Wednesday, January 28, 2015

Adik rampas suami kakak

KISAH ini telah lama berlaku kira-kira 20 tahun yang lalu. Namun kisah pahit ini amat sukar dilupakan oleh Junaidah (bukan nama sebenar), ibu kepada empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Dalam sepucuk suratnya kepada saya, Junaidah berkata, tujuannya menulis surat itu bukan kerana mahu membongkar semula kisah sedihnya.

Dia hanya mahu berkongsi kisah tersebut kerana sejak akhir-akhir ini dia sering teringatkan kisah yang suatu ketika dahulu membuatkan dia berendam air mata. Menurut Junaidah, perkahwinannya dengan Mustafa (bukan nama sebenar) adalah atas dasar suka sama suka setelah berkenalan selama dua tahun. Mustafa seorang kakitangan kerajaan.

Perkahwinan tersebut direstui kedua-dua keluarga dan majlis perkahwinan diadakan dengan meriah. Selepas berkahwin, mereka berpindah dan tinggal di Kuala Lumpur. Junaidah yang bekerja di sebuah syarikat swasta berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Rumah tangga mereka kekal bahagia sehingga dikurniakan empat orang cahayamata.

Masalah-masalah kecil yang melanda rumah tangga mereka, adatlah. Rumah tangga mana yang tidak ditimpa badai. Bagaimanapun badai atau lebih tepat tsunami meruntuhkan sama sekali rumah tangga mereka. Junaidah tidak habis fikir mengapa musibah itu berlaku kepadanya dan anak-anak yang tidak berdosa.

Tanpa bergaduh, tanpa bertengkar, suaminya mahu menceraikannya. Puas dia bertanya mengapa dengan tiba-tiba suaminya mahu menceraikannya. Tidak adakah sedikit pun perasaan kasih dan kasihan kepadanya dan anak-anak. Namun kata Mustafa, hatinya sudah tekad mahu menceraikannya. Mustafa akhirnya berterus terang mengatakan dia mahu berkahwin dengan adik iparnya, iaitu adik Junaidah bernama Jamilah. Jamilah masih belum berkahwin dan bekerja sebagai guru. Dia seorang yang tidak banyak cakap dan boleh dikatakan pemalu.

“Saya tidak menyangka adik kandung sendiri sanggup meruntuhkan rumah tangga saya dan merampas suami saya. “Mana pergi sifat seorang wanita yang lemah lembut dan pendiam yang dimilikinya. Mengapa dia begitu kejam terhadap saya. Tidakkah dia teringat bagaimana saya begitu sayangkannya sejak kecil lagi. “Saya yang paling rapat dengannya kerana dia adik di bawah saya. Saya yang banyak mengasuhnya semasa emak pergi menoreh getah atau bekerja di sawah. Saya yang menyiapkannya ke sekolah. “Namun seribu soalan pun yang bermain di kepala saya dan rintihan demi rintihan, saya telah diceraikan juga.

Jamilah tidak berkata apa-apa langsung kepada saya dan enggan berjumpa dengan saya. “Emak pula tidak berusaha memarahi Jamilah atau suami saya. Emak seperti bersetuju mereka berdua berkahwin. Adik beradik yang lain pun tidak ada seorang pun yang membuka mulut. Mereka seperti takut kepada emak, Jamilah dan suami saya. “Selepas diceraikan, saya keluar dari rumah suami. Saya meminta suami supaya memberikan saya rumah kecil yang kami beli bersama supaya saya dan anak-anak ada tempat berteduh. Suami bersetuju dan tinggallah kami lima beranak.

“Dengan keadaan saya yang tidak bekerja dan empat orang anak yang saya jaga, kehidupan amat serba kekurangan. Saya tidak mempunyai wang simpanan yang banyak. Tidak sampai RM2,000,” kata Junaidah. Tambahnya, dia harus melakukan sesuatu dan tidak boleh lagi menangis. Seorang jiran yang simpati kepadanya memberitahu ada sebuah kilang sedang mencari pekerja. Jiran tersebut menyuruhnya untuk mencuba mendapatkan pekerjaan di kilang itu. Nasib Junaidah baik kerana diterima bekerja.

Walaupun kilang itu agak jauh dari rumah, kira-kira sejam perjalanan dengan bas, dia sanggup kerana jika dia tidak bekerja, bagaimana dia hendak memberi makan kepada anak-anaknya. Bekas suaminya pula selepas berkahwin dengan Jamilah langsung tidak menghulurkan nafkah apa lagi menjenguk anak-anaknya. Junaidah tidak mahu mengemis atau meminta tolong dari emak dan adik beradik yang lain. Hatinya begitu terguris dan rajuknya sukar di pujuk. Emaknya pula meninggalkan kampung dan tinggal bersama Jamilah di bandar.

Adik beradik pun langsung tidak menjenguk Junaidah. Junaidah seperti tiada keluarga lagi dan hidup sebatang kara. Setiap pagi dia akan keluar rumah pukul 5 pagi untuk ke tempat kerja. Pulangnya hari sudah gelap. Mujur jirannya yang baik hati sanggup menjaga anak-anak tanpa mengenakan bayaran. Bukan dijaga sahaja malah anak-anaknya turut diberi makan. “Saya amat terhutang budi dengan jiran saya itu. Mereka sekeluarga sudah seperti keluarga sendiri. Adik beradik sendiri pun tidak mempedulikan saya.

“Saya sering memohon doa supaya anak-anak saya menjadi anak-anak yang pintar dan berjaya dalam pelajaran mereka. Pun demikian, saya tidak mengabaikan didikan agama kepada anak-anak saya. “Alhamdulillah anak-anak saya cemerlang di sekolah. Setiap kali peperiksaan, mereka akan mendapat keputusan cemerlang. Setelah tamat sekolah rendah, mereka diterima memasuki sekolah berasrama penuh. Mereka juga mendapat biasiswa. Jadi kurang sedikit bebanan saya. “Seorang demi seorang anak saya tamat sekolah menengah dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya masih lagi bekerja di kilang dan turut mengambil tempahan menjahit pakaian bagi membantu anak-anak saya yang memerlukan banyak perbelanjaan.

“Walaupun anak-anak meminta saya berhenti kerja, namun saya enggan kerana selagi saya kuat, saya akan bekerja. Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak. Saya mahu menyimpan duit sendiri untuk masa depan saya. “Kini saya merupakan ibu yang sangat bahagia dan bersyukur kerana keempat-empat anak saya sudah berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Anak pertama saya merupakan seorang peguam, anak kedua seorang akauntan, anak ketiga jurutera dan anak bongsu saya seorang doktor. “Ada ketikanya apabila bersendirian, saya sendiri tidak menyangka saya berjaya mendidik anak-anak dalam keadaan yang serba kekurangan.

Syukur Alhamdulillah. Saya percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. “ Anak-anak saya sudah pun berkahwin. Menantu-menantu saya juga baik dan melayan saya seperti ibu mereka sendiri. Masing-masing berebut mahu saya tinggal bersama mereka. “Jadi saya gilirkan ke rumah mereka. Bila saya teringatkan rumah saya, saya minta mereka menghantar saya pulang. “Saya sudah pun menunaikan haji dan jiwa saya kini begitu tenang.

Emak masih jauh daripada saya dan anak-anak. Saya tidak faham mengapa emak sanggup ‘membuang’ saya dan anak-anak yang juga cucu-cucunya. “Walaupun hati saya sedih dengan perbuatan emak namun saya telah memaafkannya,” ujar Junaidah pada penghujung kalamnya.

 - See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/adik-rampas-suami-kakak-1.53549#sthash.7Z2i53QK.dpuf