Monday, March 3, 2014

Tanam tauge mudah,untung


PENANAM tauge menuai hasil lumayan

Tauge adalah sejenis makanan daripada percambahan kekacang sama ada kacang hijau atau kacang hitam. Kajian mendapati penghasilan tauge adalah bidang usaha yang berdaya maju.

Kaedah dan pemerhatian:

Walaupun proses penghasilan tauge nampak mudah, kesilapan pemprosesan memberi kesan kepada peng­hasilan. Justeru, pilih lokasi yang betul dari segi sumber air.

Benih kacang mestilah bernas dan bersaiz besar bagi mendapatkan hasil yang baik. Aktiviti mengasing dan membasuh perlu dilakukan dengan teliti sebelum kacang direndam.

Tempoh rendaman enam hingga lapan jam dengan larutan hormon pembesaran. Setiap sekilogram benih menghasilkan 8.7 kilogram (kg) tauge. Untuk percambahan menggunakan tong plastik, pastikan ia tebal dan tidak lut cahaya supaya tauge dapat mencambah dengan sempurna.

Proses pengeluaran tauge:

• Menyediakan persekitaran dan lokasi.

• Mendapatkan bahan mentah (kacang hijau/kacang hitam).

• Mengasingkan benih (benda asing, kacang rosak, batu dan sampah).

• Membasuh (hingga kacang bersih).

• Merendam (6 hingga 8 jam menggunakan larutan hormon).

• Menggaul.

• Mencambah (4 hingga 6 hari dalam bilik yang gelap dan suhu rendah serta tong bersesuaian).

• Menyiram (2 hingga 4 jam sekali).

• Mengasingkan kulit.

Tong penanaman:

Gunakan tong plastik berwarna hitam berukuran 30 liter dengan keting­gian 60 sentimeter (sm), seperti tong sampah.

Bahagian penutup tong ditebuk untuk memasukkan nozel penyembur.

Bahagian bawah tong, dibuat 20 hingga 30 lubang bergaris pusat 4 hingga 5 milimeter.

Lubang ini bertujuan mengalir air siraman keluar.

Tong yang digunakan mesti berwarna hitam kerana keadaan gelap dalam tong diperlukan untuk percambahan tauge.

Dengan tong ini, kuantiti benih kacang yang boleh dimasukkan ialah 1.5 hingga 2.0 kg dan kapasiti pengeluaran antara 10 hingga 15 kg setiap tong.

Penghasilan tauge cara konvensional:

Tidak memerlukan tanah dan kawasan yang luas sebagai media untuk pertumbuhannya.

Ia boleh diusahakan hanya di dalam atau di kawasan belakang rumah.

Apa yang perlu hanyalah sebuah bangunan berbumbung dan dinding saja.

Keperluan asas lain ialah sebuah perigi untuk kegunaan penyiraman.

Kaedah ini mampu menghasilkan 7,200 kg tauge sehari atau 216,000 kg sebulan dengan menggunakan 60 peti.

Bahan yang diperlukan ialah:

1. Kacang

Bahan utama perusahaan tauge ialah kacang hijau.

Jenis yang digemari ialah kacang yang berkulit hitam kerana jenis ini lebih murah daripada jenis hijau. Kacang sebanyak 1 kg boleh menghasilkan 10 kg tauge.

2. Peti percambahan

Peti yang digunakan diperbuat daripada kayu dan berukuran 70 sm x 55 sm x 65 sm.

Kayu di bahagian bawah dijarangkan supaya air boleh mengalir keluar dengan mudah.

Peti kayu ini boleh digunakan sebanyak empat kali.

3. Plastik

Plastik ini digunakan untuk dilapik di sekeliling permukaan dalam peti percambahan bagi menjamin kebersihan tauge.

4. Daun pisang

Daun pisang diperlukan untuk dilapik di bahagian bawah kotak percambahan supaya benih kacang tidak terjatuh melalui lubang.

5. Peralatan menyiram

Perusahaan tauge memerlukan air yang jernih dan tidak mempunyai sebarang kimia (termasuk klorin).

Air perigi sesuai untuk menghasilkan tauge berkualiti.

Kaedah operasi:

1. Pembersihan kacang

Kacang perlu dibersihkan bagi membuang kulit, kotoran lain dan kacang yang tidak bernas.

Ini bagi memastikan kadar percambahan yang tinggi.

2. Memasukkan kacang (benih)

Peti perlu dilapik de­ngan plastik di sekeliling dan daun pisang di bahagian bawah. Bagi peti yang berukuran 70 sm x 55 sm x 65 sm (0.25 m3), benih kacang digunakan ialah sebanyak 12 kg.

Benih dibuang ke dalam peti menggunakan baldi. Ratakan kacang dalam peti bagi memperbaiki kadar percambahan.

3. Menyiram

Siram menggunakan air perigi. Gunakan pam bagi memudahkan proses penyiraman. Siraman perlu dilakukan setiap empat jam selama enam hari atau 36 kali dalam tempoh hayat tauge. Menyiram adalah perkara paling mustahak dalam menjamin pertumbuhan dan kualiti tauge.

4. Penjagaan

Selepas mengisi kacang ke dalam peti, siram setiap empat jam. Daun pisang perlu dibuang selepas hari kedua. Tiada sebarang bahan kimia atau racun makhluk perosak digunakan.

5. Memungut hasil

Tauge sedia untuk dipungut selepas enam hari. Saiznya kira-kira 6 hingga 8 sm panjang. Berat satu peti tauge ialah 120 kg.

-Metro

No comments:

Post a Comment