Wednesday, April 20, 2016

Kembali pada fitrah



Kuala Lumpur: “Selepas ini, saya akan fokus kepada perniagaan produk kecantikan yang dijalankan sejak 2012 dan menyasarkan jualan RM20 juta tahun ini,” kata jutawan muda Mohd Safiuddin Ilias. Safiuddin, 22, yang melakukan pembedahan membuang implan payudaranya Sabtu lalu berkata, dia kini mahu mengadakan seminar dalam usaha mengembangkan perniagaan.

“Tindakan saya membuang implan payudara adalah hidayah yang saya peroleh dari Allah. Saya benar-benar mahu kembali kepada fitrah asal iaitu seorang lelaki.“Tiga tahun berada dalam kegelapan membuatkan saya kurang yakin apabila berdepan dengan orang terutama ketika memperkenalkan perniagaan yang saya miliki,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Dia yang dibenarkan pulang selepas empat hari berada di wad berkata, perubahan itu juga dilakukan kerana mahu lebih ramai pelanggan menjadi lebih yakin kepadanya apabila membuat seminar.

“Kejayaan yang saya peroleh sudah tentu mahu dikongsi bersama. Ilmu yang saya ada itu patut diketahui orang ramai yang ingin maju dalam hidup.“Namun, dengan perwatakan saya yang menyerupai wanita, terlintas dalam fikiran bahawa orang tidak akan percaya dengan kata-kata mak nyah.“Mungkin dengan perubahan ini, saya akan lebih yakin menyampaikan ilmu keusahawanan, bentuk pemasaran berjaya dan pemasaran dalam talian selain ilmu agama yang harus diterapkan dalam perniagaan,” katanya.

Seminar yang dijalankan Safiuddin sejak Disember lalu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai terutama mereka yang mahu menjalankan perniagaan dan katanya ia diadakan bagi membantu dan mengajak lebih ramai Bumiputera menguasai perniagaan.

Kata Safiuddin lagi, niatnya selepas ini adalah ingin membantu golongan yang memerlukan selain mendekatkan diri dengan agama.“Sepanjang hidup menjadi ‘wanita’ saya lalai dan lupa kepada Allah, malah, meninggalkan solat.“Saya sebenarnya rindu untuk solat berjemaah, mahu keluar berdakwah dan ke Makkah serta Madinah mengerjakan umrah.“Namun, perwatakan ‘wanita jadian’ membataskan saya untuk melakukannya kerana takut akan dipandang rendah atau hina oleh orang sekeliling,” katanya.

Kisah Safiuddin menjalani pembedahan membuang implan payudara menjadi viral di Facebook selepas pendakwah bernama Ali Russia membuat pendedahan itu. Menceritakan perubahan dirinya yang dijalankan tiga tahun lalu, Safiuddin berkata, naluri remaja yang keliru dan tidak keruan membuatkan dia nekad untuk berubah menjadi perempuan.

“Jiwa dan perasaan keperempuanan membawa saya berubah menjadi wanita sedangkan pada zahirnya dilahirkan sebagai lelaki,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/131680#sthash.xbmLWTKU.dpuf

No comments:

Post a Comment