Monday, October 16, 2017

Sangkut celah dua tembok



Beijing: Seorang budak perempuan mengalami detik cemas apabila kepala dan sebahagian badannya terperangkap antara dua tembok ketika bermain pada waktu rehat di sekolahnya.
Kejadian berlaku di daerah Lingbi, Suzhou, timur China itu, dan ibu kanak-kanak berusia enam tahun terbabit terpaksa memeluk serta menyokong berat badan mangsa untuk menampung beratnya seterusnya mengurangkan kesakitannya.
Kakitangan sekolah memanggil bomba selepas melihat kanak-kanak itu tidak dapat digerakkan langsung tanpa menjerit kesakitan.

BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa dari celah dinding, manakala ibunya menampung badan untuk mengurangkan kesakitan. - Daily Mail
Bomba yang dikerahkan ke tempat kejadian pada mulanya cuba menggerudi satu tembok untuk melepaskan budak itu.
Bagaimanapun, mereka kemudian mendapati tindakan itu lebih berbahaya kerana mampu menyebabkan kedua-dua tembok berkenaan runtuh.
Bomba kemudian menggunakan kertas pasir untuk perlahan-lahan mengikis tembok berkenaan sebelum melumurkan kepala kanak-kanak itu dengan minyak sehingga cukup licin untuk ditarik keluar secara selamat.

-Metro

Sunday, October 15, 2017

Macam mana boleh jadi begini?

SEBUAH kereta yang terbabas, ‘melayang’ dari jalan raya dan tergantung di udara, tersangkut pada pokok di Suihua, utara China, namun pemandu serta penumpangnya terselamat.
Dalam kejadian 11 Oktober lalu, pemandu kereta itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya menyebabkan ia terbabas ketika mahu mengelak kenderaan lain.
Namun, menghairankan bagaimana kereta berkenaan boleh ‘terbang’ dan tersangkut pada pokok yang agak jauh di tepi lebuh raya.
Rakaman video menunjukkan banyak bahagian kereta itu rosak dengan pintu depan tertanggal manakala komponen kereta berselerak di atas tanah.
Menurut laporan media tempatan, pemandu serta empat penumpang hanya cedera ringan dan mereka berjaya keluar dengan terjun dari kereta ketika ia tergantung. - Daily Mail/Metro


Thursday, October 12, 2017

Peras ugut guna gambar bogel mangsa

SERAMAI 74 warga China dihantar pulang oleh kerajaan Kemboja selepas ditahan kerana disyaki anggota sindiket penipuan yang memeras ugut rakyat China melalui telefon dan internet menggunakan gambar bogel mereka.
Reuters melaporkan, mereka diiring menaiki pesawat yang dihantar kerajaan China di lapangan terbang di Phnom Penh oleh sepasukan polis China.
Ketua Biro Saiasatan Imigresen Kemboja, Jeneral Ouk Heisela, berkata antara 74 orang, 14 daripadanya adalah wanita,
South China Morning Post melaporkan, sindiket itu menggoda mangsa, sama ada lelaki atau wanita meminta mereka menghantar gambar bogel sebelum mengugut menyiarkan gambar terbabit di internet jika tidak membuat bayaran tertentu.
Sindiket penipuan dianggotai rakyat China menjadikan negara di Asia Tenggara, termasuk Indonesia dan Malaysia serta sesetengah negara Asia seperti sebagai pusat operasi.
Menurut Ouk, sebahagian besar mangsa sindiket itu adalah wanita yang diperdaya menghantar gambar bogel mereka.
"Antara mangsa mereka ialah kakitangan kerajaan, pekerja perubatan, guru dan artis,” katanya.
Mereka ditahan pada 5 Oktober lalu, di bandar Sihanoukville.

