Wednesday, August 16, 2017

Dera budak autisme


Beijing: Polis menyiasat dakwaan mengatakan kanak-kanak yang mempunyai autisme dianiaya guru mereka di sebuah pusat pembelajaran khas di bandar ini.
Kejadian itu dilaporkan minggu lalu selepas rakaman video tersebar di media sosial menunjukkan guru dari Pusat Pendidikan Senxi di daerah Changping, mendera kanak-kanak dalam jagaan mereka, lapor The Beijing News.
Rakaman selama dua minit setengah itu dipercayai diambil menerusi kamera litar tertutup di dalam pusat berkenaan.
Dalam satu rakaman menunjukkan seorang guru mengheret seorang kanak-kanak dalam sebuah bilik dengan mengikat tali di pergelangan tangannya sementara seorang lagi budak lelaki dipaksa melakukan duduk tubi manakala gurunya dilihat bersembang dengan rakan sekerjanya.
Seorang lagi kanak-kanak dilihat tangannya diikat ke belakang sementara gurunya meregangkan dan memintal tubuhnya.
Sumber yang enggan dinamakan berkata, dua guru berkenaan sudah dipecat dan pusat pembelajaran itu akan bekerjasama dengan polis.
Pusat itu yang didakwa beroperasi sebagai pusat latihan dan penyelidikan khusus untuk kanak-kanak autistik berusia dua hingga enam tahun ditutup sementara menunggu siasatan lanjut, kata laporan itu.
Menurut seorang jurucakap, pusat itu mempunyai 42 kanak-kanak tetapi 10 daripada mereka sudah berhenti selepas rakaman video itu tersebar.
Bapa seorang kanak-kanak di pusat itu yang dikenali sebagai Zhang berkata, dia memutuskan untuk mengeluarkan anaknya dari sekolah itu selepas melihat kaedah pelik digunakan mereka.
Dia membayar yuran 9,400 yuan (RM6,000) sebulan.
Video pertama muncul Sabtu lalu menerusi laman web microblogging negara itu, Weibo.
Seorang pengguna Weibo dari Shanghai berkata: “Jangan sakiti kanak-kanak itu, mereka perlu dilayan dengan penuh kesabaran!”
Seorang lagi pengguna dari wilayah Jiangsu berkata: “Perlu ada peraturan pendidikan khusus untuk memastikan pelatih dalam bidang ini layak.”

-Metro

Monday, August 14, 2017

Kaki reput 'sambut jiran baru'



New Jersey: Sebuah keluarga di sini yang kematian orang yang mereka sayang bertambah sedih apabila melihat satu kaki reput terjulur keluar di dalam kubur si mati ketika majlis pengebumiannya kelmarin.
Sandra Butler berada di tanah perkuburan Mount Holiness untuk mengebumikan bapanya, Cleveland Butler, 85, apabila dia dan keluarganya yang lain melihat kaki reput itu dari kubur sebelah terjulur keluar di atas keranda bapanya.
Seorang anggota keluarga sempat merakam gambar kejadian menggerunkan itu yang menunjukkan kaki berkenaan dengan plastik dan kain yang sudah reput membalutnya.
“Ia sungguh menyayat hati. Mulanya, bapa saya meninggal dunia dan kemudian, melihat kaki reput di atas kerandanya,” kata Sandra kepada akhbar New York Daily News.
Bagaimanapun, keluarga itu lebih terkejut apabila pekerja tanah perkuburan itu tidak mempedulikan apa yang berlaku, sebaliknya terus menimbus kubur bapa Sandra.
“Tidak ada siapa yang memberitahu apa-apa kepada kami. Ia seolah-olah perkara biasa,” katanya.
Adik Sandra, Alonzo berkata, dia begitu marah kerana pekerja berkenaan tidak cuba menyiasat kaki itu dan keluarga itu berkata, mereka merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, pemilik tanah perkuburan itu, James Shmergel dan penjaganya, Bill Plog berkata, kejadian seumpama itu biasa berlaku di tanah perkuburan.
“Kubur itu sudah lama dan perkara seperti itu memang biasa berlaku di tanah perkuburan,” kata Plog. 

