Tuesday, April 12, 2016

Terpisah 20 tahun, gadis ini nekad jejak ayah di Korea

Terpisah 20 tahun, gadis ini nekad jejak ayah di Korea
Mimi bergambar dengan abang dan ayahnya ketika melawat Seoul Central Mosque di Itaewon, Seoul.

SHAH ALAM – Gadis berusia 22 tahun, Mimi Nadia Adam nekad belajar bahasa Korea secara serius sejak tahun lalu demi misinya menjejaki bapanya yang merupakan warga Korea Selatan, Adam Abdullah atau nama sebenarnya, Jung Taewook, 60 yang kini menetap di negara tersebut.

Mimi berkongsi perjalanannya itu sejak tahun lalu melalui akaun Facebooknya hingga detik-detik mendebarkan ketika tiba di tanah kelahiran ayahnya itu, 4 April lalu dan saat pertemuan pertama antara mereka di Seoul.

“Alhamdulillah penantian sudah berakhir. Setelah 20 tahun tidak jumpa, dari Malaysia ke Korea Selatan saya datang. Alhamdulillah semuanya lancar. Tapi tak macam drama pun, tak ada nangis, tak ada tangkap gambar. Sadis juga rasa,” ceritanya menerusi kemaskini status di Facebook.

Menurut Mimi, ayahnya membuat kejutan dengan menjemputnya di hostel ketika dia hendak mendaftar keluar bersama abangnya yang merupakan anak pertama bapanya itu sebelum berkahwin dengan ibunya.

Mimi sebelum ini telah bertemu dengan abangnya yang menyambut ketibaannya di lapangan terbang.

Difahamkan Mimi dan ayahnya itu telah berkenalan melalui Facebook pada 2012 lalu dan rupa-rupanya bapanya itu telah mencarinya melalui media sosial itu sejak 2010.

“Saya penah letak gambar berdua dengan mummy (ibu) pada akhir tahun 2012 dalam Facebook ini, di situ dia jumpa kami. Masih cam lagi rupanya walau mak dah banyak berubah fizikalnya.

“Mula-mula saya tak percaya bila tengok. Saya tanya mak cik, tanya mak, barulah saya percaya. Banyak betul potong bawang (menangis) ketika itu. Cubit pipi banyak sangat sebab takut ini hanyalah mimpi,” tulisnya tahun lalu.

Mimi turut melahirkan rasa syukur kerana ayahnya itu masih beragama Islam walaupun telah meninggalkan Malaysia selama 20 tahun selain masih memahami beberapa perkataan bahasa Melayu.

Difahamkan, ayahnya duda beranak satu itu telah berkahwin dengan ibunya ketika bekerja di Paka, Terengganu namun perniagaan bapanya itu terpaksa ditutup dan memaksa beliau kembali ke tanah airnya hingga hubungan mereka terputus.

Ibunya kini telah berkahwin lain manakala bapanya masih tidak berkahwin sejak perkahwinan mereka gagal

No comments:

Post a Comment