-Metro

Wednesday, October 11, 2017

Nak gebu, jadi reput




Bogota: Impian seorang lelaki untuk kelihatan lebih cantik dengan berjumpa doktor palsu menjadi mimpi ngeri apabila pipinya bengkak dan mereput selepas disuntik cecair misteri.
Jerson Trujillo, 28, berjumpa seorang wanita yang menjalankan perkhidmatan suntikan kecantikan tanpa tauliah bagi kelihatan lebih feminin.
Trujillo berkata, dia bertemu wanita itu empat tahun lalu untuk menjalani suntikan di tulang pipi bagi menjadikan pipinya lebih gebu.
Katanya, pada mulanya prosedur berkenaan memberikan hasil yang memuaskan tetapi semuanya berubah selepas dia menjalani rawatan wajah.Bahan yang digunakan dalam rawatan itu dipercayai bertindak balas dengan cecair yang disuntik di tulang pipi Trujillo.
Tiga bulan selepas rawatan itu pipinya mula membengkak dan mengeluarkan nanah seperti sedang mereput.
“Saya tidak tahu cecair apa yang disuntik ke dalam tubuh saya.
“Muka saya kini hancur, reput dan bernanah,” katanya.
Tambahnya, dia sudah menjalani empat pembedahan yang menyakitkan untuk merawat kembali pipinya.
Trujillo dijadualkan menjalani dua lagi pembedahan.
Wanita yang menjalankan perkhidmatan suntikan kecantikan berkenaan menghilangkan diri selepas Trujillo membuat laporan kepada pihak berkuasa.

-Metro

Monday, October 9, 2017

Pengapit cedera di kepala selepas dilambung



Dongying (China): Seorang pengapit lelaki pengsan apabila kepalanya terhantuk di lantai ketika dilambung ke udara pada majlis perkahwinan di bandar ini baru-baru ini.
Satu rakaman video menunjukkan enam lelaki mengangkat pengapit itu dari kerusi dan cuba melambungnya ke udara.
Bagaimanapun, ketika mereka menghayun lelaki itu ke atas dan ke bawah, kepalanya secara tidak sengaja terhantuk ke lantai dengan kuat.
Pengapit lelaki itu dilihat memegang kepalanya dan tidak lama selepas itu dia tidak sedarkan diri.
Menurut media tempatan, lelaki itu menjadi mangsa satu gurauan dalam majlis perkahwinan di bandar ini yang berlangsung kelmarin.
Gurauan seperti itu dikatakan satu tradisi di wilayah Shandong bagi menghiburkan pengantin dan tetamu yang hadir.
Gerakan dalam gurauan itu dipercayai meniru mesin menanam cerucuk di tapak pembinaan.
Lelaki itu dilaporkan dibawa ke hospital dan disahkan mengalami gegaran otak tetapi keadaannya tidak mengancam nyawa.
Dia kini masih dirawat di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

-Metro

Sunday, October 8, 2017

Rekahan 'telan' budak



Geneva: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berjaya diselamatkan selepas 12 jam terjatuh di dalam rekahan tanah ketika mendaki gunung bersama keluarganya di Swiss Alps, kata polis kelmarin.
Kanak-kanak itu bersama keluarganya melawat kawasan berhampiran glasier Aletsch di selatan Switzerland pada tengah hari Rabu lalu.
Mangsa terjatuh ke dalam rekahan tanah yang sempit dan sedalam enam meter itu ketika merayau keluar dari trek pendakian.
Seramai 100 anggota penyelamat berusaha menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum dia berjaya dikeluarkan pada jam 2 pagi (waktu tempatan).
“Ketika dibawa keluar kanak-kanak itu menangis kerana ketakutan tetapi dia hanya mengalami calar pada badan,” kata jurucakap polis, Christian Zuber.
Ketua bomba di wilayah Aletsch, Matthias Lorenz berkata, pasukan penyelamat berlumba dengan masa ketika mereka berhati-hati mengalihkan tanah dan batu untuk menyelamatkan mangsa.
Katanya, sepanjang operasi menyelamat kanak-kanak itu menunjukkan tanda-tanda dia masih lagi hidup.
“Saya tidak pernah melihat operasi menyelamat seperti ini dan kanak-kanak itu sangat bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” jelasnya.
Menurutnya, selepas diselamatkan kanak-kanak itu diterbangkan menggunakan helikopter ke sebuah hospital di Bern.
“Kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemantauan selama sehari sebelum dibenarkan keluar,” katanya.