- Agensi/Metro

Thursday, August 10, 2017

Bapa didakwa lagi liwat anak 444 kali

PUTRAJAYA 10 Ogos - Seorang ejen unit amanah mengaku tidak bersalah selepas didakwa lagi hari ini atas 444 tuduhan meliwat anak kandungnya yang berusia 15 tahun sebanyak tiga kali sehari secara berterusan selama tujuh bulan termasuk pada bulan Ramadan lalu.
SEORANG bapa yang menghadapi 626 pertuduhan jenayah  seksual.
Semalam, lelaki berusia 36 tahun itu (namanya dirahsiakan oleh mahkamah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak atas 150 tuduhan meliwat anak perempuan sulungnya itu menjadikan kesemuanya berjumlah 594 tuduhan bagi kesalahan itu sahaja.
Hakim Yong Zarida Sazali me­larang tertuduh dibebaskan de­ngan jaminan serta menetapkan 
kes itu disebut pada 18 September ini bagi membolehkan laporan perubatan dan laporan kimia disediakan.
Ketika didakwa semalam, bapa kepada tiga anak perem­puan itu turut menghadapi satu tuduhan merogol, satu tuduhan penganiayaan seks dan 30 tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 626 tuduhan.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika dihubungi mengesahkan, tertuduh merupakan individu pertama di negara ini yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual yang dilakukan secara berulang-ulang.
Kejadian didakwa berlaku di antara bulan Januari dan Julai tahun ini sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam di rumah mereka di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini.
Menurut pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, ­S. Umma, tertuduh didakwa meliwat anak kandungnya setiap hari sepanjang bulan Januari, Februari, Mac, April dan Jun (termasuk ketika sambutan hari raya pada 25 Jun lalu).
Pada bulan Mei, dia didakwa meliwat mangsa setiap hari kecuali dua hari sebelum bulan Ramadan (25 dan 26 Mei) dan pada hari pertama menunaikan ibadah puasa (27 Mei).
Lelaki berkenaan turut dituduh melakukan perbuatan itu setiap hari bermula 1 Julai hingga 20 Julai lalu sebelum laporan polis dibuat oleh bekas isteri tertuduh pada 25 Julai lalu.
Prosiding pendakwaan bermula pada pukul 9.15 pagi dan ditangguhkan sebentar seba­nyak dua kali bagi membolehkan kertas pertuduhan dikemukakan dengan lancar sebelum berakhir kira-kira pukul 11.55 pagi.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin memohon agar tertuduh tidak dibebaskan dengan jaminan kerana pertuduhan yang dihadapinya adalah dilarang jamin dan jika dibenarkan, tertuduh dikhuatiri akan melarikan diri dan tidak hadir pada perbicaraan selain mengganggu saksi-saksi pendakwaan termasuk mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dibebaskan dengan jaminan yang rendah.
Dia yang menyatakan penga­kuan tidak bersalah dari kandang tertuduh dalam keadaan bergari, kelihatan tenang sepanjang pro­siding itu.
Akhbar melaporkan, dia di­dak­wa melakukan perbuatan terkutuk itu selepas mangsa yang kini berusia 15 tahun tinggal bersamanya ekoran perceraian de­ngan isteri.
Dia ditahan polis selepas mang­sa dipercayai mendedahkan nasib malang menimpanya kepada ibu kandung setelah mengetahui bapanya itu berhasrat mengambil dua adiknya berusia sembilan dan 11 tahun (yang ketika itu tinggal dengan ibunya) untuk tinggal bersama mereka.



-Utusan 

Tuesday, August 8, 2017

Ditetak isteri akibat mahu poligami

Ditetak poligami

KUALA KRAI 8 Ogos - Seorang isteri yang berang mendengar suaminya mahu berpoligami bertindak menetak kepala lelaki itu dengan sebilah pisau pemotong sayur di rumah mereka di Kampung Manek Urai Lama, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, mangsa berusia 55 tahun cedera dan menerima 15 jahitan di bahagian kepala, dahi dan lengan kanan.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, si isteri bertindak menetak suaminya ketika lelaki itu sedang berbaring.
“Sebelum itu, si suami dikatakan menyuarakan hasrat mahu berkahwin lagi menyebabkan wanita berusia 56 tahun itu naik angin dan menetak mangsa.
Advertisement
“Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak setakat ini. Difahamkan, pasangan tersebut sudah berbaik semula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. -



-Utusan

Monday, August 7, 2017

Gajah Pygmy betina mati ditembak



KOTA KINABALU – Seekor gajah Pygmy Borneo atau dikenali sebagai gajah kerdil me­nemui ajal dalam keadaan menyayat hati dengan beberapa kesan tembakan disyaki dilakukan oleh pemburu haram berhampiran Hutan Simpan Ulu-Segama di Kinabatangan semalam.
Gajah betina dianggarkan berusia 10 tahun itu terlebih dulu ditemui dalam keadaan masih hidup oleh sekumpulan pekerja ladang kira-kira pukul 7 pagi pada Jumaat lalu, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Sekumpulan pegawai dari pasukan veterina Unit Perlindungan Hidupan Liar (WRU) kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian, namun gagal menyelamatkan haiwan tersebut.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, pegawai­nya bersama doktor haiwan telah dihantar ke lokasi untuk menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti punca sebenar kematian gajah tersebut.
“Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada gajah Pygmy Borneo itu mati tertembak atau ditembak
de­ngan sengaja oleh pemburu haram.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal telah menemui tiga kesan tembakan pada kepala, perut dan pinggang,” katanya di sini semalam.


