SMS yang dihantar kepada beberapa wartawan media tempatan di daerah ini kelmarin, lelaki dikenali sebagai Balu, 40-an, mendakwa kononnya ada berita menarik mengenai Islam untuk dikongsikan bersama.

Bagaimanapun, sidang media yang diadakan di sebuah pekarangan masjid itu bertukar sesuatu tidak masuk akal apabila Balu mendakwa dirinya sebagai utusan tuhan untuk menyebarkan agama Islam.

Menurutnya, dia telah lama mendapat perintah dari tuhan, namun baru sekarang mahu mendedahkannya kepada umum.

Namun, Balu mengelak untuk memberitahu nama sebenarnya serta melarang jurugambar mengambil gambarnya dengan alasan ia larangan kepada dirinya.

“Saya sudah lama dilantik jadi utusan, semasa saya muda lagi, tapi sekarang baru saya nak beritahu orang ramai.

“Tapi sekarang ini, saya belum boleh beritahu bagaimana saya dilantik jadi utusan tuhan. Tetapi yang pasti, saya diutuskan untuk keselamatan dunia,” katanya.

Dia yang mendakwa sebagai seorang anggota tentera yang sedang dalam cuti peralihan untuk bersara, bagaimanapun kelihatan resah dan tidak selesa apabila diasak pelbagai soalan wartawan yang hadir pada sidang media berkenaan.

Akibat asakan demi asakan, sidang media itu hanya berlangsung kira-kira 15 minit apabila dia kemudian bergegas meninggalkan lokasi.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berhubung kejadian berkenaan.

“Sekiranya individu berkenaan bukan beragama Islam, pihak kami tiada kuasa untuk ambil tindakan.

“Ia disebabkan kami bergantung kepada enakmen jenayah syariah yang hanya boleh diguna pakai untuk mereka beragama Islam sahaja,” katanya, semalam.

-Sinar

Wednesday, July 2, 2014

Penjawat awam terima RM500 sempena Aidilfitri


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa, bakti dan perkhidmatan mereka.

"Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 15 Julai ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM890 juta, katanya.

Kerajaan berharap bantuan khas kewangan itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan menyambut hari lebaran pada hujung bulan ini, katanya.

- Bernama

Ubi kentang dapat sembuh penyakit kulit


Lazimnya sayur-sayuran sememangnya bagus untuk kesihatan kerana mempunyai pelbagai khasiat-khasiat yang baik untuk tubuh badan, dan sayuran juga menjadi salah satu bahan dalam rawatan tradisional untuk merawat penyakit batu karang.

Ubi kentang juga sebenarnya boleh menyembuh kulit bermasalah seperti kulit berjerawat dan bisul.

Dipetik dari portal Mingguan Wanita, untuk merawat penyakit tersebut adalah dengan mengadunkan ubi kentang dengan sedikit air kemudian disapukan ke atas jerawat dan bisul yang sudah pecah sebelum ditutup atau dibalut dengan kain bersih.

Selain itu, ubi kentang juga dikatakan mampu mengubati luka atau kudis yang berpunca daripada penyakit kencing manis dengan menggunakan kaedah yang sama seperti merawat jerawat dan bisul.

-By Azwa Iela