-Metro

Thursday, October 5, 2017

Hampir bercerai kerana mengigau

Taichung, Taiwan: Seorang wanita hampir bercerai dengan suaminya kerana tidak tahan dipukul lelaki itu yang sering mengigau seperti bergaduh ketika tidur.
Wanita itu yang dikenali sebagai Wu, 60, memberitahu, dia berkahwin dengan suaminya hampir 30 tahun tetapi lelaki itu mula mengigau ketika tidur kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, pada mulanya suaminya hanya bercakap ketika tidur namun sejak beberapa tahun dia sering menumbuk dan menendang seperti bergaduh.
Pada satu tahap, dia juga pernah memfailkan aduan keganasan rumahtangga terhadap suaminya akibat sering ditumbuk dan ditendang suaminya ketika tidur.
Selepas berbincang dengan suaminya, lelaki itu bersetuju untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besar Kuang Tian di sini.
Seorang doktor, Yang Chun-bei berkata, lelaki itu mengalami satu keadaan dikenali sebagai gangguan perilaku tidur gerak-mata cepat (REM).
Menurutnya, gangguan itu menyebabkan lelaki itu membuat pergerakan fizikal seperti di dalam mimpinya daripada membiarkan ia bermain di minda seperti manusia normal.
Keadaan pelik itu hanya berlaku ketika fasa tidur nyenyak REM, iaitu apabila mimpi berlaku.
Lelaki itu juga tidur di pusat kajian tidur di hospital itu di mana kamera merakamkan aksinya menumbuk dan menendang ketika tidur.
“Ini adalah tanda klasik gangguan perilaku tidur REM dan ia sebenarnya boleh dirawat dengan bantuan ubatan.
“Pesakit itu kini menjalani satu rawatan yang membantu menyelamatkan perkahwinan dan hubungan dengan isterinya,” katanya.
Menurut kajian, pesakit yang mengalami masalah itu jarang mencederakan diri mereka sebaliknya sering memberi kesan kepada siapa yang tidur di sebelahnya.

-Metro

Wednesday, October 4, 2017

Bersiap bersih rumah



Kuala Lumpur : “Saya tak sampai hati melihat dia dalam keadaan begitu. Semuanya Allah SWT lorongkan selepas dia berjumpa saya dan menyatakan niat untuk berjumpa imam masjid dari Pakistan, dia tertarik dengan kemerduan bacaan al-Fatihah yang seakan-akan imam di Makkah.
“Sehinggalah imam itu menyatakan hasrat untuk berjumpa sendiri Zaidah Mansor dan menangis melihat keadaan rumah yang penuh sampah, itu juga mendorong saya untuk membantu wanita ini,” kata Rusdzi Abdul Razak, 54, individu yang bertanggungjawab membuat aduan mengenai kehidupan Zaidah kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Kisah Zaidah, 67, pernah dipaparkan di muka depan Harian Metro, Sabtu lalu yang merayu supaya ada pihak membantu membersihkan rumahnya di Ampang selepas hidup dalam longgokan sampah sejak tujuh tahun lalu.
Melihatkan keadaan ruang tamu rumahnya yang penuh dengan timbunan sampah, tiada siapa menyangka ada orang tinggal di situ.