-Kosmo

Sunday, August 6, 2017

Budak perempuan maut minum air mendidih


Florida (Amerika Syarikat): Seorang budak perempuan meninggal dunia akibat kecederaan dialami selepas minum air mendidih menggunakan straw kerana dicabar sepupunya.
Ki’ari Pope, lapan, mengadu tidak dapat bernafas beberapa hari lalu sebelum tiba-tiba pengsan. Dia dikejarkan ke hospital tetapi malangnya tidak dapat diselamatkan.
Ibu mangsa, Marquisia Bonner berkata, anaknya itu dicabar minum air mendidih menggunakan straw oleh sepupu yang seusianya pada Mac lalu selepas mereka melihat perlakuan seperti itu dalam YouTube.
Akibat kecederaan dialami selepas berbuat demikian, Ki’ari terpaksa menjalani trakeotomi yang menyebabkannya pekak dan mengalami masalah pernafasan kronik.
Bagaimanapun, Jabatan Kanak-kanak dan Keluarga Florida dalam satu kenyatana berkata, kanak-kanak itu juga menunjukkan tanda-tanda didera.
Susulan itu, pihak berkuasa kini menyiasat kejadian Mac lalu terbabit selain sembilan yang lain membabitkan kes dipercayai penderaan atau pengabaian terhadap mangsa.
Setiausaha jabatan, Mike Carroll berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan untuk meneliti sepenuhnya kematian mangsa.

-Metro

Thursday, August 3, 2017

'Kak Qis' sudah menyesal

Kuala Lumpur: “Sehingga sekarang penyesalan menghantui saya, kenapa saya tidak tukar pakaian lelaki, solat jenazah dan membantu jenazah arwah ibu diturunkan ke liang lahad.
“Saya seorang anak lelaki tetapi saya tidak membantu arwah ibu di hujung hayatnya, sehingga sekarang saya menyesal hanya disebabkan ego dan ghairah mahu menjadi pondan,” kata Jefferi Mohd Nor, 52.
Dia yang dulunya dikenali sebagai Kak Qis, seorang pondan cukup terkenal apabila melakukan pembedahan plastik dan menyuntik silikon di bahagian payudara, hidung, mata, lesung pipit, tulang pipi dan bibir demi mengejar kehidupan masyhur sebagai seorang wanita.
Bagaimanapun di hujung usianya, dia memlilih jalan taubat dan kembali kepada fitrah sebagai seorang lelaki, tahun lalu.
Dia kini berulang-alik ke Thailand untuk membuang silikon yang diletakkan di beberapa bahagian badannya.
Jefferi yang dulunya seorang guru berkata, arwah ibunya meninggal dunia pada September 2009 akibat gastrik pecah.
“Arwah ibu adalah kawan baik saya, apa-apa saya lakukan dia sokong kecuali ketika membuat keputusan mahu menjadi wanita.
“Walaupun saya sudah menjadi ‘anak perempuan’ kepada ibu, dia tetap tidak membuang saya dan berdepan pelbagai tohmahan orang ramai, begitu besar jasa arwah ibu terhadap saya,” katanya.
Menurutnya, ketika ibunya meninggal dunia dia tetap memilih pakaian wanita dengan berjubah, tetapi tidak memakai tudung.
“Saya hanya melihat orang ramai solat jenazah dan menurunkan arwah ke liang lahad sedangkan itu adalah tanggungjawab saya sebagai anak lelaki, kesalan ini menghantui hidup saya sehingga sekarang, jika boleh diputar kembali waktu akan saya gunakan sebaiknya membantu arwah hingga ke hujung hayatnya.
“Arwah ibu tidak suka saya menjadi pondan, tetapi dia tidak pernah membuang saya sebagai seorang anak, dia berdepan caci maki tohmahan orang ramai dan tetap mempertahankan saya walaupun sudah menconteng arang ke wajahnya,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.
Katanya, dulunya dia pernah berhasrat untuk berhijrah ke England bagi melangsungkan perkahwinan sesama jenis dengan teman lelakinya yang juga Mat Salih.
“Namun, takdir Allah SWT, sebelum saya sempat berangkat ibu ditakdirkan jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi.
“Saya kemudian fokus untuk menjaga ibu dan meninggalkan teman lelaki saya serta melupakan hasrat berkahwin di sana, mungkin Allah masih sayangkan saya dengan menghalang perjalanan itu, jika tidak pasti saya sudah murtad di sana, nauzubillah,” katanya.
Menceritakan bagaimana dia boleh terjebak dalam dunia pondan, Jefferi berkata, nalurinya untuk menjadi pondan timbul selepas memasuki maktab perguruan.
“Selepas bergelar guru, saya ke sekolah memakai pakaian lelaki, sebelah malam bertukar wanita pula dan seronok dengan kehidupan begitu.
“Saya kemudian berhenti menjadi guru dan fokus kepada perniagaan, ketika itu saya memiliki segalanya seperti rumah, kereta mewah, kecantikan dan ada tiga anak angkat bersama saya. Kehidupan saya cukup lengkap, tetapi jiwa saya tetap kosong,” katanya.
Menurutnya, kuasa Allah tiada siapa yang tahu, Allah datangkan seorang lelaki bukan Islam kononnya untuk menilik nasibnya tahun lalu.
“Saya berkeras tidak mahu, namun lelaki itu tetap mahu menilik dengan hanya melihat raut wajah saya, apa yang diperkatakan lelaki ini sangat menjerut tangkai hati saya.
“Dia kata saya ada semua tetapi tidak bahagia kerana saya tidak solat lima waktu, memang betul sangkaan dia, kerana sudah berpuluh tahun saya tidak sujud pada Allah,” katanya.
Katanya, bertitik tolak daripada situ, dia mula solat tetapi memakai pakaian wanita.
“Saya mula solat tetapi tetap ego dengan memakai pakaian wanita, bukan memakai telekung, tetapi berbaju kurung atau jubah tanpa menutup kepala.
“Setiap kali orang datang ke premis perniagaan saya, mereka terkejut melihat saya solat dan wujud perasaan kasihan terhadap saya,” katanya.
Menurutnya, sehinggalah dia mula terfikir sampai bila dia harus menjadi wanita, walaupun solat dia tetap tidak tenang hati.
“Sehinggalah saya membuat keputusan untuk kembali kepada fitrah lelaki, saya mula buang implan payudara, hidung dan sebagainya.
“Saya jual semua barangan kemas dan membuang semua pakaian wanita. Saya mula memakai pakaian lelaki dan Alhamdulillah perubahan ini baru setahun. Apa yang saya paling gembira, saya juga dapat solat Jumaat yang ditinggalkan hampir 50 tahun,” katanya.
Dia yang juga pengasas produk kesihatan dan kecantikan SB Superbeauty berkata, dia kini tidak lagi berahi melihat lelaki dan tiada lagi pandangan dua tiga kali terhadap kaum sejenisnya.
Jefferi turut menitipkan pesanan buat pondan di luar sana supaya bertaubat segera dan mendapatkan rawatan dengan mengambil suntikan hormon lelaki di klinik.
“Kini saya mendapatkan suntikan itu di sebuah klinik di Kluang, Johor. Hanya RM30 satu suntikan yang perlu diambil sebulan sekali.
“Berubahlah wahai semua pondan, kehidupan ini hanya sementara, jangan jadi seperti saya, sudah di penghujung usia baru ketukan untuk bertaubat,” katanya.
-Metro

Wednesday, August 2, 2017

Tiga lelaki Britain dituduh rogol wanita Malaysia

SINGAPURA – Tiga lelaki Britain dibicarakan di Singapura semalam kerana didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun semasa berada di pulau berkenaan untuk menyertai parti bujang.
Khong Tam Thanh, 22, Le Michael, 24, dan Vu Thai Son, 24, berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan sekiranya didapati bersalah memperkosa wanita Malaysia itu ketika mangsa mabuk dan tidak sedarkan diri selepas berseronok pada lewat malam.
Ketiga-tiga warganegara Britain berketurunan Vietnam itu menafikan tuduhan terbabit.
Dalam hujah pembukaan, pihak pendakwa raya berkata, defendan berada di Singapura pada September lalu untuk menyertai parti bujang dan menghadiri festival muzik elektronik dikenali sebagai Ultra Singapore.
Bakal pengantin lelaki yang merupakan abang kepada Tam Thanh turut serta dalam rombongan tersebut.
Mereka berkenalan dengan mangsa di sebuah kelab malam popular di pulau itu semasa dia sedang berparti bersama seorang rakannya.
Mangsa kemudian bersetuju mengadakan hubungan seks dengan rakan mereka, seorang rakyat Britain berketurunan Vietnam yang dikenali Richard Ahn di bilik hotelnya.
Selepas mereka mengadakan hubungan kelamin, Tam Thanh, Michael dan Thai Son bergilir-gilir masuk ke bilik dan merogol wanita itu ketika dia sedang mabuk,” kata Timbalan Pendakwa Raya, G.Kannan kepada Mahkamah Tinggi Singapura.
Mangsa tinggal di Johor Bahru dan namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identitinya. – AFP/Kosmo