LAPORAN Harian Metro, 30 September lalu.
Rusdzi berkata, dia akan melakukan apa saja untuk membantu pesara kerajaan itu yang dianggap seperti kakak sendiri.
“Selepas melakukan perbincangan dengan PPIM, kami dijangka membersihkan rumah Zaidah Ahad ini dibantu sukarelawan dan juga Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Kita akan mengeluarkan semua sampah dan membersihkan rumah berkenaan manakala Zaidah akan dihantar ke pusat rawatan sementara untuk mengubati kakinya yang bengkak,” katanya kepada Harian Metro.
Tegasnya, tujuan dia mendedahkan kisah Zaidah bukan untuk mengaibkan, tetapi sebagai pengajaran dan juga membuka mata masyarakat sekitar supaya mengambil peduli jiran tetangga.
Katanya, kali pertama menjejakkan kaki ke rumah Zaidah, dia langsung tidak menyangka ada orang yang tinggal bersama longgokan sampah-sarap yang menimbun dalam rumah gelap seorang diri.
“Rumah Zaidah juga mengalami kerosakan sistem pendawaian dan setiap hari hidupnya bergelap tanpa elektrik, bayangkan di tengah ibu kota masih ada lagi yang hidup susah,” katanya.

-Metro

Monday, October 2, 2017

Aplikasi cari madu



Jakarta: Satu aplikasi yang dikhaskan untuk lelaki dan wanita yang berminat dalam perkahwinan poligami makin popular di Indonesia walaupun mencetuskan perdebatan dan kontroversi.
Amalan poligami untuk lelaki Islam mengahwini empat isteri pada satu masa dibenarkan di Indonesia.
Pencipta aplikasi yang dikenali sebagai AyoPoligami, Lindu Pranayama, 35, berkata, dia mendapat idea mencipta platform itu setahun lalu ketika melihat satu aplikasi mencari jodoh.
“Ramai lelaki yang saya lihat mahu berpoligami tetapi aplikasi atau laman sesawang mencari jodoh yang ada tidak menawarkan pilihan berkenaan,” katanya.
AyoPoligami makin popular apabila mempunyai lebih 10,000 pengguna berdaftar sejak dilancarkan pada April lalu dan 60 peratus daripada mereka adalah lelaki.
Aplikasi itu juga mempunyai ruang sembang khas untuk pengguna berkongsi pengalaman berpoligami atau meminta nasihat.
Pengguna juga boleh melihat profil pengguna yang lain sebelum berhubung atau mengaturkan pertemuan untuk berjumpa, sama seperti aplikasi mencari jodoh popular, Tinder.
Mengikut undang-undang di Indonesia, seorang lelaki perlu mendapat kebenaran isteri pertama dan kelulusan mahkamah syariah sebelum boleh berpoligami.
Namun, pakar undang-undang memberitahu, ramai lelaki yang mahu berpoligami cuba mengelak proses itu.
Seorang aktivis hak asasi wanita, Zakia Tunisa memberitahu, aplikasi itu sangat mengejutkan dan menyedihkan.
“Aplikasi ini memberi dorongan untuk poligami diterima dalam masyarakat dan malah memaksa wanita menerimanya,” katanya.

-Metro

Sunday, October 1, 2017

Budak lelaki tersekat celah dinding



Guigang (China): Seorang budak lelaki berusia lapan tahun terperangkap di celah tembok selepas bermain sorok-sorok dengan rakannya.
Satu rakaman video yang tular di media sosial di China menunjukkan detik-detik anggota bomba membebaskan budak itu dari celah tembok yang sempit berkenaan.
Media tempatan melaporkan, budak itu bermain sorok-sorok bersama enam rakannya di sebuah kampung di Guigang di wilayah Guangxi pada 23 September lalu.
Budak itu yang dikenali sebagai Huang bersembunyi di celah dua tembok yang sempit tetapi terperangkap akibat ruangannya yang sempit.
Rakan-rakannya menemui Huang menangis di celah tembok itu sebelum mereka meminta bantuan orang yang lebih dewasa.
Gambar yang dirakam bomba menunjukkan Huang mengikut arahan sebelum dia berjaya dikeluarkan dari celah tembok itu.
Anggota bomba meletakkan kusyen udara di celah dinding itu dan mengembangkannya untuk membuka ruang bagi membebaskan budak itu.
Dalam tempoh 10 minit, Huang berjaya menggerakkan badannya sebelum keluar dari celah dinding berkenaan.
Huang segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan tetapi dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dibenarkan pulang.

-Metro